Monday, October 14, 2013

Sheila, Harvey berpadu energi



SEBUAH single pada tahun 2000, Begitulah Cinta pernah menyatukan Datuk Sheila Majid dan penyanyi legenda dari Indonesia, Harvey Malaiholo.
Tiga belas tahun kemudian, kedua-dua bintang itu kembali berkongsi pentas menyanyikan kembali lagu hit itu sempena One Night Charity Concert Sheila Majid & Harvey Malaiholo di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam Selasa lalu.
Bagi peminat tegar penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Jazz Negara itu, pasti ramai yang mampu mengimbas kembali persembahan memukaunya tiga tahun lalu menerusi The Malaysia Philharmonic Orchestra Celebrates Sheila Majid 25 Years in Music di dewan yang sama.
Aura penyanyi bertubuh genit itu menjangkau kuasa luar biasa apabila konsert yang ditranskrip menjadi sebuah album telah turut dinobatkan sebagai album terbaik pada Anugerah Industri Muzik 2011.
Ada sebab kenapa tidak semua lagu hit Sheila dilantunkan untuk konsert kali ini, barangkali enggan menjadikan konsert bersama teman rapatnya sejak 20 tahun lalu, Harvey Malaiholo, menjadi satu persembahan dejavu buat peminatnya.
KOLABORASI Sheila Majid dan Harvey Malaiholo menerusi One Night Charity Concert Sheila Majid & Harvey Malaiholo di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam Selasa lalu merupakan sebuah konsert yang sukses.


Pilihan lagu
Untaian lagu antaranya Warna, Antara Anyer & Jakarta dan Sinaran sekali lagi menjadi pilihan Sheila kali ini untuk mengisi perut DFP, cuba diberi nafas baharu hasil komposisi suaminya sendiri, Acis yang bertindak selaku Pengarah Muzik kali ini.
"Susah juga mahu pilih lagu-lagu untuk dinyanyikan kali ini. Pada mulanya saya mahu keluarkan lagu Sinaran tapi apabila difikirkan semula, ini lagu repertoir saya.
"Pasti ramai peminat yang datang kali ini untuk mendengar lagu Sinaran akan berasa hampa kalau saya singkirkan lagu hit ini," kata Sheila mengulas pemilihan lagu-lagunya untuk konsert bersama Harvey.
Terhad waktu apabila perlu berkongsi pentas, Sheila menghadiahkan lagu Aku Cinta Padamu yang paling mendapat tepukan gemuruh penonton yang mungkin menggantikan Ku Mohon dalam konsert yang lalu.
Sheila tidak tenggelam, menyarung dua busana rekaan Michael Ong dan Shomir Izwa, beliau berjaya mencuri hati penonton dengan jenaka bersahaja berbalas-balas pujian bersama Harvey.
"Saya bangga dapat berkongsi pentas dengan Sheila kerana saya sememangnya mengaguminya sejak lama dulu," luncur pendulu bicara Harvey di pentas bergandingan dengan Sheila menerusi lagu Warna dan Dia.
Balas Sheila: "Saya pula kenal Harvey sejak sebelum saya mula menyanyi lagi, jujurnya saya adalah peminatnya."
HARVEY MALAIHOLO masih berbisa dan telah mengembalikan nostalgia menerusi untaian lagu hitnya.


Interaksi
Usai Sheila menyampaikan rangkaian lagu hitnya seperti Memori, Kasih, Hasrat, Tua Sebelum Waktu, Gerimis Semalam dan Cinta Jangan Kau Pergi, Harvey muncul berduet bersama Sheila menerusi lagu September Pagi sebelum menyerahkan pentas sepenuhnya kepada Harvey.
Bagi yang pertama kali menyaksikan persembahan penyanyi yang sudah menghasilkan lebih 20 buah album sepanjang 37 tahun pembabitan dalam dunia seni suara di Indonesia, dia bijak mencuri hati peminat baharu.
Harvey tidak nampak kekok di pentas, bijak mencuri peluang dan ruang berinteraksi bersama peminat, harus diakui dia berkarisma! Selain masih memiliki vokal ampuh biar usia sudah melewati 51 tahun.
"Sebulan lalu kami hanya berkomunikasi melalui telefon saja dan sesudah Acis menyiapkan susunan lagu kemudian menghantar menerusi e-mel, kami akhirnya betul-betul mula berlatih bermula Ahad lalu.
"Masing-masing sudah tahu bahagian masing-masing, maka tidak susah sebenarnya. Kami suka menyanyi dan kalau diberikan pilihan mahu saja menyanyi lebih lama tapi perlu difikir juga audiens yang mungkin akan bosan kalau terlalu lama," kata Harvey yang pernah sebelum ini menghasilkan dua buah lagu berjudul Terima Kasih Cinta dan I'm Still Here.
Istimewa persembahan kali ini, Sheila menghidangkan sebuah mash-up daripada dua buah lagu popular masing-masing iaitu Dia dan Katakan Saja dalam sebuah susunan baharu.
"Mula-mula kami mahu gabungkan lagu Dia tapi tidak masuk, akhirnya kami tukarkan lagu lain sepertimana yang telah dipersembahkan.
"Idea ini muncul apabila menonton beberapa buah siri muzikal yang sering menggabungkan dua buah lagu menjadi satu," jelas Sheila mencelah.
KARISMA dan persona Sheila Majid terletak pada personaliti dan keunikan vokalnya.


Jemput anak
Harvey membuai penonton menerusi rangkaian lagu hitnya seperti Gempita Dalam Dada, Adilkah, Jerat, Pelabuhan Cinta dan sebuah lagu yang turut menampilkan kedua-dua anak lelakinya, Joshua Benjamin, 22, dan Benjamin Joshua, 10, bermain beberapa buah instrumen bersamanya di pentas berjudul Permata Hati.
Sudah pasti lagu duet Begitukah Cinta didendangkan bersama Sheila melempiaskan kepuasan buat peminat kedua-dua penyanyi itu yang hadir semata- mata untuk melihat mereka berduet.
Menutup tirai persembahan, lagu Legenda turut dinyanyikan bersama Sheila dan Harvey dalam sebuah susunan penuh syahdu yang pastinya membuai-buai perasaan 900 audiens yang hadir malam itu.
Konsert amal anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas (KSRP) turut menampilkan tiga penyanyi undangan sebagai persembahan pembukaan iaitu Redza Hamid, Fuad dan Amanda Imani.
Sebagai tambahan, mungkin ramai yang menantikan konsert Sheila Majid dan Harvey Malaiholo yang hanya dibikin eksklusif selama satu malam itu saja direkodkan dalam format album sama seperti konsert Sheila yang lalu. Tidak mustahil!


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: