Tuesday, August 27, 2013

Bapa si mati tetap berkeras



IPOH - Bapa kepada Allahyarham Sherul Aizam, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat tetap enggan mengebumikan jenazah anaknya itu yang masih tersimpan di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak bulan lalu selagi bedah siasat kedua tidak dilakukan.
Pendirian terbaharu tersebut sekali gus membuktikan beliau tidak mempedulikan pandangan masyarakat sekeliling termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) supaya menyegerakan pengebumian jenazah anaknya itu.
Mohd. Damanhuri, 50, (gambar kecil) sebaliknya kesal dengan sikap pegawai JAIPk kerana enggan mengadakan perbincangan dengannya di rumah mengenai isu tersebut sebagaimana dijanjikan.
Sehingga hari ini, jenazah Sherul Aizam telah tersimpan di bilik mayat HRPB selama 38 hari.
"Saya dan keluarga akan terus menunggu bedah siasat kedua pada 3 September ini sebelum jenazah anak saya itu dikebumikan.
"Saya harap semua pihak menghormati perasaan dan pendirian saya serta keluarga mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Pada 27 Julai lalu, Mohd. Damanhuri membuat laporan polis di Balai Polis Manjoi di sini kerana tidak berpuas hati dengan siasatan kematian anaknya dan menuntut supaya siasatan dan bedah siasat kedua dilakukan.
Menurutnya, keraguan itu berpunca selepas dia melihat keadaan mayat Sherol Aizam yang terdapat beberapa kesan kecederaan pada badan.
Dalam kejadian 20 Julai lalu, tindakan Sherul Aizam, 27, yang cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: