|
BENARLAH kata orang, tak kenal maka tak cinta atau belum cuba belum tahu. Begitulah apa yang dirasakan oleh pesara tentera, Mhd. Nasir Ismail, 54, tatkala pertama kali mencuba juadah tradisi Pahang iaitu sambal hitam belimbing buluh.
Sewaktu mula-mula melihat sambal yang dihidangkan kepadanya ketika berhijrah ke Merapoh, Kuala Lipis, Pahang terbit rasa kurang selesa di benak fikirannya.
Sambal tersebut kelihatan kotor di mata Mhd. Nasir kerana warnanya yang hitam dan tidak secantik hidangan lain yang pernah dinikmati sebelum ini.
Namun, sebaik menjamah masakan tradisional yang cukup terkenal di negeri kelahiran penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin itu, Mhd. Nasir menarik balik kata-katanya.
"Rasa sambal hitam belimbing buluh ini memang terbaik kerana membuka selera dengan rasanya yang pedas dan masam.
"Sudah cukup syarat bagi saya jika lauk pada hari itu cuma sekadar sepinggan nasi dan sambal hitam belimbing buluh," ujar lelaki yang berasal dari Sik, Kedah dan berpindah ke Merapoh pada tahun 1999.
Tambahnya, sambal tersebut sukar dicari di negeri-negeri lain dan sekiranya dia mempunyai urusan di luar kawasan, perkara pertama yang akan dicarinya dahulu sekembali ke Merapoh ialah sambal berkenaan.
|
Masakan tradisi
Belia Kampung Merapoh, Mohd. Faizal Mohd. Zin, 30, berkata, tidak ramai generasi muda di kampungnya yang mengetahui cara penyediaan sambal tersebut. Antaranya mungkin disebabkan kurang pendedahan terhadap masakan tradisi itu.
"Saya mula mengenali sambal hitam belimbing buluh ketika menginjak remaja dan terus menyukainya.
"Rupa-rupanya sambal tersebut menjadi hidangan wajib orang di sini setiap kali ada majlis kenduri kendara, doa selamat dan hari raya," katanya yang mengakui tidak mengetahui tentang cara memasak sambal kegemaran penduduk setempat itu.
Kadangkala, Mohd. Faizal yang gemar melakukan aktiviti lasak pasti akan membawa sambal berkenaan sebagai bekalan makanan dan pembuka selera ketika masuk ke hutan atau mendaki Gunung Tahan di Kuala Lipis.
Penduduk asal Kampung Merapoh, Maznah Abdullah, 56, sempat mempelajari masakan tradisi itu daripada orang-orang lama sewaktu membantu kerja-kerja memasak di majlis kenduri.
|
"Kami selalu bergotong-royong membuat sambal hitam belimbing buluh apabila ada sebarang majlis keramaian di kampung ini. Di situlah saya belajar cara-cara hendak memasaknya.
"Cara penyediaannya mudah tetapi agak leceh kerana tempoh memasak sambal ini agak panjang. Ia disebabkan belimbing buluh terpaksa direbus tanpa air sehingga warnanya bertukar hitam iaitu kira-kira selama lima jam," katanya ketika ditemui Kosmo!.
Difahamkan, sambal hitam belimbing buluh boleh tahan selama berbulan-bulan jika dimasak dengan betul dan disimpan di dalam peti sejuk.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti belimbing buluh, ikan bilis, lada api, garam, bawang putih, bawang merah dan bawang besar.
Belimbing buluh dan garam hendaklah dimasukkan ke dalam periuk dan direbus dengan api sederhana. Rebusan tersebut mengambil masa selama beberapa jam bergantung kepada kuantiti belimbing yang digunakan.
Kemudian, air belimbing yang terhasil ditoskan dan belimbing itu diasingkan sebelum ditumbuk dengan lesung. Ikan bilis yang siap dibersihkan turut ditumbuk sederhana halus untuk digaul bersama belimbing.
Seterusnya, bahan-bahan seperti bawang putih, bawang merah, bawang besar dan cili dikisar halus. Akhirnya, kesemua bahan kisaran, belimbing dan ikan bilis yang siap ditumbuk perlu digaul sebati dan digoreng garing.
Ikan bilis yang disyorkan mestilah bukan daripada jenis yang terlalu kasar atau terlalu halus bagi mendapatkan tekstur sambal yang kering dan berderai.
Resipi tradisi tersebut berpotensi untuk dikomersilkan sebagai produk industri kecil sederhana kerana bahan-bahan asasnya mudah didapati dan boleh disimpan untuk satu jangka masa lama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: