Saturday, August 24, 2013

Zarina dipukul penjual sayur

ZARINA ada petua sendiri untuk kekal cantik.


BIARPUN usia pelakon Zarina Zainuddin sudah mencecah 43 tahun, ibu kepada empat orang anak itu masih kekal cantik dan langsing.
Bertemu dengan Zarina pada majlis rumah terbuka program Wanita Hari Ini di Restoran 10Binjai di PNB Darby Park, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia yang mengenakan baju kurung berwarna merah jambu mendedahkan tentang kontroversi yang dialaminya ekoran kegemarannya memuat naik gambar-gambarnya di laman Instagram.
Berikut sedutan temu bual Kosmo! bersama Zarina.
Kosmo!: Lama tidak muncul dalam media, apakah perkembangan Zarina sekarang?
ZARINA: Saya baru habis penggambaran drama Teduhan Kasih. Terkini, saya bakal berlakon dalam drama Janji Adam untuk siaran TV3. Dalam drama itu, saya bawa watak sebagai ibu kepada pelakon Elfaeza Ul Haq.
Ramai memuji lakonan karakter antagonis anda sebagai kakak tiri Iffa (lakonan Sherry Ibrahim) dalam drama Teduhan Kasih? Bolehkah Zarina komen?
Pada mulanya saya bimbang mahu bawa watak antagonis, gusar orang benci. Tetapi bila tonton lakonan sendiri, rasa kelakar pula.
Zarina ada mengalami implikasi selepas membawa watak tersebut?
Ada yang suka dan ada yang tidak suka. Tetapi paling teruk, saya kena pukul dengan seorang peniaga sayur di pasar. Dia pukul bahu saya bertubi-tubi dan kata saya jahat. Tetapi saya tidak marahkan peniaga itu dan menganggap ia reaksi spontannya impak menonton lakonan saya dalam drama Teduhan Kasih.
Adakah anda serik membawakan watak antagonis?
Tidak! Saya rasa watak antagonis bagus sebab kita kena main dalaman. Dapat lontarkan perasaan tanpa ada sekatan.
Anda dilihat gemar memuat naik gambar di laman Instagram milik anda iaitu @zarinazainuddin2008? Ada atau tidak sebarang kritikan daripada peminat?
Instagram saya boleh diibaratkan seperti diari yang saya kongsikan kepada peminat. Instagram saya mulai aktif sejak bulan Mei lalu. Anak saudara yang tolong buatkan. Selepas gunakannya, jadi seronok pula nak kongsikan gambar. Saya memang jenis orang yang jujur berkongsi apa sahaja dengan peminat. Saya tidak suka hipokrit. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak terima komen yang terlalu teruk. Cuma, ada seorang peminat yang mengkritik saya memakai telekung tetapi wajah masih tercalit solekan. Bagi saya, kalau solekan itu halal tiada salahnya walaupun ketika melakukan solat.
Apakah reaksi anda terhadap komen peminat itu?
Selepas dia komen, saya terus lihat gambar-gambar dia di Instagram. Saya turut komen terhadap salah satu gambarnya mengatakan ‘adik, kalau mahu komen lihat diri sendiri dulu. Kita manusia biasa kadangkala ada melakukan kesalahan’. Selepas saya komen dia terus block (sekat) saya daripada akses Instagram dia.
Kebanyakan artis yang memasuki umur 40 tahun ke atas mula mengambil suntikan kecantikan bagi mengekalkan kejelitaan wajah? Bagaimana dengan Zarina?
Saya tidak pernah ambil suntikan kecantikan. Saya lebih percaya pada jamu dan juga pengambilan air buah peria setiap hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: