Thursday, August 29, 2013

CNBLUE tarik 5,000 peminat!



CN BLUE merupakan sebuah kumpulan kugiran, bukannya grup dengan skil tarian yang begitu popular dalam kalangan artis Korea Selatan.


BAND rock popular Korea Selatan CNBLUE baru sahaja usai mengadakan konsert solo pertama mereka pada Sabtu lalu di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Konsert di bawah nama Blue Moon 2013 CNBLUE World Tour telah menarik 5,000 peminat untuk membanjiri seluruh perut stadium.
Meskipun konsert hanya bermula tepat pada pukul 7.45 malam, tetapi seawal pukul 4 petang, peminat sudah membanjiri pekarangan stadium.
Rata-rata peminat band yang dibarisi empat anak muda, Lee Jong-hyun (gitar utama, vokal), Kang Min-hyuk (drum), Lee Jung-shin (bass) dan Jung Yong-hwa (vokalis utama) terdiri daripada remaja perempuan dan tanpa segan memakai baju yang tertera nama band tersebut serta membawa lampu biru, warna rasmi band tersebut.
Sebaik sahaja lampu stadium dipadamkan, peminat mula menjerit bagai diserang histeria dan lampu biru mula menerangi stadium.
Jeritan itu bertambah kuat apabila anggota CNBLUE mula muncul di atas pentas. Menariknya, pentas yang direka secara 360 darjah memberi peluang kepada semua peminat tidak kira yang membeli tiket murah ataupun mahal menatap wajah idola kesayangan mereka secara dekat.
Diakui mereka memang cukup hebat di atas pentas apabila lagu Where You Are, Get Away, One Time, Wake Up dan Naran Namja (Guy Like Me) didendangkan.
“Kami adalah CNBLUE, akhirnya kami tiba juga di Kuala Lumpur. Apa khabar semua, adakah anda merindui kami? Saya mahu anda semua ikut saya menari,” kata vokalis utama band itu, Yong-hwa kepada peminat.
CN BLUE berharap untuk dapat kembali mengadakan persembahan di Malaysia pada masa akan datang.


Suasana yang penuh energi bertukar mood apabila CNBLUE mendendangkan lagu-lagu berentak balada iaitu Love Light, Feeling dan These Days.
Pentas kembali bertukar kepada mood rancak apabila lagu Lalala, Just Please, Tattoo dan In My Head dinyanyikan.
Tidak lengkap rasanya konsert CNBLUE jika mereka tidak menyanyikan barisan lagu hit yang meletakkan nama mereka di carta-carta teratas di negara kelahiran mereka seperti Intuition, I'm A Loner, I'm Sorry, Hey You, Love Girl, Love, You Fallen For Me serta sebuah lagu baru, Feel Good.
Walaupun sistem bunyinya sedikit membingitkan telinga, tetapi kekurangan itu ditutup kemas dengan persembahan memukau band CNBLUE selama dua jam.
Secara keseluruhannya, konsert CNBLUE telah berlangsung dengan jayanya, ujar mereka, diharap ini bukan konsert terakhir mereka di Kuala Lumpur dan berterima kasih kepada peminat yang tidak henti memberi sokongan.
“Kami pernah berkunjung ke Malaysia sebelum ini, tetapi ini konsert solo kami yang pertama di sini. Bagi kami konsert kali ini cukup bermakna kerana tidak sangka muzik kami mampu diterima baik oleh peminat di sini.
“Secara jujur kami berada di tahap hari ini kerana disiplin yang tinggi. Jika tidak kami tidak mungkin akan berjaya,” kata Yong-hwa dalam temu bual pada sesi sidang media yang berlangsung sehari sebelum konsert.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: