|
WASHINGTON - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditutup buat pertama kali dalam tempoh 17 tahun semalam sekali gus memaksa sehingga satu juta kakitangan awam bercuti tanpa gaji manakala banyak projek awam turut tergendala.
Penutupan itu berpunca daripada Kongres yang gagal mencapai kata sepakat tengah malam kelmarin untuk meluluskan bajet bagi membiayai perbelanjaan dan hutang negara.
Kongres AS terdiri daripada Dewan Senat dan Dewan Perwakilan. Senat diterajui oleh Parti Demokrat pimpinan Presiden Barack Obama manakala Dewan Perwakilan pula didominasi pembangkang daripada Parti Republikan.
Dewan Perwakilan menolak bajet tersebut kerana enggan menyokong pelan kesihatan Obama yang disifatkan sebagai satu pembaziran. Pelan itu juga didakwa menyekat kebebasan rakyat untuk memtidak mengambil perlindungan insurans.
Pelan tersebut bertujuan untuk memberi perlindungan insurans kesihatan kepada sekitar 50 juta penduduk berpendapatan rendah dan miskin di AS.
Parti Republikan yang mendominasi Dewan Perwakilan mahu pelaksanaan pelan itu yang berjalan semalam ditunda selama setahun.
Namun, Ketua Majoriti Senat, Harry Reid menolak usul Republikan.
"Parti Demokrat tidak akan berunding dalam keadaan kami diberi tekanan untuk bersetuju dengan Republikan semata-mata bagi mengelakkan penutupan kerajaan berlaku," kata Reid.
Susulan operasi kerajaan AS lumpuh semalam, banyak pejabat dan perkhidmatan awam ditutup manakala bayaran kepada kontraktor ditangguhkan.
Situasi itu menyebabkan pengaliran tunai bagi menjana ekonomi negara yang mencecah ratusan juta dolar sehari disekat.
Namun, sebahagian perkhidmatan penting termasuk rondaan sempadan, pemeriksaan daging dan kawalan udara dan mahkamah beroperasi seperti biasa.
Jabatan Negara memberitahu, pihaknya akan terus menerima dan memproses permohonan visa warga asing, begitu juga dengan operasi kedutaan dan konsulat AS di luar negara.
Namun, kelewatan dalam pemprosesan visa dan pasport memang dijangka ekoran krisis tersebut.
Menurut Pejabat Pengurusan Kakitangan Awam, kerajaan persekutuan menggaji hampir 2.8 juta kakitangan awam setakat September 2012.
"Separuh daripada 670,000 ahli kami diberitahu untuk duduk di rumah manakala sebahagian yang lain akan bekerja tanpa gaji," kata jurucakap Kesatuan Sekerja Kakitangan Awam Kerajaan Persekutuan, Tim Kauffman.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin Parti Demokrat dan Republikan saling menuding jari kerana masing-masing tidak mahu menjadi sasaran kemarahan rakyat kerana mencetuskan situasi tersebut.
Jika Kongres dapat mencari kata sepakat tentang isu itu, kerajaan AS dijadual beroperasi semula sehari dua lagi.
Sebaliknya, operasi kerajaan mungkin ditutup lebih lama jika kebuntuan itu gagal diselesaikan.
Dalam pada itu, beberapa pakar politik melihat Kongres sekali lagi akan bercakaran berhubung usul Obama yang mahu menaikkan had siling hutang negara melebihi AS$16.7 trilion (RM54.7 trilion).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: