|
BUAT pertama kalinya program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) mengadakan majlis rumah terbuka di luar pekarangan Sri Pentas, TV3.
Menurut salah seorang pengacara Wanita Hari Ini iaitu Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan atau Fiza, lebaran kali ini lebih istimewa kerana majlis rumah terbuka WHI bersiaran secara langsung di PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
Mengenakan tema Masih Ada Yang Sayang, tutur Fiza lagi, rumah terbuka program popular itu turut meraikan 40 orang warga emas dari Rumah Seri Kenangan Cheras.
“Sengaja kami memilih untuk mengadakan majlis rumah terbuka di luar pula berbanding sebelum ini kami hanya mengadakannya di Sri Pentas.
“Kami mahu warga-warga emas ini seronok menikmati suasana menarik sambil menikmati makanan yang enak,” ungkapnya.
Tidak hanya menyediakan juadah raya yang enak, kongsi Fiza lagi, mereka turut menghulurkan duit raya kepada warga-warga emas tersebut.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif WHI, Siti Hatija Yusof pula berharap, sedikit sebanyak rumah terbuka yang diadakan itu dapat menceriakan warga-warga emas tersebut di samping memberi pengertian kepada semua orang agar menghargai orang yang tersayang.
“Tujuan kami mengumpulkan artis veteran dan muda serta warga emas kerana ingin menghargai mereka. Ia juga sebagai tanda penghargaan yang muda kepada yang tua di hari lebaran ini,” ulas Siti lagi.
Kemeriahan rumah terbuka itu turut diserikan dengan kehadiran personaliti WHI dan artis-artis seperti Datin Rosnani Jamil, Norlia Ghani, Raja Noorbaizura, Zarina Zainuddin, Fauzi Al Qadri (Pelakon Spa Q1 & Spa Q2) serta Shiha Mentor.
Tetamu yang hadir juga dihidangkan dengan persembahan istimewa dari Kumpulan Tijani Usaid dengan persembahan Ghazal dan Caklempong.
Selain Fiza, majlis rumah terbuka WHI pada hari itu juga diacarakan oleh Irin Putri Azmi, Nabihah Mohd. Rosdi dan Azzura Azizul Azman.
Program Wanita Hari Ini bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, pada pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang di TV3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: