
PIHAK Warner Music yang merupakan label rakaman naungan kumpulan Kotak telah merealisasikan pengalaman wartawan Malaysia yang mahu menonton konsert hebat grup tersebut.
SEMBILAN tahun belum cukup untuk mematangkan sesebuah grup. Apatah lagi untuk grup muda yang masuk memperjudikan karya dalam sebuah industri muzik yang besar, Indonesia.
Namun Kotak bagai kalis angka dan usia. Persembahan dengan judul Konsert Ener9i Rock Never Dies membuktikan bahawa Tantri, Chua dan Cella sedang berada dalam fasa matang dan berjaya meletakkan mereka pada kelas atas.
Persembahan mereka di MEIS Ancol, Jakarta Utara pada Jumaat lepas merupakan satu pembuktian. Penuh tenaga dan perjalanan konsert itu sendiri menunjukkan kesungguhan pihak pasukan pengurusan Kotak dan Trans 7 mempamerkan sesuatu yang meninggalkan kesan di dalam jiwa.
Hebatnya Energi
Konsert yang dibawakan secara langsung di saluran Trans 7 ini merupakan konsert ulang tahun ke sembilan Kotak.
Tembakan pencahayaan menghidupkan suasana ditambah dengan pembentukan set pentas yang membenarkan penonton menyaksikan dari empat penjuru persis sebuah kotak sekali gus membuatkan konsert ini tampak dan berada di kelas yang hebat.
Suara Tantri menggila ke penjuru pendengaran para peminat grup itu terutamanya Kerabat Kotak (panggilan untuk peminat Kotak) yang datang dari jauh dan dekat. Konsert itu ditambah dengan kehebatan Chua sebagai gadis pemetik bes manakala Cella, jejaka yang kurang bercakap namun tetap hebat beraksi dengan gitarnya.
Kotak membuka acara di sebalik sebuah kotak gergasi yang dibikin daripada empat televisyen bersaiz besar yang mempamerkan sedutan persembahan Kotak yang terdahulu.
Tiga set dram diletakkan pada tiga penjuru dan mereka seperti biasa memanggil pemain dram jemputan ekoran masih enggan mencari anggota tetap buat Kotak.
Teriakan suara Tantri seolah-olah mengawal suasana konsert. Ia sekali gus menandakan konsert Rock Never Dies ini bakal menggila hingga ke akhir.
Kotak tampil sangat bertenaga pada malam itu dengan sejumlah lagu handalan mereka seperti Tendangan Dari Langit, Lupa Ingatan, Kecuali Kamu, Apa Bisa dan Beraksi.
Menariknya juga untuk konsert ini, Kotak membawakan beberapa lagu yang tidak biasa mereka bawakan di layar televisyen. Ia sesuatu yang sentiasa dinantikan oleh Kerabat Kotak tentang sebuah kelainan daripada persembahan layar televisyen Kotak.
Bagi memeriahkan suasana konsert yang berlangsung selama dua jam ini, grup itu mengundang gabungan bintang rock Indonesia iaitu Sandy PAS Band, John Paul Ivan, Abdee Slank, Yuke dan Zian untuk berkolaborasi medley lagu-lagu Tong Kosong, Semut Hitam dan Bongkar.
Sementara itu, kolaborasi lainnya diisi oleh Bondan Prakoso untuk lagu Terbang. Acara itu turut dimeriahkan dengan hadirnya Feydy The Painkillers dan Alsa.
"Ia adalah momen terindah kami pada ulang tahun yang kesembilan," ujar Tantri pada akhir konsert tersebut. Mereka turut mengajak Kerabat Kotak untuk mengabadikan momen tersebut dengan kamera masing-masing dan memuat naik gambar secara langsung melalui akaun Twitter.
![]()
TANTRI selaku vokalis mempunyai kebolehan menyanyi dengan penuh bertenaga dan mantap. Malah, dia juga pandai mencuri hati peminat dengan skil komunikasinya.
|
Konsert itu bukan hanya pertunjukan kehebatan untuk setiap ahli grup Kotak yang semakin dewasa dengan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki mereka. Ia juga membuktikan bahawa grup yang berusia sembilan tahun ini boleh membikin sesuatu untuk sebuah pembuktian bahawa mereka bergerak bukan hanya dengan material tetapi juga kehebatan beraksi di pentas.
Lebih daripada itu, ia dianggap menjalin silaturahim yang kuat antara Kotak dan peminat mereka iaitu sebuah apresiasi bahawa Kotak sentiasa memerlukan mereka sebagai inspirasi untuk masa hadapan.
Kotak sembilan tahun
Pada satu sidang media yang diadakan di tapak konsert baru-baru ini, Kotak sempat meluangkan masa sebelum bermulanya acara. Nampak keterujaan namun berbalut gemuruh yang tidak disembunyikan terutamanya pada wajah Chua.
Buat Kotak, menginjak usia sembilan tahun tepat pada 27 September 2013, mereka lebih banyak bermuhasabah.
Menurut Chua, Tantri dan Cella, usia sembilan tahun bagi pemuzik masih terlalu muda.
"Sembilan tahun baru permulaan buat kami kerana kami masih harus banyak belajar, berjuang," kata Chua yang sudah pandai memasang bulu mata palsu.
"Kami harus belajar cara menjaga penyatuan grup, membuat karya baharu dan semoga perjalanan gup ini tidak hanya sampai di sini," lanjut Chua.
Dalam kotak hati mereka, Chua meluahkan bahawa mereka berharap agar grup yang dibina dengan semangat dan kesamaan ini dapat terus berkarya dan mengukuhkan genre rock yang mereka bawa.
"Semoga boleh sampai 10, 11, 12 tahun dan sampai seterusnya terus bersama dan berkarya," senyum Chua dengan doa.
Memasuki usia sembilan tahun juga, anak-anak muda berjiwa rock ini berkongsi pahit dan manis selama berdiri sebagai Kotak.
"Perkara terberat bagi kami ialah ketika kehilangan anggota grup," kata Tantri merujuk kepada pemergian Posan Tobing dan Icez yang membawa hala tuju masing-masing.
"Paling parah ialah ketika kehilangan pemain dram, Posan Tobing kerana kami sudah bersama sejak sekian lama dan dia tiba-tiba keluar daripada grup ini," tukas Tantri.
"Tetapi, belum ada yang menggantikan dia. Buat masa ini, kami selesa untuk bertiga sahaja," tutup cerita Tantri.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: