|
USIANYA baru sahaja mencecah 22 tahun, tetapi vokalis kumpulan Mojo, Aweera berhadapan dengan pengalaman pahit apabila telah diisytiharkan muflis.
Perkara berkenaan tersebar menerusi satu notis yang telah dikeluarkan oleh sebuah akhbar pada 11 Julai lalu, malah pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Norhissham turut mengakuinya.
Berkesempatan bertemu dengannya semasa majlis rumah terbuka anjuran KRU Studios di Cyberjaya baru-baru ini, pelantun lagu Andaiku Bercinta Lagi itu enggan mengulas lanjut.
Tegasnya, dia mahu semua permasalahan yang melanda dirinya itu diselesaikan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan kepada mana-mana pihak.
Kosmo!: Kalau tidak keberatan, boleh Aweera jelaskan dengan lebih lanjut berhubung pengisytiharan muflis tersebut?
AWEERA: Saya ingin memohon maaf kerana tidak boleh bercerita dengan lebih mendalam. Apa yang boleh saya katakan, ia masih lagi dalam proses untuk diselesaikan.
Ketika ini saya masih lagi berbincang dengan pihak bank dan mencari jalan supaya perkara ini dapat diselesaikan. Kalau sudah ada keputusan muktamad dibuat, barulah saya akan buat kenyataan.
Apakah tujuan Aweera membuat pinjaman?
Rasanya ia terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum, namun ia merupakan pinjaman peribadi yang dibuat ketika saya berusia 19 tahun dan sudah bekerja di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di unit kebudayaan.
Adakah Aweera telah ditipu oleh mana-mana pihak sehingga tidak mampu membuat bayaran dan diisytiharkan muflis?
Semasa bekerja dahulu tidak dinafikan memang ada rakan sekerja yang mempunyai hasad dengki. Saya akui semua yang terjadi ini akibat daripada sabotaj oleh rakan sendiri.
Adakah masalah ini telah menjejaskan karier Aweera selaku seorang penyanyi?
Apabila ramai yang sudah mendapat tahu mengenai perkara ini terdapat sedikit tekanan yang saya rasai, terutamanya ada yang telah bertanya mengenainya.
Jadi, untuk menghilangkan rasa tekanan yang dialami itu, saya lebih fokus kepada kerja. Saya tidak mahu terlalu memikirkan sangat dan berharap semuanya dapat diselesaikan.
Adakah pihak KRU Studios turut campur tangan dengan masalah yang dihadapi Aweera?
Memandangkan ini merupakan masalah peribadi saya sendiri, mereka langsung tidak masuk campur. Namun begitu, mereka telah menasihati saya supaya mencari jalan terbaik dan tenang berhadapan dengan segala cabaran yang dilalui ini.
Bagaimanakah pula dengan perkembangan Aweera bersama Mojo sekarang?
Ketika ini kami baru sahaja selesai merakamkan lagu runut bunyi untuk filem Vikingdom yang berjudul Dark Clouds. Lagu hasil ciptaan Edry dan Yusry Abdul Halim itu boleh dikatakan single terbaharu Mojo selepas Andaiku Bercinta Lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: