IMPIAN seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Muhammad Sirajuddin Mohd. Zaini untuk menaiki sebuah kereta Ferrari sport yang berharga jutaan ringgit akhirnya terlaksana baru-baru ini sebelum dia meninggal dunia.
Sirajuddin meninggal dunia selepas dia menghidap penyakit barah tulang sejak tahun lepas. Kanak-kanak istimewa ini telah meninggal dunia kerana sesak nafas selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Sebelum meninggal dunia, dia pernah menyatakan hasratnya kepada Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia untuk menaiki kereta sport itu.
Hasrat itu akhirnya dijadikan kenyataan oleh pengasas Kumpulan Empire, Datuk Sean Y. T Ng yang membawa Sirajuddin bersiar-siar dengan kereta buatan Itali itu pada 4 Ogos lepas di Subang Jaya, Selangor.
Namun, tidak ramai yang mengetahui mengenai persatuan yang telah membantu menjadikan impian Sirajuddin menjadi kenyataan. Antara individu pencetus persatuan itu ialah Teoh Teik Hong.
Hong memberitahu, persatuan itu ditubuhkan pada Mei 2008.
“Objektif utama persatuan ini adalah untuk menunaikan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal seperti kanser, leukimia dan penyakit otak.
“Majoriti pemohon yang hasrat mereka ditunaikan adalah yang tidak dapat hidup lama.
“Harapan kami apabila impian tertunai, pesakit dan keluarga mereka akan gembira,” ujar lelaki berusia 43 tahun ini.
Jelas Hong, kriteria pemilihan kanak-kanak dibuat oleh ahli persatuan itu yang juga terdiri daripada doktor-doktor hospital kerajaan dan swasta.
Umur pemohon pula seawal dua bulan hingga 18 tahun.
|
Pada awal bulan ini, seorang kanak-kanak lelaki, Chin Zhe Wei yang berusia 15 tahun menerima komputer riba idamannya di Johor Bahru.
Zhe Wei menghidap penyakit berkaitan kelemahan otot yang menyebabkan beratnya hanya 24 kilogram.
Seorang pesakit leukimia, Nurazarina Mohammad Zamri, 9, turut menerima komputer riba daripada persatuan itu di rumahnya di Pendang, Kedah pada awal tahun ini.
Hong turut ditanya mengapa impian lelaki dewasa tidak ditunaikan.
Semua kaum
“Mereka boleh menunaikan impian mereka sendiri sekiranya telah bekerja. Sebagai contoh, jika lelaki dewasa umurnya sudah menjangkau 70 tahun dan impiannya untuk memiliki isteri berusia 20 tahun, mungkin jenuh untuk dilaksanakan,” cerita Hong sambil ketawa.
Tambah lelaki yang gemar tersenyum ini, setakat ini persatuan itu telah menunaikan impian 300 kanak-kanak dalam tempoh lima tahun.
Katanya, 80 peratus impian yang ditunaikan itu terdiri daripada kanak-kanak kaum Melayu.
“Tetapi, kami tidak mengira kaum sebenarnya.
“Perbelanjaan yang telah dikeluarkan adalah lebih RM1.5 juta dengan 50 peratus dikutip melalui jualan amal selain bantuan daripada syarikat-syarikat korporat,” katanya.
Jelasnya, lokasi kanak-kanak yang dibantu bukan sekadar di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara.
Ajal
Hong menjelaskan, ada juga impian kanak-kanak yang tidak dapat ditunaikan.
“Sebagai contoh ada yang ingin menunaikan umrah dan haji tetapi kerana penyakit dan kekurangan fizikal kami memberikan opsyen kedua.
“Kebanyakan kanak-kanak meminta gajet canggih, melawat ke taman permainan atau bertemu dengan pasukan bola sepak kegemaran mereka,” jelas Hong.
Jelasnya, ada permintaan yang perlu ditunaikan dalam tempoh masa yang singkat iaitu kurang 24 jam.
Ia adalah disebabkan tahap keseriusan penyakit yang dialami kanak-kanak terlibat.
“Malah, ada kes hasrat mereka tidak tertunai kerana telah meninggal dunia. Namun, keperluan atau impian mereka disalurkan kepada keluarga,” katanya.
Hong menyatakan, ada masnya, dia memerlukan penggunaan sampan, meredah hutan dan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk menunaikan hasrat kanak-kanak.
“Kebanyakan kes seperti ini berlaku di Sabah dan Sarawak.
“Bagaimanapun, kesukaran itu ibarat kata pepatah alah bisa tegal biasa berbanding kesakitan yang mereka alami,” katanya sambil berfalsafah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: