Sunday, October 6, 2013

Rawat pesakit tanpa bantuan ubat


AHMAD KHAIRIL (kiri) akan memberitahu pelanggannya bahawa pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh akan dilakukan terlebih dahulu di klinik gimnasiumnya.


JIKA dilihat dari luar, Klinik Ideal di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur ini seakan-akan sama sahaja seperti klinik-klinik lain.
Namun, sangkaan tersebut mulai meleset apabila kru Jurnal mendapat tahu klinik tersebut turut menyediakan perkhidmatan klinik gimnasium perubatan selain beroperasi seperti klinik sedia ada.
Pemiliknya, Dr. Ahmad Khairil Faizi Rosli memberitahu, klinik yang dibuka pada penghujung bulan Oktober tahun lalu itu menggabungkan konsep klinik dan gimnasium seperti yang sudah dipraktikkan di negara-negara Eropah serta Amerika Syarikat.
"Sebenarnya, konsep itu sudah lama dipraktikkan di negara-negara Barat yang menggabungkan klinik dan gimnasium. Namun, ia bukan sahaja digunakan untuk melakukan fisioterapi tetapi juga sebagai preskripsi tambahan dalam rawatan penyakit-penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, lemah jantung, obesiti dan strok.
"Semua program di gimnasium perubatan yang terdapat di klinik itu adalah berdasarkan garis panduan daripada pertubuhan Kolej Perubatan Sukan Amerika," ujar graduan dari Universiti Edinburgh, Scotland itu.
Pertubuhan itu mengandungi 45,000 anggota dan ditubuhkan pada tahun 1954.
Ahmad Khairil berkata, idea untuk mempraktikkan konsep tersebut diperoleh berdasarkan pengalaman ketika dia bekerja di London selain melalui pembacaan sebelum mengambil keputusan untuk membawa konsep yang sama ke Malaysia.
"Penubuhan klinik dan gimnasium kesihatan ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan pesakit pada ubat-ubatan seterutamanya untuk penyakit-penyakit yang kronik selain memberi alternatif ke atas rawatan kesihatan serta pengambilan ubat-ubatan.
"Jika mereka benar-benar memerlukan bantuan ubat-ubatan sebagai sokongan, kita akan memastikan ia diambil pada dos yang rendah.
"Buku-buku perubatan sendiri amat menekankan gaya hidup yang sihat diamalkan selain dibantu oleh diet sihat dan ubat-ubatan tetapi senario ini berbeza di Malaysia kerana ubat-ubatan dijadikan pilihan pertama," katanya.
Sesi konsultasi
Menurutnya, pada permulaan perniagaan, ada juga individu yang ragu-ragu dengan konsep yang dibawanya kerana ia masih baharu di Malaysia.
"Alhamdulillah, sambutan yang menggalakkan diterima pada tiga bulan pertama klinik gimnasium perubatan ini beroperasi," ujarnya.
Ahmad Khairil berkata, dia akan melakukan penyelidikan mengenai pesakitnya terlebih dulu sebelum sebarang program kesihatan dilakukan.
Katanya, sebelum para pesakit menjalani program di klinik gimnasium perubatan itu, mereka terlebih dulu akan menjalani rawatan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti penyakit, tahap penyakit dan ubat-ubatan yang perlu diambil.
"Saya pernah berdepan dengan situasi apabila seorang pesakit yang mempunyai penyakit kencing manis, kolesterol dan buah pinggang yang menjalani ujian darah bagi mengetahui tahap penyakit yang dialaminya.
"Saya dapati tahap bacaan buah pinggangnya tidak normal dan pada keesokan harinya saya turut melakukan ujian darah.
"Tetapi, keputusan yang diperoleh menjadi semakin teruk berbanding sebelumnya.
"Justeru, saya mengambil langkah dengan menghentikan pemberian ubat-ubatan yang diambilnya dan memulakan program di klinik gimnasium perubatan. Alhamdulillah, selepas dua bulan dia menjalani program, tahap bacaan buah pinggangnya menjadi normal," katanya yang mempunyai seramai 87 orang pesakit yang menerima rawatan di klinik gimnasium perubatan itu.

SETIAP sesi akan disertai oleh doktor dan jurulatih yang berpengalaman di klinik gimnasium milik Ahmad Khairil.


