HARGA berpatutan yang ditawarkan Hotel Container dan Ladang ar-Raudhah antara faktor yang menarik pelancong untuk singgah sewaktu mengembara di Malaysia.
Selain itu, pelancong asing yang biasa mengembara di kebanyakan negara di Eropah, mereka lazimnya menginap di hotel kontena selain rumah tumpangan.
Dalam konteks masyarakat Malaysia, penginapan kontena kurang mendapat sambutan kerana tidak ramai menyedari kewujudannya.
Naib Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Ab. Rahman Mohd. Ali memberitahu, pakej penginapan di hotel kontena mungkin mengambil tempoh yang panjang untuk diperkenalkan.
"Hotel Container di Jalan Delima, Kuala Lumpur misalnya, perlu bersaing dengan deretan hotel lima bintang di sekitar Jalan Bukit Bintang. Tidak semua pelancong akan menginap di situ. Hanya pengembara tegar sahaja yang berminat kerana harga yang ditawarkan sesuai dengan bajet mereka.
"Penginapan berkonsepkan kontena ini merupakan idea baharu yang dapat membantu industri pelancongan negara. Pengusaha hotel kontena juga perlu melakukan strategi pemasaran dan pengiklanan yang agresif bagi menarik perhatian pelancong tempatan dan asing," ujarnya ketika dihubungi.
Tambah beliau, penginapan kontena seharusnya mempunyai ciri-ciri yang melambangkan masyarakat Malaysia sama ada dari segi rekaan hotel atau aktiviti yang ditawarkan.
Mengambil contoh inap desa, penginapan di kawasan kampung itu mempunyai pelbagai pakej dan produk pelancongan yang melambangkan identiti masyarakat di Malaysia.
Golongan sasaran
"Sekiranya kelengkapan asas yang disediakan memenuhi cita rasa pengembara, saya pasti bukan pengembara sahaja yang menginap di situ malah pelancong berkeluarga juga memilih menginap di hotel itu," jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah dan Koordinator Latihan Industri Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka, Shareenie Shera Abdul Hamid, 33, memberitahu, kewujudan penginapan kontena merupakan trend baharu dalam industri pelancongan Malaysia.
Menurutnya, pengusaha-pengusaha hotel kontena perlu mengetahui golongan sasaran untuk mempromosikan pakej penginapan yang mereka tawarkan.
"Dalam psikologi pelancongan, pelancong terdiri daripada tiga kategori iaitu psikosentrik, alosentrik dan midsentrik. Kebanyakan pelancong asing yang mengembara di Malaysia mempunyai pemikiran alosentrik dan midsentrik," ujarnya ketika dihubungi.
Pelancong yang biasa menginap di hotel lima bintang dikategorikan sebagai psikosentrik manakala pemikiran alosentrik terdiri daripada pengembara yang gemarkan penginapan asas sahaja. Midsentrik pula terdiri daripada pelancong yang berfikiran fleksibel tanpa menghiraukan aspek penginapan mereka.
Jelas Shareenie, pengusaha hotel kontena perlu memupuk semangat hospitaliti dalam perniagaan mereka untuk membantu meningkatkan industri pelancongan negara.
Servis dan layanan yang baik kepada tetamu mampu mencerminkan perkembangan industri pelancongan bagi sesebuah negara.
Selain itu, penginapan kabin lebih sesuai di kawasan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, Johor kerana ia merupakan destinasi persinggahan pelancong sebelum meneruskan pengembaraan mereka.
Seorang pengembara, Siti Noridah Ab. Rahman, 30, memberitahu, kewujudan penginapan di dalam kontena di ibu kota memberi idea kepadanya untuk menginap di hotel berkonsepkan seumpamanya sewaktu mengembara ke luar negara.
"Kebiasaannya saya akan menginap di dorm kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah daripada hotel. Destinasi di kawasan pedalaman sesebuah negara menjadi pilihan saya sewaktu mengembara. Jadi saya jarang melihat kontena dijadikan tempat penginapan," ujarnya yang pernah mengembara ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia dan Pakistan.
Baginya, ciri-ciri yang ditawarkan oleh penginapan kontena sesuai untuk pengembara yang melancong ke Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: