Wednesday, October 9, 2013

Tikus besar ejen forensik


SALAH satu kelemahan rodensia ialah sifat pemalunya menyebabkan ia sukar menyesuaikan diri di tempat baharu dan asing.


PASUKAN polis Belanda mempunyai kaedah tersendiri dalam mengurangkan kadar jenayah di negara itu. Ia termasuk melatih haiwan rodensia untuk dijadikan agen forensik pasukan itu terutama dalam mengesan sebarang aktiviti jenayah yang mencurigakan.
Derrick, Thomson dan Thompson, Magnum dan Poirot, antara nama-nama yang diberikan terhadap detektif 'istimewa' itu bukan sekadar membantu pihak polis untuk membanteras jenayah jalanan malah ia turut menjimatkan masa dan wang.
"Kami merupakan pasukan polis pertama di dunia yang melatih rodensia untuk membantu penyiasatan," kata Mark Wiebes, yang mengetuai pusat inovasi pasukan polis Belanda.
Setiap seekor rodensia itu berharga sekitar AS$13 (RM41) dan secara teorinya ia boleh diajar untuk mengesan bau dadah dan serbuk letupan. Dibandingkan membeli dan melatih seekor anjing pengesan, kosnya mencecah sehingga AS$13,650 (RM43,647).
Tempoh untuk melatih anjing pengesan juga agak panjang iaitu sehingga lapan bulan, biarpun kemampuannya jauh lebih baik berbanding rodensia.
Haiwan-haiwan itu dikurung dalam sangkar di sebuah bilik gelap dan kecil di Rotterdam sejak 2011 berbanding beberapa bangunan lain berhampirannya yang dijadikan tempat latihan anjing pengesan dan kuda polis.
Rodensia belajar lebih pantas dalam gelap, sesuai dengan sifatnya yang aktif pada waktu malam.
"Mereka perlu dilatih antara 10 hingga 15 hari untuk mengesan bau-bauan tertentu," kata Monique Hamerslag, salah seorang anggota polis wanita yang bertanggungjawab terhadap projek itu kepada AFP.
Lebih cekap
Tangannya pantas mengeluarkan rodensia yang digelarnya Derrick dari sebuah sangkar besar ke sangkar kecil yang menjadi tempat binatang itu bertugas.
"Lebih bosan kehidupan seekor rodensia, lebih cekap ia menjalankan tugasnya," kata Hamerslag, yang mendapati rodensia jantan lebih baik melakukan tugas-tugas itu berbanding rodensia betina.
Terdapat empat bola penapis teh digantung pada bahagian sangkar berkenaan, satu daripadanya mengandungi serbuk letupan. Derrick, seekor rodensia berwarna perang gelap memerlukan masa sekitar dua saat sebelum berjaya mengesannya melalui muncungnya.
Sebaik sahaja selesai melakukannya, ia akan dipanggil melalui bunyi 'klik' dan biji bunga matahari sebagai ganjaran.

KOS melatih seekor rodensia sebagai haiwan pengesan jauh lebih murah berbanding seekor anjing.


Mengesan serbuk letupan sangat penting bagi ahli forensik mencari bukti dan suspek yang terlibat dalam sesuatu kejadian tembak-menembak.
Ujian makmal untuk mengenal pasti kesan serbuk letupan melibatkan kos tinggi dan adakalanya sehingga dua jam terutama apabila melibatkan ramai suspek.
Biarpun bukti yang ditunjukkan rodensia tidak boleh dibawa ke mahkamah, namun ia memberi ahli forensik petunjuk tentang pakaian yang perlu diuji terlebih dulu.
Umumnya, pasukan polis Belanda hanya boleh menahan seseorang suspek dalam tempoh beberapa jam sahaja, oleh yang demikian haiwan itu dapat menghalang mereka daripada melepaskan suspek yang disyaki terlibat.
Hamerslag mengembangkan idea itu dalam tesisnya ketika menyertai akademi pasukan polis yang diinspirasikan daripada sekumpulan pekerja bantuan yang menggunakan rodensia untuk mengesan periuk api di Tanzania.
Pelbagai ujian yang dilakukan membuktikan haiwan itu sangat membantu bidang forensik.
Wiebes berharap ia mampu melakukan tugas lebih besar seperti menghidu lokasi jenayah sebenar pada tahun hadapan, biarpun dia mengakui ia agak mustahil untuk dicapai dalam tempoh berkenaan.
Masalah utama
Salah satu masalah utama haiwan itu ialah sifat pemalunya. Ia enggan diletakkan di dalam situasi baharu dan asing seperti lokasi jenayah yang memerlukannya mencari mayat atau dadah yang disorokkan.
"Cara terbaik ialah membawa bau kepada rodensia dan bukan sebaliknya," kata Hamerslag. "Ini bermakna kita perlu mengambil bahan bukti dan membawanya ke sini."
Rodensia tidak mungkin mengambil peranan anjing polis, tegasnya, tetapi haiwan tersebut mempunyai kemahiran dan teknik yang tersendiri.
"Anjing adalah pemangsa semula jadi dan tidak takut untuk meneroka tempat yang asing baginya," kata Wiebes.
"Bagaimanapun, anjing tidak boleh hidup seperti tikus, menghabiskan sepanjang masa dalam ruang kecil dan tertutup menyebabkan ia cepat bosan."


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: