Saturday, October 5, 2013

Transformasi kartun di Malaysia


KARTUN Upin & Ipin masih mempunyai pengaruh kuat dalam jiwa kanak-kanak di negara ini hingga sekarang.


SEBUT sahaja kartun, tentu ramai daripada kita terkenang zaman kegemilangan sebuah majalah kartun sejak tahun 1970-an iaitu Gila-Gila yang kemudian diikuti oleh pelbagai lagi majalah kartun selepas itu yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
Tiada siapa dapat nafikan kehebatan majalah kartun ketika era Gila-Gila meledakkan pasaran pada 1 April 1978 sehingga kemudiannya pasaran menerima lambakan majalah kartun.
Pada masa itu hingga tahun 1990-an, bukan sahaja kanak-kanak, malahan orang dewasa turut terpikat untuk melanggan majalah kartun setiap bulan sebagai hiburan ringan untuk ditatap dan dibaca pada masa lapang.
Bagaimanapun, selepas era 1990-an, populariti kartun menerusi bahan bercetak seperti majalah semakin merudum dan tidak sehebat seperti tahun 1970-an, 80-an dan 90-an.
Ada yang menyatakan kemasukan komik Hong Kong dan manga dari Jepun telah membunuh industri komik dan kartun tanah air. Itu ada benar juga tetapi persoalannya, mengapa kita gagal bersaing?

WATAK Teletubbies satu ketika dahulu menjadi kegilaan kanak-kanak di Malaysia.


Mungkin ada juga yang menuding jari kepada pembikinan kartun keluaran syarikat tempatan telah mengambil alih tempat majalah berkenaan, namun sejauh mana kebenarannya tiada siapa yang yang dapat memberikan jawapannya.
Apa pun, pengaruh kartun yang disiarkan di kaca televisyen memang kuat terutamanya kepada kanak-kanak yang sanggup bersengkang mata sampai ke malam semata-mata ingin menonton karakter kegemaran mereka.
Minggu ini, dipaparkan laman blog yang bercerita mengenai kartun terutamanya keluaran syarikat di Malaysia pada era 1990-an untuk mengimbau kenangan mereka yang masih mengingatinya.
Menerusi http://penpatah.blogspot.com/2013/07/cool-kartun-malaysia-era-90-6-gambar.html, dipaparkan antara rancangan kartun yang paling dinantikan oleh kanak-kanak di negara ini ialah Anak-anak Sidek.

BLOG http://penpatah.blogspot.com turut mengetengahkan watak kartun yang popular era 1990-an dan masih diminati masa ini.


Apabila tiba sahaja bulan puasa, rancangan inilah yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak hinggakan ada sesetengah mereka tidak menghiraukan makan minum asalkan dapat menonton cerita kartun itu dengan khusyuk di depan televisyen.
Kartun lain yang mencuit hati kanak-kanak ialah Keluang Man yang menjadi adi wira Melayu pertama pada masa itu. Watak Keluang Man menjadi kebanggaan setiap kanak-kanak memandangkan watak yang diberikan mampu menghalang penjenayah daripada terus bermaharajalela melakukan aktiviti jahat mereka.
Kartun yang mungkin boleh dikategorikan yang terbaik pada era 1990-an ialah Usop Sontorian yang memaparkan kisah budak kampung yang menjalani kehidupan dengan penuh suka duka bersama rakan-rakan.
Rancangan kartun sama ada menerusi bahan cetak seperti majalah atau paparan di kaca televisyen sebenarnya banyak mencorak kehidupan kanak-kanak di negara ini.
Biarpun ia hanya karakter kartun tetapi mempunyai penuh dengan pengajaran berguna untuk diambil dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: