
PEMANDANGAN kawasan berbatu di sekitar Uchisar dari belon udara panas.
PENERBANGAN dengan pesawat Pegasus Airline dari Basel, Switzerland ke Izmir, Turki mengambil masa kira-kira lapan jam.
Tiada hotel yang indah untuk saya dan empat rakan sepanjang percutian di bumi Turki, sebaliknya kami telah menyusun jadual untuk percutian bajet di negara itu.
Destinasi pertama kami ialah Pamukalle untuk melihat kewujudan Benteng Putih. Dari Denizli, kami menaiki bas ke Pamukalle yang sejauh tiga kilometer dengan kadar bayaran 30 Lira (RM48) untuk perjalanan pergi dan balik.
Terlelap seketika sewaktu perjalanan menuju ke situ, perasaan bahagia menjengah hati apabila melihat keindahan kawasan itu pada waktu pagi.
Bayaran sebanyak RM32 dicaj untuk pelancong meneroka keunikan Pamukalle.
Nama Pamukalle merupakan gabungan dua perkataan yang unik iaitu kapas (Pamuk) dan istana (Kale) dalam bahasa Turki. Jika dilihat dari jauh, ia kelihatan seperti kawasan bersalji.
Namun, tanggapan tersebut ternyata silap kerana ia bukannya salji sebaliknya sebuah kawasan dipenuhi kapas yang berbentuk istana dan dikategorikan sebagai destinasi ajaib kelapan di dunia.
Terdapat sebuah kolam air panas semula jadi yang bersuhu 35 darjah Celsius di kawasan itu.
Di situ, ramai pelancong terutamanya dari rantau Eropah menikmati rendaman dalam air yang mempunyai kandungan garam kalsium yang tinggi.
Kawasan tamadun awal Byzantine iaitu Hierapolis menjadi tarikan pelancong di Pamukalle kerana mempunyai struktur bangunan yang besar dibina tanpa menggunakan paku mahupun simen.
Asas binaan hanya menggunakan batu-bata dan ia masih kukuh sehingga ke hari ini.

KAFE Sunset menyediakan makanan tradisi Turki kepada pelancong yang berkunjung ke Uchisar.
Lokasi lawatan
Cappadocia merupakan satu lagi kawasan yang kami kunjungi. Di situ, kami berkunjung ke Kapadokya yang mengambil masa sembilan jam perjalanan dari Stesen Bas Nevsehir di Denizli.
Setibanya kami di bandar itu, kami dijemput oleh petugas Hotel Nirvana Cave untuk berehat sebentar sebelum meneruskan penerokaan kami di bumi Turki.
Selesai menunaikan solat, kami meminta jadual perancangan perjalanan yang ditawarkan oleh pihak hotel untuk kami melawat tempat-tempat menarik di situ.
Antara lokasi yang dilawati ialah kawasan rumah batu, Lembah Cinta, Muzium Terbuka Gerome, Bandar Bawah Tanah Derinkyu untuk melihat kehidupan pada zaman batu dan menaiki belon panas pada waktu senja di Uchisar.
Keunikan kota itu terletak pada sudut rumah batu atau dikenali sebagai fiery chimneys oleh penduduk di sana.
Kawasan itu juga digelar rumah para peri kerana ia terdiri daripada batuan unik dari zaman purba.
Kawasan berbatu itu digunakan sebagai tempat Orang Batu berlindung daripada cuaca buruk atau binatang liar.
Kami meluangkan masa selama setengah hari di rumah batu dan Lembah Cinta. Pada waktu makan tengah hari, saya berkesempatan menikmati hidangan pasta dan gozleme iaitu martabak bayam bersama segelas minuman berkarbonat di Kavi Restaurant Avanos.
Hidangan itu cukup mengenyangkan dan harga yang ditawarkan amat berpatutan.
Sebelum senja, kami bersiap sedia untuk ke Uchisar bagi menikmati pemandangan waktu senja yang indah seperti yang sering diperkatakan oleh pelancong yang pernah berkunjung ke situ.
Sungguhpun Uchisar terletak berdekatan dengan hotel, kami masih perlu menaiki kereta atau van mini untuk ke sana.
Keesokan harinya, seawal pukul 4.30 pagi kami telah bertolak dari hotel untuk menyaksikan belon udara panas di Uchisar sambil menikmati pemandangan di situ.
Cuaca amat sejuk sewaktu kami tiba di sana. Kami menikmati sarapan ringkas bagi mengalas perut dan mendengar penerangan mengenai aspek keselamatan oleh pengemudi sebelum menaiki belon udara panas.
Panorama kawasan sekitar Uchisar amat indah dari ruang udara dan dari atas, kami juga dapat melihat dengan jelas kawasan-kawasan yang telah dilawati pada hari yang sebelumnya.
![]()
SALAH satu tinggalan artifak yang menjadi tumpuan pelancong di Hierapolis.
|
Pengalaman
Dengan bayaran RM431, pengalaman menaiki belon panas itu suatu yang tidak dapat kami lupakan.
Bagi saya, pengalaman itu mengajar untuk mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia.
Pihak Assiana, selaku penganjur aktiviti itu, telah menganugerahkan kami sijil penyertaan atas penglibatan dan keberanian kami menaiki belon udara panas berkenaan.
Usai menaiki belon panas pada pukul 8 pagi, kami bersarapan dan bersiap untuk ke Bandar Bawah Tanah di Derinky dan Istana Chavushin untuk melihat kehidupan pada zaman purba di Turki.
Bayaran sebanyak RM24 dirasakan amat berbaloi kerana kami dapat merasakan pengalaman memasuki gua dan meredah laluan rendah yang gelap tetapi luas.
Bagi saya, Turki merupakan sebuah negara yang indah dan unik selain mempunyai nilai-nilai kebudayaan di setiap bandarnya.
Saya berpendapat Pamukalle dan Cappadocia merupakan destinasi yang wajib dikunjungi oleh rakyat Malaysia di Turki selain Istanbul yang sering menjadi tumpuan pelancong.
Ini kerana perjalanan dari satu tempat ke tempat lain di Turki amat berbaloi tidak kira sama ada dari aspek masa atau wang.
Ia membolehkan anda menikmati detik-detik indah sepanjang percutian di negara penuh nilai sejarah itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: