Monday, August 12, 2013

Tudung labuh gaya kontemporari


KONSEP tudung bawal memudahkan pengguna memakai tudung labuh keluaran Elle Zada.


LAMBAKAN busana baju kurung dengan sentuhan moden dan berwarna-warni menghangatkan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Persalinan Muslimah turut mendapat sambutan dengan rekaan yang lebih kontemporari tetapi masih mengikut syariat agama.
Bagi mereka yang tercari-cari tudung labuh dengan percikan rona menarik, koleksi daripada butik dalam talian, Elle Zada, boleh dijadikan panduan gaya baharu sempena musim perayaan nanti.
Istimewanya tudung labuh Elle Zada, ia mudah dipakai kerana direka dengan menggunakan konsep sama seperti tudung bawal. Pemakai hanya perlu menyerkup tudung dan boleh menggayakannya mengikut pilihan sendiri.
KESELESAAN menjadi keutamaan kepada Elle Zada selain mengikut syariat agama.


“Cara pemakaian sangat mudah malah menjimatkan masa malah pengguna hanya perlu melilit lebihan kain. Kreativiti mereka membuatkan pemakaian tudung tampak menarik,” ujar pemilik butik Elle Zada, Elliyin Rasif, ketika ditemui Stailo.
Serlahkan penampilan
Tudung labuh tersebut didatangkan dengan pilihan rona-rona polos dan dua tona yang senada. Ia menyerlahkan penampilan si pemakai kerana lari daripada rekaan tipikal dan konvensional.
“Rekaan Elle Zada menekankan intepretrasi berlandaskan syariat agama tetapi kami menambah unsur-unsur kontemporari sebagai satu transisi Muslimah moden,” tambah Elliyin.
Elliyin mendapat idea mereka tudung labuh tersebut apabila ramai rakan bertanyakan tudung yang dipakainya. Menurutnya lagi, pada peringkat awal, dia hanya menjahit sendiri tudung labuh berkenaan kerana sukar mencari rekaan serupa di pasaran.
WARNA ceria menambah seri wajah si pemakai.


“Jika kita lihat, kebanyakan tudung hari ini diberi sentuhan yang terlalu menyerlah hingga lari daripada tuntutan Islam sebenar.
“Disebabkan itu, saya reka tudung sendiri dan tidak sangka pula ramai yang menginginkan tudung sama,” imbas Elliyin.
Tidak terhad kepada rekaan polos, Elle Zada turut menawarkan tudung labuh bercorak dan cetakan mengikut musim tertentu. Terdapat juga koleksi warna kontra dan motif floral yang sesuai untuk remaja perempuan dan bekerjaya.
Beroperasi secara talian, laman Elle Zada boleh diakses menerusi laman web rasmi atau pelanggan boleh berkunjung ke laman sosial, Facebook, untuk mendapatkan promosi dan pilihan terkini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: