Saturday, August 31, 2013

Tanjung Manis medan tunjuk kehebatan



PERJALANAN menaiki bot ekspres dari Terminal Bot Ekspres Kuching menghala ke stesen penumpang di Sungai Rajang dekat Tanjung Manis, Sarawak menyebabkan perasaan kaki pancing termasuk pengamal media menjadi girang.
Apa tidaknya, fikiran masing-masing terbayang keseronokan beraksi bersama ikan yang tersangkut di mata pancing atau bertarung bersama ikan bersaiz XL di sekitar perairan Kuala Rajang dan Tanjung Sirik di Tanjung Manis.
Sebagai medan menguji kehebatan, teman seangkatan sudah memastikan terlebih dulu semua barangan keperluan seperti joran, mata kail, batu ladung, lampu suluh, pisau serta peralatan memancing lain disediakan.
Safari Memancing Tanjung Manis 2013 merupakan masa terbaik bagi kaki-kaki pancing tegar di Sarawak mempamerkan segala kemahiran yang dimiliki dalam menaikkan pelbagai saiz ikan.
Setelah hampir tiga jam perjalanan, bot ekspres akhirnya sampai ke destinasi. Ada dalam kalangan kaki pancing sudah tidak sabar untuk turun ke laut.
Keterujaan dan kehangatan pertandingan semakin dirasai sebaik kaki menjejak jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Tanjung Manis iaitu lokasi pelepasan para peserta safari memancing bagi kategori laut dalam dan pesisiran pantai.
Perairan Kuala Rajang dan Tanjung Sirik, di Tanjung Manis sememangnya terkenal dengan ikan lautnya, jadi tidak hairanlah kaki-kaki pancing sudah bersiap sedia dengan joran masing-masing.

MENYAKSIKAN panorama matahari terbenam di Tanjung Manis menjadi satu memori indah kepada kaki pancing.


Bagi peserta kategori laut dalam, sebaik dilepaskan mereka berlumba-lumba ke tengah laut bagi mencari 'port' terbaik masing-masing.
Cabaran
Salah seorang peserta iaitu bekas Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata, setiap tahun beliau bersama rakan-rakannya tidak akan melepaskan peluang untuk merasai keseronokan memancing di perairan Tanjung Manis.
Menurutnya, cabaran pertandingan tersebut memang dinanti-nantikan ekoran keseronokan dan hasil tangkapan yang lumayan selain pengalaman berdepan ribut di tengah laut.
“Apa jua rintangan serta cabaran sepanjang aktiviti memancing ini tidak kami endahkan. Keseronokan menumpaskan dan menaikkan ikan bersama rakan-rakan di tengah laut bukan semua orang boleh merasainya, tambahan pula ketika menyertai pertandingan seperti ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Umpan
Mohamed Khalid yang mula meminati aktiviti memancing ikan sejak di bangku sekolah menggunakan umpan sotong kurita kerana kebarangkalian untuk menangkap ikan besar seperti jenahak, merah, tanda dan kerapu lebih cerah.
MD. FAIZAL menunjukkan hasil tangkapan ikan kerapu seberat 15.05 kg sekali gus dinobatkan sebagai Raja Pancing dalam cabaran Safari Memancing Tanjung Manis 2013.


“Meskipun umpan sotong kurita berharga RM6 hingga RM8 seekor ia tetap menjadi pilihan kami kerana hasil yang dibawa pulang dari laut pasti tidak mengecewakan.
“Kami juga tidak ketinggalan membawa umpan seperti umpan hidup dan udang pasar terutama ketika ingin menaikkan ikan gelama” katanya.
Tambahnya, tidak dinafikan aktiviti memancing merupakan hobi yang memerlukan belanja tinggi, namun ia mampu menghasilkan pulangan lumayan kepada kaki pancing terutama kumpulan yang gemar memasuki pertandingan.
Dalam pada itu, Safari Memancing Tanjung Manis 2013 di Sarikei pada 22 hingga 23 Jun lalu telah menarik penyertaan seramai 119 kaki pancing bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM28,550.
Penganjur, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) menyediakan pelbagai hadiah termasuk wang tunai, trofi dan hamper kepada peserta bagi pelbagai kategori laut dalam dan persisiran pantai.
Yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM180 bagi kategori persisiran pantai dan RM250 untuk kategori laut dalam.
Suasana ketika pertandingan pula tidak ubah seperti sebuah pesta. Kesemua kaki pancing berlumba-lumba mencari lubuk ikan untuk mendapatkan hasil tangkapan yang lumayan.

TANGKAPAN hasil laut yang berjaya dipancing oleh peserta.


Pengajaran
Sementara itu, bagi pemancing cilik, Merichmanson Gason, 9, memberitahu, tidak ramai rakan-rakannya sanggup menunggu berjam-jam lamanya semata-mata untuk mendapatkan ikan.
Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Buyuk, Tanjung Manis itu berkata, dia seronok menyertai pertandingan itu kerana dapat mengisi masa luang selain mengeratkan hubungan dengan keluarganya.
“Aktiviti luar sebegini tidak membuang masa saya sebaliknya ia memberi banyak pengajaran berguna seperti sikap sabar dan menghargai alam sekitar.
“Selain itu, satu kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-ata apabila ikan menyentap umpan dan ketika bertarung mendaratkan ikan,” katanya.
Tambahnya, ibu bapanya tidak melarang menyertai aktiviti memancing malah memberi sokongan termasuk menyertai pertandingan seumpama itu.
“Walaupun tidak memenangi sebarang hadiah, saya tetap seronok kerana dapat berjumpa dengan ramai peserta yang mempunyai minat sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: