Monday, August 12, 2013

Galakan ternak ayam kecil-kecilan


MASYARAKAT digalakkan menternak ayam secara kecil-kecilan bagi mengurangkan permintaan di pasaran.


AYAM merupakan antara sajian wajib setiap kali musim perayaan. Baik masyarakat Melayu, Cina atau India, hakikatnya ayam sudah sebati dengan lidah pelbagai lapisan masyarakat Malaysia.
Ayam boleh dipelbagaikan masakannya seperti sup, paprik, rendang, masak lemak, kari dan sebagainya.
Bahkan, bagi sesetengah individu, nasi yang dimakan bersama seketul ayam goreng mampu membangkitkan selera.
Perkara itu diakui oleh kakitangan swasta, Hidayatul Akmal Ahmad, 28. Katanya, ayam menjadi hidangan wajib baik pada musim perayaan mahupun majlis kenduri-kendara atau perkahwinan.
"Ia mudah disediakan, cepat masak dan rasanya enak," katanya ketika ditemui. Wanita berkulit sawo matang yang tidak lekang dengan senyuman itu memberitahu, pada kebiasaan, ibunya Zakiah Abdul Ghani, 58, menyediakan rendang ayam kampung dan ayam masak kicap pada pagi hari raya.
Kira-kira 10 ekor ayam digunakan untuk memasak kedua-dua hidangan yang menjadi kegemaran tetamu itu.
Ibunya turut menyediakan rendang daging, namun rendang ayam tetap menjadi pilihan sanak saudara dan sahabat handai.
"Rasa rendang ayam kampung memang sedap kerana dagingnya manis dan lembut, jadi tidak hairanlah dua hari sahaja sudah licin," ujar Hidayatul Akmal sambil menambah, hidangan itu juga sering menjadi menu harian apatah lagi jika adik-beradik pulang ke kampung.
Harga ayam naik
Sejak kecil Hidayatul Akmal sudah biasa makan ayam dan kenaikan harga ayam baru-baru ini turut membimbangkannya.
"Bukan apa, jika menu ayam ditukarkan kepada ikan, saya rasa tidak sesuai untuk divariasikan terutama pada musim perayaan," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Akhbar baru-baru ini melaporkan kenaikan harga ayam di beberapa pasar basah dan pasar raya di ibu negara.
Berdasarkan laporan itu, harga ayam naik daripada RM7.50 ke RM8.50 sekilogram. Kenaikan secara mendadak itu berlaku ekoran permintaan terhadap bekalan ayam meningkat daripada 1.2 juta kepada 2.2 hingga 2.4 juta ekor sehari pada bulan Ramadan sehingga sambutan Aidilfitri.
Bimbang senario itu terus berlarutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan harga ayam standard pada kadar RM7.70 sekilogram.
Harga tersebut dilaksanakan selama 17 hari bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini. Sehubungan itu, para peniaga wajib menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, golongan peniaga bukannya menaikkan harga sewenang-wenangnya tetapi ia berlaku apabila pembekal bertindak menaikkan harga.
Sebelum ini, dia menjual ayam pada harga RM7.50 sekilogram tetapi terpaksa menaikkannya kepada RM8.50 selepas menerima ayam daripada pembekal pada harga RM7.30 sekilogram.
"Kami tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga. Namun, apa yang dikesali pengguna menuduh kami menaikkan harga sesuka hati sedangkan pembekal yang membekalkan ayam melebihi harga siling.
"Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan mencari alternatif terbaik bagi menyelesaikan masalah ini kerana kami sering dituduh menjadi punca kenaikan harga ayam," tegasnya sambil menyifatkan tindakan boikot membeli ayam tidak pernah berjaya.
Pengusaha katering, Azarul Bahari berkata, dia sendiri sukar untuk memboikot ayam memandangkan pelanggan yang merancang mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri pasti menempah menu berasaskan ayam.

PERMINTAAN bekalan ayam mencecah 2.4 juta ekor sehari pada bulan Ramadan dan Aidilfitri ini.


Pelanggan merungut
Hidangan ayam seolah-olah hidangan wajib majlis rumah terbuka berbanding ikan dan daging. Lagipun, ayam boleh dimakan bersama menu lain berbanding ikan.
"Bayangkan nasi beriani bersama gulai ikan, hidangan itu bukan sahaja tidak sesuai malah gabungan yang tidak kena," ujarnya.
Menurut Azarul, menu ayam sesuai dinikmati oleh semua kaum di Malaysia.
Azarul mengakui, ekoran kenaikan harga ayam, pihaknya tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga hidangan.
"Kami terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu menanggung kerugian. Pelanggan memang merungut ekoran kenaikan harga tersebut.
"Saya berharap pihak kementerian memantau tindakan menaikkan harga ayam kerana ia membebankan banyak pihak," ujarnya.
Sementara itu, usaha wartawan Kosmo! untuk mendapatkan komen Presiden Persatuan Bahagian Ayam Daging Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Kwei Yew Tong gagal kerana beliau tidak menjawab panggilan telefon.
Longgarkan syarat
Hakikatnya, masalah kenaikan harga ayam berlaku pada setiap tahun. Justeru, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Mohd. Yusuf Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan menggalakkan masyarakat negara ini menceburi bidang penternakan secara kecil-kecilan.
"Selain bantuan modal dan latihan, kerajaan boleh melonggarkan syarat untuk menternak ayam di kawasan perumahan," katanya.
Cadangan itu agak bernas memandangkan permintaan ayam pada era 70-an tidak pernah meningkat terutama di luar bandar.
"Orang dulu lebih gemar menternak ayam, jadi apabila musim perayaan, mereka menggunakan hasil ternakan itu sahaja. Ia bukan sahaja menjimatkan wang malah hasil ternakan mereka lebih berkhasiat," jelasnya.
Langkah itu dilihat dapat menangani masalah permintaan yang meningkat menjelang musim perayaan berbanding memboikot pembelian ayam.
Boikot juga bukan penyelesaian terbaik dalam isu kenaikan harga ayam sebaliknya pengguna boleh mengurangkan pembelian dan makan ayam.
"Misalnya, jika kita makan ayam empat kali seminggu kita kurangkan, susah jika kita tidak mahu makan terus sebab ayam antara makanan utama rakyat Malaysia.
"Apa yang pasti sekiranya pengguna dapat mengurangkan pembelian dan makan ayam, permintaan dalam pasaran akan berkurangan seterusnya menurunkan harga ayam," ujarnya Mohd. Yusof.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: