Monday, August 26, 2013
Pertandingan pidato Sekolah Kluster
DEMI melahirkan pelajar yang berkeyakinan diri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor dengan kerjasama Pusat Jaringan Masyarakat dan Industri Universiti Malaya (Citra) telah menganjurkan satu Pertandingan Pidato Bahasa Malaysia Dan Bahasa Inggeris Sekolah-Sekolah Kluster Peringkat Kebangsaan.
Objektif pertandingan ini diadakan adalah untuk menyediakan peluang kepada pelajar dalam melahirkan idea yang bernas melalui pemikiran yang kritis dan analitis.
Pertandingan ini juga bertujuan untuk memantapkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, sekali gus untuk melahirkan modal insan kelas pertama.
Program ini telah diadakan di Dewan Gemilang Kolej Kediaman Kedua Belas, Universiti Malaya bagi pidato bahasa Malaysia dan di Dewan Kuliah Satu Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya bagi pidato bahasa Inggeris.
Terbahagi kepada dua pusingan, pertandingan ini memerlukan pelajar menyampaikan pidato berdasarkan tema Belia Cemerlang Negara Terbilang bagi bahasa Malaysia dan Isu Sosial bagi bahasa Inggeris. Bagi pusingan kedua pula, para peserta perlu berpidato secara spontan berdasarkan tema-tema tertentu yang diberikan oleh hakim.
Pengetua SMK Damansara Utama, Zulaika A. Rahman berkata, pihaknya berharap agar para peserta mendapat manfaat daripada penganjuran program itu dan akan mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh dalam pembelajaran akademik masing-masing.
Sebanyak 10 buah sekolah di seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Sekolah-sekolah tersebut adalah SMK Damansara Utama, Selangor; SMK Convent Taiping, Perak; Sekolah Menengah (Agama) Maahad Hamidiah, Selangor; SMK Sultan Badlishah, Kedah; SMK Bandar Putra, Johor; SM Sains Hulu Selangor, Selangor; Kolej Vokasional Teknik Sultan Hj Ahmad Shah, Pahang; SMK Kubang Bemban, Kelantan; SMK Dato Ahmad Maher, Kelantan dan SMK Dato Onn, Pulau Pinang.
Johan bagi Pertandingan Pidato Bahasa Malaysia disandang oleh Nor Farihah Jamil dari SM Sains Hulu Selangor diikuti tempat kedua, Farhah Aqilah Amar (SMA Maahad Hamidiah) dan tempat ketiga dimenangi oleh Nor Nazuin Nazaril (SMK Dato Onn).
Bagi Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris, pelajar SMK Damansara Utama, Aaron Luke muncul juara manakala tempat kedua menjadi milik Kristal Diana Tay Sue Qin (SMK Covent Taiping) dan tempat ketiga dimenangi oleh Oon Hup Keong (SMK Dato Onn).
Perasmian penutup dan majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Citra, Prof. Madya Dr. Stefanie Pillai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: