|
MEMASUKI tahun keempat penganjuran Festival Seni Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Malam Melayu Klasik dan Makyung menjadi fokus utama kali ini. Festival selama seminggu bermula pada 16 hingga 22 September ini membuka tirai dengan persembahan bertemakan Malam Melayu Klasik menampilkan Badan Kesenian Yayasan Warisan Johor, penyanyi asli veteran Datuk Andre Goh dan penyanyi asli angkatan baharu, Haziq.
Konsert itu bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September.
Berkongsi keterujaan menantikan konsert pertama di pentas berprestij DFP, ujar Datuk Andre Goh, dia sebenarnya tidak pernah terfikir untuk menjejakkan kaki di dewan tersebut.
“Saya rasa teruja dan berbangga apabila pihak DFP menghubungi saya dan tidak menganggap ini sebagai konsert saya sebaliknya cuma penyanyi selingan.
“Tidak pernah termimpi pun sebenarnya untuk mengadakan persembahan di pentas DFP dan sejujurnya saya sangat tersentuh apabila dipilih untuk mengadakan persembahan Malam Melayu Klasik.
“Pada masa sama, saya tertanya-tanya dan masih was-was mampukah saya atau masih ada orang yang mahu tengok saya menyanyi lagi?” katanya merendah diri.
Andre Goh yang ditemui ketika sidang akhbar pengumuman Festival Seni DFP di Hotel Traders, Kuala Lumpur baru-baru ini bagaimanapun tetap mengharapkan sambutan ramai dan kejayaan Malam Melayu Klasik pada 16 September nanti.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan oleh Andre dan Haziq pada malam tersebut seperti Mas Merah, Pasir Roboh, Seri Mersing, Halimun Malam, Bunga Tanjung, Tak Seindah Wajah, Di Ambang Sore dan Mohon Kasih.
Harapan Makyung
Festival diteruskan dengan persembahan teater tradisional Makyung pada hari Jumaat, 20 September pukul 8.30 malam. Kumpulan Makyung Kijang Emas Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Kelantan diberikan penghormatan untuk mementaskan Makyung Raja Besar Ho Gading.
Pementasan yang sering mendapat perhatian luar biasa setiap kali dipersembahkan itu menceritakan kisah dramatik perebutan takhta Kerajaan Ho Gading yang mempunyai tujuh putera.
Bagaimanapun, putera bongsu menjadi mangsa cemburu kekanda-kekanda beliau hingga dicampakkan ke dalam telaga sebelum diselamatkan dan dikurniakan kuasa sakti untuk menuntut bela.
Rosnan Abdul Rahman merupakan satu-satunya Pakyung lelaki dalam seni persembahan Makyung bakal melakonkan peranan Raja Besar Ho Gading untuk pementasan tersebut.
“Setiap orang mengimpikan untuk membuat persembahan di pentas DFP dan sepanjang berkecimpung dalam dunia seni, inilah pertama kali saya diberikan kepercayaan dan Alhamdulillah impian menjadi realiti.
“Pementasan ini sebenarnya satu peluang kepada generasi muda terutamanya mengenali dan melihat persembahan Makyung yang selama ini hanya dibaca menerusi buku sejarah saja,” tambah Rosnan meletak harapan tinggi.
Makyung Raja Besar Ho Gading akan dipentaskan selama 1 jam 45 minit dengan membabitkan seramai 24 orang penari dan pelakon Kumpulan Makyung Kijang Emas JKKN Kelantan dan kisah itu merupakan antara 12 kisah Makyung yang terkenal dari Kelantan.
Tempahan
Menerusi tiga festival lepas, DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) telah meraikan pelbagai cabang seni seperti muzik pelbagai genre, tarian, puisi dan lukisan, dengan kolaborasi artis-artis tempatan, pelukis tersohor dan badan-badan kesenian terkenal.
Selain dua persembahan hebat itu, Festival Seni DFP bakal mempersembahkan konsert-konsert menarik seperti Spektrum (18 September), MPO Rocks (21 September) dan MPO and All That Jazz (22 September) selain pelbagai aktiviti menarik yang akan berlangsung di perkarangan lobi DFP sepanjang minggu.
Untuk tempahan tiket layari laman sesawang www.mpo.com.my atau hubungi kaunter Box Office di talian 03-2051 7007.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: