Tuesday, August 27, 2013

Pilihan wanita bersaiz besar



SEBELUM ini, fesyen wanita bertubuh besar kurang diberi perhatian menyebabkan golongan ini sukar mencari busana yang bersesuaian. Namun demikian, perkembangan dunia fesyen masa kini telah membuka ruang kepada wanita-wanita tersebut untuk kelihatan anggun dan menawan, setara dengan gaya moden dan elegan.
“Tidak dinafikan, dahulu saya sukar mencari baju-baju yang bersesuaian dengan bentuk tubuh. Tidak banyak jenama yang menjual baju-baju bersaiz besar, terutamanya yang cocok dengan kebanyakan tubuh wanita Asia,” kongsi Ayesha Frances Adam, 28, ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah ibu kepada seorang anak itu, kebanyakan busana-busana bersaiz besar tidak menepati cita rasanya yang menggemari gaya minimalis tanpa mengabaikan keselesaan. Namun, kekangan tersebut semakin dapat diatasi dengan kepelbagaian rekaan bagi wanita bertubuh besar yang ditawarkan di pasaran, terutamanya di butik-butik secara talian dan beberapa jenama luar negara yang kini tersedia di Malaysia.
Jenama antarabangsa seperti H&M dan Topshop misalnya, menawarkan pilihan rekaan bersaiz sehingga XXL. Begitu juga dengan butik secara talian seperti Surisara.
Perkembangan positif itu turut disambut gembira oleh Syahira Shaharudin, 25, kerana semakin banyak fesyen yang sesuai digayakan oleh wanita bertubuh besar.
“Ia membuka ruang kepada wanita seperti saya bergaya dengan pelbagai fesyen terkini. Tawaran yang pelbagai ini membolehkan semakin ramai wanita sepertinya bergaya dan tidak terikat kepada fesyen tertentu sahaja,” ujar pelajar bidang komunikasi massa di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya kepada Stailo.
Baginya, wanita bertubuh besar tidak perlu takut untuk berfesyen, sebaliknya harus berani memilih gaya yang bersesuaian dengan bentuk badan.
“Tetapi, ia mestilah berlandaskan asas fesyen yang betul dan tidak terlalu berlebihan. Jadikan paparan fesyen di majalah atau selebriti kegemaran sebagai panduan.
JENAMA Surisara tertumpu kepada wanita muda yang bijak bergaya dan wanita bersaiz besar yang elegan.


“Saya meminati fesyen yang dibawakan oleh Dina Tokio yang mempunyai susuk tubuh kecil dan ramping. Bagi menyesuaikan gayanya dengan personaliti saya, beberapa penambahan dilakukan agar gaya tersebut tidak kelihatan canggung ketika dipakai,” kongsinya.
Sebagai contoh, ujar Syahira, tidak ramai wanita bertubuh besar yang berani memakai seluar legging. Namun, gaya tersebut boleh dijayakan dengan pilihan seluar berwarna gelap yang dipadankan dengan baju berona ceria sebagai pusat tumpuan.
“Fesyen hari ini sangat versatil. Setiap wanita perlu memperbanyakkan ilmu melalui pembacaan dan peka dengan peredaran fesyen terkini,” kata gadis yang juga merupakan seorang jurugaya sambilan.
Mengulas mengenai fesyen wanita bertubuh besar, pereka fesyen, Syomir Izwa menasihati golongan ini agar sentiasa berpegang kepada prinsip asas fesyen. Ini termasuk mengenali kelebihan dan kelemahan bentuk tubuh.
“Setiap wanita mempunyai bentuk badan yang tersendiri. Mereka perlu memberi penekanan bahagian mana yang ingin diserlahkan.
“Sebagai contoh, jika wanita berkenaan mempunyai bahagian dada yang besar, alihkan tumpuan ke bahagian lain dengan memilih aksesori atau warna yang sesuai,” katanya.
Beliau menambah, aksesori, seperti rantai labuh atau blazer, boleh menjadi penyelamat kepada fesyen wanita bertubuh besar.
“Rantai dipakai tidak melepasi pinggang, sementara pilih blazer atau kardigan yang mempunyai rekaan mengikut tubuh. Ini dapat memberi visual bahagian dada yang lebih kecil,” jelasnya ketika dihubungi Stailo baru-baru ini.
Pemilihan fabrik juga memainkan peranan penting kepada gaya keseluruhan seseorang wanita.
“Elakkan memakai fabrik yang terlalu berkilat seperti satin atau baldu kerana ia menampakkan kelemahan bentuk tubuh. Langkah terbaik adalah memilih fabrik daripada jenis sifon kerana ia lebih ringan dan beralun.
“Selain itu, corak-corak melintang membuatkan tubuh kelihatan lebar, maka pilih fabrik bercorak menegak atau simetri bagi mewujudkan ilusi langsing kepada tubuh,” jelasnya.
SAIZ yang ditawarkan jenama Surisara mencecah sehingga 6XL.


Kebanyakan wanita gemar menambah batu-batu jemeki atau manik bagi menaikkan seri busana mereka. Menurut Syomir, penataan taburan batu-batu tersebut perlu diletak pada bahagian-bahagian tertentu sahaja.
“Jika seseorang wanita mempunyai bahagian pinggul dan pinggang yang lebar, tumpukan jahitan hiasan ini pada bahagian dada tetapi dalam kuantiti yang tidak berlebihan,” nasihatnya yang juga telah mengeluarkan koleksi istimewa hari lebaran bersama Surisara.
Syomir menambah, pilihan warna dapat memberi efek langsing kepada tubuh seseorang tetapi ia perlu bijak digayakan bersama aksesori.
“Selebriti antarabangsa seperti Oprah Winfrey dan Queen Latifah pernah memakai busana serba putih tetapi mereka menambah pilihan subang, kasut dan penataan rambut yang menutupi bahagian-bahagian yang lemah,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: