Wednesday, August 28, 2013

Hanez tolak cinta sesama artis

HANEZ SURAYA tidak menyangka hubungan cinta sesama artis yang dijalinkannya bersama bekas kekasihnya, Awi Rafael menemui jalan kesukaran.


APABILA pelakon Hanez Suraya menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael, ramai yang melihat mereka merupakan pasangan yang cukup serasi.
Bagaimanapun, ikatan cinta yang terjalin tidak sampai setahun akhirnya terlerai dan masing-masing telah mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri.
Ketika bertemu dengan Hanez pada majlis rumah terbuka anjuran Media Prima di Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon drama bersiri Autumn Di Hatiku itu mengakui dia masih belum berjumpa pengganti yang sesuai.
Ujarnya, memiliki pasangan hidup bukanlah matlamat utamanya sekarang dan mengakui hidupnya lebih bebas dan selesa tanpa mempunyai sebarang komitmen dengan mana-mana lelaki.
Kosmo!: Sejak putus cinta dengan Awi, adakah Hanez cuba didekati oleh lelaki lain?
HANEZ: Bohonglah kalau saya katakan tiada lelaki lain yang ingin mendampingi saya. Cuma, saya lebih selesa untuk berkawan sahaja dan belum bersedia untuk bercinta semula.
Lagipun agak terlalu awal kalau saya hendak mencari pengganti. Sekiranya menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan seseorang, saya perlu ambil masa untuk mengenalinya.
Apakah kriteria utama lelaki pilihan Hanez?
Paling utama, lelaki tersebut bukanlah seorang artis. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu lagi bercinta dengan artis dan mahu memilih orang biasa sebagai teman hidup.
Mungkin ramai yang bertanya kenapa saya mempunyai pendirian sebegini, tetapi berdasarkan pengalaman yang telah dilalui rasanya itulah pilihan yang terbaik boleh saya lakukan.
Dahulu, saya sangka cukup senang apabila mendapat pasangan sesama artis ini. Bagaimanapun, ia tidak seperti yang diharapkan dan puncanya lebih kepada komitmen terhadap kerjaya masing-masing.
Pada usia yang sudah mencecah 28 tahun, adakah keluarga tidak mendesak Hanez supaya berumah tangga?
Sebenarnya saya beruntung kerana memiliki keluarga yang cukup memahami. Setakat ini mereka langsung tidak bertanya tentang perkahwinan dan mahu saya sendiri yang tentukannya.
Apabila pulang ke kampung dan menziarahi saudara-mara sempena Aidilfitri, tiada sebarang pertanyaan yang diajukan kerana mereka tahu saya kurang gemar untuk menjawab soalan berkaitan perkahwinan.
MENGANGGAP kontroversi yang melanda dirinya sebagai pengajaran, Hanez Suraya kini mengambil sikap untuk tidak cepat melatah.


Bagaimanakah pula Hanez melihat perjalanan karier sendiri pada tahun ini?
Saya bersyukur kerana rezeki dalam dunia lakonan semakin bertambah hasil usaha keras yang dilakukan. Namun begitu, apa yang dikecapi juga merupakan sokongan padu daripada para peminat.
Populariti dan kontroversi terhadap Hanez dilihat berlaku seiringan. Jadi, bagaimanakah anda melihat keadaan ini?
Tidak dinafikan kontroversi memang turut membantu menaikkan tahap populariti seseorang artis, tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk menepis segala cerita negatif yang membabitkan diri saya.
Bergelumang dalam kehidupan sebagai seorang artis, kontroversi itu merupakan sebahagian daripada asam garam yang terpaksa ditempuhi. Jadi, saya tidak mahu terlalu cepat melatah dan anggap ia sebagai satu pengajaran yang berguna dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: