• Nelydia Qi Razali dan Nelydia.
Selain kisah cinta kakaknya, Uqasha Senrose bersama Pekin menjadi sebutan, hubungan Nelydia Senrose atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 19, bersama pengacara popular, Qi Razali turut menjadi perhatian.

Terbaru, pelakon cantik yang terkenal menerusi drama bersiri Setia Hujung Nyawa ini menerima sebentuk cincin daripada buah hatinya. Malah perkara itu turut disahkan oleh Nelydia sendiri.

"Cincin itu dihadiahkan oleh Qi sempena hari lahir saya. Ia tidak bermaksud apa-apa, selain hadiah semata-mata.

"Kami tidak dapat meraikannya bersama kerana Qi terlibat dengan penggambaran di Argentina. Jadi cincin ini diberi sebagai ingatan," kata Nelydia dengan penuh teruja.

Masih dalam proses mengenali hati budi, Nelydia mengakui semakin selesa bersama Qi. Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mereka memikirkan soal perkahwinan.

"Buat masa ini, saya belum bersedia dalam memikirkan soal perkahwinan kerana banyak yang perlu saya fikirkan untuk menjadi seorang isteri.

"Perkahwinan bukan perkara yang mudah, banyak lagi yang perlu saya belajar. Namun sekiranya sudah sampai jodoh saya bersama Qi, saya akan terima," katanya.

Ditanya mengenai Qi, aktres yang mula mencipta nama menerusi drama Spa Q ini memberitahu, sikap Qi yang memahami serta mengambil berat tentang dirinya itu membuatkannya tertarik.

"Sepanjang kami berkenalan, dia tidak pernah mengongkong saya, malah dia juga banyak memberi semangat dan nasihat.

"Dia juga sangat menghormati apa yang saya lakukan," katanya yang ditemui ketika pelancaran drama bersiri Strawberi Karipap.


Enggan jaja kisah peribadi

Meskipun hatinya sedang berbunga, namun hakikatnya gadis manis ini kurang selesa apabila kisah cintanya menjadi buruan media dan juga peminat.

Akui Nelydia, dia tidak mahu kisah cintanya itu menjadi tumpuan sepertimana hubungan kakaknya bersama Pekin.

"Sebolehnya saya tidak mahu media terlalu menyiarkan kisah cinta kami dan cukuplah masyarakat dah tahu kami bercinta "Saya lebih selesa sekiranya media melaporkan kerjaya kami berbanding kisah peribadi," tuturnya.

Jelas Nelydia, usianya masih muda dan banyak perkara yang ingin dilakukan. Selain karier, dia juga harus membahagikan masa untuk pembelajaran.

"Memang cabaran besar untuk saya membahagikan masa berlakon dan juga belajar.
"Saya risau sebenarnya tentang pembahagian masa kerana banyak komitmen saya setiap hari, kalau boleh saya ingin memberi fokus utama terhadap pelajaran. Namun saya harap segalanya dipermudahkan," katanya yang mengambil jurusan psikologi di sebuah IPTS.

Menurutnya, pendidikan adalah keutamaan untuk mengejar cita-cita yang diimpikan selama ini.

"Jika diberi peluang saya akan terus menyambung pelajaran dalam bidang yang sama cuma kali ini di luar negara

"Saya juga, tidak akan berhenti dari dunia lakonan, cuma mahu memberi tumpuan terhadap pelajarannya," katanya.


Tawaran mencurah

Menyentuh mengenai perkembangan karier seninya, selain Cinta Jannah yang bersiaran di slot Akasia TV3, Nelydia juga bakal muncul dengan dua filem lakonannya, Cinderella arahan Ahmad Idham dan juga filem komedi terbitan KRU Studio.

"Saya rasa bersyukur penglibatan saya dalam bidang ini diterima ramai, dalam pada masa sama banyak yang perlu saya pelajari untuk teruskan bidang ini dengan lebih mendalam.

"Saya menganggap bahawa itu merupakan salah satu semangat untuk terus bekerja dan mengembangkan lagi bakat yang saya ada dalam dunia lakonan," katanya.