• Aniotek muncul dengan Lagenda Santubong

BIDANG animasi mungkin satu bidang yang baharu di Malaysia. Realitinya, animasi sudah bertapak di negara kita sejak tahun 1946.
Bermula dengan penubuhan Unit Filem Malaya (sekarang dikenali sebagai Filem Negara), animasi terus berkembang namun pada skala yang agak kecil.

Sedikit mengenai sejarah penerbitan animasi di negara ini, Hikayat Sang Kancil, merupakan filem pendek pertama yang dihidangkan kepada penonton, pada tahun 1983.

Kemudiannya kita disogok dengan animasi dongeng popular, seperti Sang Kancil dan Monyet, Sang Kancil dan Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong, Singa Yang Haloba dan bermacam lagi animasi yang disifatkan lebih dekat dengan jiwa masyarakat ketika itu.

Seiring perkembangan teknologi, lahirlah beberapa siri animasi yang semakin popular dan punyai penjenamaan tersendiri seperti Upin & Ipin, Kampung Lat, Boboiboy dan Bola Kampung.

Bukan hanya memenuhi permintaan semata-mata, penerbitan grafik dan animasi juga boleh dijadikan sebagai satu bidang yang cukup lumayan.

Malah ramai anak Melayu terutamanya, menjadikan ia sebagai satu peluang kerjaya yang menjamin masa depan yang cerah.

Begitu juga dengan misi syarikat anak tempatan, Aniotek Sdn Bhd yang merupakan sebuah lagi produksi yang mengeluarkan animasi bermutu seperti Kancil, Rimba Jimba, Jungle Jitters dan banyak lagi.

Bermula dengan minat

Ditubuhkan sejak enam tahun lalu, Aniotek bertanggungjawab untuk mereka web dan juga pembangunan  multimedia.

Beroperasi di Kajang, Selangor, syarikat tersebut diterajui Zahrin Zamzuri bersama tiga rakannya.

Selaku pengarah syarikat, Zahrin atau lebih dikenali sebagai Jakall,33, berkata, dia mula menceburi bidang animasi secara serius apabila melihat potensi yang ada pada bidang tersebut.

“Pada mulanya saya agak ragu-ragu untuk memulakannya. Tapi dengan sokongan teman dan keluarga, perasaan itu dibuang supaya tidak mempengaruhi sebarang keputusan untuk syarikat.

"Tanpa disangka, syarikat ini berjaya berdiri setanding dengan syarikat lain walaupun kami tidak sepopular Upin dan Ipin atau Boboiboy," katanya yang merupakan bekas kartunis majalah tersohor, Ujang.

Tambah Jakall, tidak sia-sia mereka berani untuk mencuba sesuatu yang baru selain bergelar kartunis.

"Lagipun melukis minat kami, ternyata ia bukan penghalang untuk kami berjaya.
"Animasi bukan lagi bidang picisan sebaliknya, ia mampu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa seperti filem tersohor, Life of Pi yang menggunakan khidmat syarikat Malaysia," katanya yang berharap agar syarikatnya turut  dikenali di mata dunia dengan
animasi buatan mereka.

Beri pendapatan lumayan

Jelas Jakall, industri animasi sebenarnya mampu memberi keuntungan malah mampu melangkah lebih jauh dalam bidang tersebut.

Namun jika tersilap langkah, boleh tersungkur dalam hanya sekelip mata.
“Jadi, setiap apa yang kita lakukan harus ada asas dan pengetahuan yang luas.

“Dalam bidang ini pula, kami memulakannya dari bawah baru dapat berdiri dengan kukuh.

“Saya banyak melakukan motivasi atau ceramah dalam bidang animasi agar graduan grafik dapat mempelajari selok-belok bidang ini,” katanya.

Sebagai salah seorang perintis dunia animasi, dia mahu generasi akan datang dapat memartabatkan bidang tersebut.

Perkara paling penting, Jakall berkata peluang yang ada seharusnya dihargai sebaik mungkin supaya bidang itu menjadi pilihan generasi muda masa kini.

“Saya berpegang kepada kualiti dan kepuasan hati. Wang bukan perkara utama, sebaliknya perkara yang kita buat harus lakukan dengan sepenuh hati.

“Barulah kita dapat menuai hasil yang terbaik,” ujarnya.

Angkat kisah mitos

Bagi memperluaskan empayar syarikat, Aniotek mempertaruhkan animasi terbaru mereka, Lagenda Santubong, yang memberikan kelainan terhadap konsep dan jalan cerita.

Mengangkat mitos dari negeri Sarawak, animasi tersebut mengisahkan mengenai dua puteri kayangan yang sering kali menimbulkan masalah sehingga mereka di buang ke bumi. Mereka cuba membiasakan hidup sebagai manusia biasa, namun konflik yang timbul turut
menguji persaudaraan mereka.

Menurut Jakall, kisah mitos di Bumi Kenyalang itu dipilih bagi menghidupkan semula kisah rakyat itu buat generasi muda, selain mempromosikan Sarawak yang penuh dengan khazanah alam.

"Kami ingin mengembalikan kisah-kisah rakyat yang begitu sinonim dengan masyarakat kita.

“Ia juga sebagai satu tauladan dan teladan buat generasi kini.

“Sejarah dan mitos negara kita semakin dilupai, saya rasa ia merupakan tanggungjawab kami untuk menaikkan semula kisah rakyat,” katanya.

Bukan hiburan semata-mata

Berkongsi mengenai proses pembikinan Lagenda Santubong, Jakall berkata, animasi tersebut tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan.

“Biasanya perjalanan proses untuk sesuatu animasi mengambil masa yang agak lama.
"Ada kalanya ia mencecah hingga setahun, mungkin lebih lagi.

“Tetapi bagi Lagenda Santubong, ia disiapkan dalam tempoh 10 bulan sahaja dengan 12 orang tenaga kerja.

“Ia merupakan satu pencapaian yang agak membanggakan bagi kami,” katanya.

Bukan sekadar hiburan semata-mata, Jakall berkata, Lagenda Santubong turut diterapkan dengan mesej positif untuk dijadikan pengajaran buat penonton.

“Kami terapkan nilai-nilai murni yang dapat menyentuh perasaan dan sesuai ditonton golongan remaja.

“Begitu juga elemen cinta dan persahabatan supaya dapat beri pengajaran kepada penonton.

"Selain itu kami turut selitkan elemen komedi dan emosi agar ia memberi kesan terhadap sesiapa saja yang menontonnya,” ujar Jakall.

Bersiaran sebanyak 13 episod, Lagenda Santubong, dapat disaksikan menerusi saluran TVi (180 Astro) sejak 29 September lalu.