Menurutnya, ada antara pesakitnya yang tidak dibenarkan mengambil insurans hanya kerana mereka mempunyai tekanan darah tinggi yang kronik tetapi selepas menjalani program yang diketengahkannya itu, tekanan darah tinggi mereka menjadi normal.
Dia menjelaskan, cara pengendalian setiap pesakit bagi program klinik gimnasium perubatan itu berbeza berdasarkan kepada penyakit yang dialami, tahap penyakit serta kemampuan pesakit untuk melakukan latihan fizikal yang sudah diatur untuk mereka.
"Setiap pesakit akan menjalani sesi konsultasi selama satu jam yang melibatkan panduan kesihatan, rawatan senaman fizikal dan konsultasi diet yang betul.
"Kita tidak menjalankan sesi konsultasi dalam kaedah berkumpulan sebaliknya memfokuskan kepada seorang pesakit sahaja pada satu-satu masa kerana setiap pesakit mempunyai matlamat yang berbeza.
"Pada sesi konsultasi itu, pesakit akan ditunjukkan dengan graf mengenai keadaan diri mereka selain menjalani sesi senaman dan kaunseling pemakanan," tambahnya.
Dia memberitahu, para pesakit bakal memperoleh keputusan yang bagus sekiranya mereka mengikuti apa yang telah disarankannya.
Konsisten
Ujarnya, kos sebanyak RM60 hingga RM75 dikenakan kepada pesakit bagi setiap sesi.
Klinik itu menawarkan program tersebut berdasarkan pakej iaitu untuk 12 sesi, bayaran yang dikenakan ialah RM900.
Bayaran untuk program yang mengandungi 18 sesi ialah RM1,300 dan para pesakit yang mengikuti 24 sesi dikenakan bayaran sebanyak RM1,680.
"Klinik gimnasium perubatan ini terbuka kepada semua peringkat umur dan terpulang kepada para pesakit untuk mengambil sesi-sesi itu berdasarkan nasihat doktor mengikut tahap penyakit yang dialami mereka.
"Selain itu, kita meletakkan harga yang jauh lebih murah berbanding gimnasium yang sedia ada bagi memberi pilihan kepada para pelanggan.
"Peralatan yang digunakan di gimnasium perubatan ini juga di import dari luar negara seperti Itali," ujarnya.
Sudah menjadi adat perniagaan, pasti terdapat cabaran dan kliniknya juga tidak terkecuali kerana ia terpaksa bersaing dengan gimnasium-gimnasium yang sudah terkenal.
"Selain cabaran dari segi persaingan, kita juga turut mempunyai cabaran untuk melatih para pesakit supaya hidup secara sihat dan berdisiplin.
"Saya sering tekankan tentang perkara itu perlu dilakukan secara konsisten supaya para pesakit mencapai tahap kesihatan yang bagus. Tetapi, ada antara pesakit yang tidak mahu meneruskan sesi selepas mereka memperoleh keputusan yang diinginkan.
"Ada juga yang sudah membayar pakej penuh untuk menyertai program gimnasium perubatan tetapi dia hanya menyertai sekali sesi sahaja.
"Malah, pesakit itu juga lebih selesa bergantung kepada ubat-ubatan berbanding melakukan senaman walaupun mempunyai penyakit tekanan darah tinggi yang kronik ketika berumur 33 tahun," jelasnya.
Firdaus memberitahu, pihaknya turut menawarkan program menaikkan berat badan untuk pesakit yang mempunyai berat badan rendah yang tidak normal.
Tambahnya, pesakit tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka ketika melakukan senaman kerana setiap sesi konsultasi akan disertai oleh doktor dan jurulatih yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang kecergasan iaitu Mohd. Rakin Abdul Rahim, 28.
"Sekiranya berlaku kecemasan, para pesakit tidak perlu khuatir kerana doktor akan ada bersama mereka sepanjang sesi berlangsung.
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Faidzi Abdul Aziz, 34, dan Marlia Othman, 33, klinik gimnasium perubatan itu menawarkan konsep yang unik yang tidak pernah ditawarkan di klinik lain.
"Saya mula menyertai klinik gimnasium perubatan ini kira-kira tiga bulan yang lalu untuk program kecergasan dan penurunan berat badan.
"Sebelum ini, saya pernah juga mendaftar sebagai ahli di sebuah pusat gimnasium tetapi saya tidak mendisiplinkan diri bagi memperoleh berat badan yang diingini.
"Selain lokasinya yang berdekatan dengan rumah, jadual waktu program yang fleksibel juga menjadi punca saya memilih klinik gimnasium perubatan ini sebelum mencadangkannya kepada suami untuk mengikut program menaikkan berat badan dan merawat masalah kolesterol kronik yang dialaminya selama enam tahun," ujar ibu kepada empat orang anak ini.
Seorang ahli perniagaan, Azlin Othman, 43, berkata, sejak menyertai klinik gimnasium perubatan itu, dia merasakan terdapat perubahan di dalam dirinya yang sebelum ini kerap letih apabila melakukan kerja.
"Saya tiada masa untuk ke gimnasium kerana sibuk menguruskan perniagaan tetapi apabila mendapati badan kerap letih, saya merasakan perlu melakukan sesuatu sebelum terlewat apatah lagi di peringkat umur seperti ini selain jadual programnya sangat fleksibel," jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: