KISAH tentang kehidupan bermadu sudah acapkali dipaparkan sama ada di kaca televisyen atau layar perak, tetapi teater Maduku... Kalut arahan Azhar Zainal tampil dengan kelainan tersendiri.
Memaparkan sebuah jalan cerita yang agak ringan, namun ia cukup sarat dengan nilai-nilai kemasyarakatan yang ditampilkan menerusi teater yang berdurasi selama lebih sejam itu.
Ceritanya ringkas iaitu mengenai seorang pemandu teksi bernama Selamat (Izzue Islam) yang mempunyai dua orang isteri iaitu Bibi (Jihan Muse) dan Mimi (Nad Zainal).
Kekalutan mula timbul apabila Selamat terlibat dalam suatu insiden sehingga dia tidak pulang ke rumah. Keadaan tersebut membuatkan kedua-dua isterinya berasa risau dan masing-masing membuat aduan kepada pihak polis.
Selain menampilkan Izzue, Jihan dan Nad selaku tunjang utama teater berkenaan, peranan pelakon-pelakon lain seperti Karl Shafek, Sofian Bujang dan Fazleena Hishamuddin tidak kurang hebat.
Paling ketara pastinya lakonan Karl Shafek yang membawakan watak bernama Adam, seorang lelaki lembut yang membuatkan para penonton tidak kering gusi menyaksikan telatahnya.
Ternyata percubaan sulung syarikat MASK Team yang mementaskan teater tersebut di Istana Budaya pada 27 hingga 30 September lalu dilihat mencapai kejayaan yang memberangsangkan.
Ia berdasarkan kepada sambutan hangat yang diterima sepanjang empat hari pementasan serta maklum balas positif daripada penonton yang telah menyaksikannya.
Penerbitnya, Mohd. Amer Syafiq Khalip berkata, beliau sangat berpuas hati kerana pementasan teater Maduku... Kalut berjalan dengan lancar dan rata-rata penonton sangat berpuas hati dengan jalan cerita yang ditampilkan.
“Pujian harus diberikan kepada para pelakon serta kru yang terbabit dalam teater ini. Komitmen mereka selama dua bulan untuk menjalani latihan akhirnya membuahkan hasil.
“Selain itu, kepercayaan dan peluang yang diberikan oleh pihak IB kepada syarikat yang kecil seperti MASK Team untuk mementaskannya di sini sangat dihargai,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis pratonton minggu lalu.
Menurut Amer, berdasarkan kepada sambutan yang diterima, pihaknya sudah mempunyai perancangan untuk mengadakan siri jelajah dan mementaskan teater berkenaan ke beberapa buah negeri.
Bagaimanapun, ia semuanya bergantung kepada jadual pelakon-pelakon lain memandangkan ada antara pelakon utamanya yang mempunyai komitmen lain seperti berlakon dan menyanyi.
“Itu semua masih lagi dalam peringkat perancangan awal dan saya perlu berbincang dengan pelakon terlebih dahulu. Seboleh-bolehnya saya mahu teater ini dipentaskan sehingga ke Singapura,” ujarnya.
Rendah diri
Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam selaku tunjang utama teater Maduku... Kalut berkata, dia bersyukur kerana pementasan dapat dilakukan dengan lancar meskipun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki lagi.
Ujar Izzue, pada peringkat awal ketika mula-mula menjalani latihan dahulu, dia berasa cukup gugup kerana ia merupakan percubaan sulungnya berlakon dalam teater.
“Sudah tentu saya berasa sangat rendah diri kerana dikelilingi oleh pelakon-pelakon yang sudah lama aktif dalam teater, malah berasa takut dan risau sekiranya tidak dapat menjayakan tanggungjawab yang diberikan.
“Namun begitu, tunjuk ajar daripada rakan-rakan pelakon lain memang banyak membantu. Mereka banyak memberikan idea-idea dan teknik berkaitan dengan lakonan teater,” jelasnya.
Sementara itu, Jihan Muse memberitahu, pada mulanya dia menerima tawaran berlakon teater berkenaan atas dasar kawan sahaja.
Menurutnya, dia hanya membaca skrip yang diberikan oleh penerbit ketika sesi bacaan skrip dan terus tertarik dengan jalan ceritanya kerana ia memaparkan isu sosial yang jarang diketengahkan.
“Ini merupakan kali pertama saya bergandingan dengan Izzue dan Nad Zainal dalam teater. Pada mulanya memang agak kekok tetapi lama-kelamaan ia dapat diatasi dengan latihan yang berterusan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: