![]()
SHADIYA (kiri) dan Adibah masing-masing menyuntik aura tersendiri untuk program Fiqh Wanita.
|
SELEPAS mendapat sambutan yang menggalakkan pada musim lalu, program yang membincangkan topik berkaitan wanita, Fiqh Wanita yang bersiaran di TV3 kini kembali untuk musim kedua.
Kali ini, program yang masih mengekalkan konsep diskusi itu diterajui oleh Shadiya Abbad dan Adibah Rozain yang merupakan juara Da'i Pendakwah Milenia.
Menurut Shadiya, 33, yang juga penerbit program itu, cabaran yang dihadapinya ialah menterjemahkan segala isi kandungan buku Fiqh Wanita dalam bentuk visual yang mudah difahami oleh penonton.
“Kebanyakan topik yang dibincangkan dalam program ini agak sensitif dan jarang dibincangkan secara terbuka. Contohnya, cara mengambil wuduk dengan betul dan ada wanita yang tidak tahu, jika keluar keputihan, terbatallah solat mereka.
“Perkara itu nampak ringkas dan remeh tetapi jika tidak diendahkan ia menjadi masalah yang berat. Jadi, program ini merupakan satu titik permulaan supaya penonton lebih tahu tentang hukum,” kata Shadiya yang pernah menjadi penerbit program Semanis Kurma.
Tambah Syadiya, musim pertama program itu membincangkan perkara yang asas tentang wanita tetapi pada musim kedua, pihaknya telah menyentuh topik yang lebih berat seperti umrah, haji dan cara pengurusan jenazah.
Menariknya, penonton dapat berinteraksi dengan pihak penerbitan di Facebook rasmi Fiqh Wanita meskipun selepas siaran program.
“Sejak musim pertama lagi, Fiqh Wanita sudah mula berinteraksi dengan penonton di Facebook. Segala persoalan yang tidak dapat dijawab semasa siaran di televisyen akan diteruskan di Facebook.
“Bukan itu sahaja, pihak kami turut mendapat input daripada penonton yang mengusulkan topik di Facebook. Maknanya, program ini cukup dekat dengan penonton, ada juga menjadikan Facebook Fiqh Wanita tempat meminta nasihat dan kami sedaya upaya membantu mereka,” ujar Shadiya yang merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata.
Tambah Shadiya, pada mulanya agak sukar untuk dia membahagikan komitmen antara tugas sebagai pengacara dan juga penerbit dalam satu masa yang sama.
Bagaimanapun, selepas masuk musim kedua, tugasnya diringankan sedikit apabila dia turut dibantu oleh seorang lagi penerbit.
“Sebelum ini memang susah sebab ketika di depan kamera, kepala saya masih fikirkan hal belakang tabir dan syot kamera. Sekarang, semuanya menjadi lebih mudah,” jelasnya.
Usia bukan penghalang
Menjadi pengacara program keagamaan pada usia 21 tahun bukanlah satu halangan yang besar buat Adibah Rozain yang berasal dari Jengka, Pahang.
Selepas bergelar juara program Da'i Pendakwah Milenia, Adibah telah membiasakan diri di hadapan kamera dan banyak belajar cara menjadi seorang pengacara yang baik.
“Saya bersyukur kerana ramai pengacara yang lebih senior seperti Kak Shadiya banyak memberi tunjuk ajar. Bukan mudah sebenarnya menjadi pengacara program seperti ini kerana kami harus mempunyai ilmu untuk berbicara dengan panel jemputan,” ujarnya.
Ucap Adibah, sebagai pengacara yang lebih muda sasarannya lebih menarik golongan remaja menonton program berkenaan.
“Mungkin saya muda, tetapi tidak bermakna saya tidak boleh menjadi pengacara program ilmu. Sebelum bersiaran, saya akan membuat kajian tentang topik yang akan dibincangkan terlebih dahulu,” beritahunya.
Penuntut jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu bercita-cita untuk menjadi pendakwah suatu hari nanti.
“Cita-cita saya ingin berdakwah dan dalam masa yang sama bergelar pendidik. Sekarang ini saya berada di semester kelima dalam tahun ketiga kuliah.
“Masa memang padat tetapi saya harus bijak membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya,” ujarnya.
Program Fiqh Wanita mula bersiaran setiap hari Jumaat pada pukul 1 tengah hari di TV3 bermula 11 Oktober lalu. Antara panel yang akan menyertai diskusi ilmu pada musim kedua ini ialah Datuk Daud Che Ngah, Datin Hajjah Arbi, Ustazah Siti Norhafizah Musa, Ustazah Asmak Hussin dan Ustazah Nourul Iman.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: