Monday, August 12, 2013

Suka duka kerjaya seorang pereka



BUSANA tradisi sangat sinonim dengan sambutan Aidilfitri apabila setiap umat Islam di Malaysia memilih untuk bergaya mengenakan persalinan seperti baju kurung, kurung Kedah dan kebaya. Peralihan masa membawa inovasi kepada baju-baju tersebut atas daya kreatif sang pereka yang menghamparkan cetusan idea mempesona.
Jika dilihat hari ini, kebanyakan baju tradisional diberi penataan bak selebriti kerana ramai pelanggan, terutamanya kaum wanita, mula terdedah dengan cita rasa fesyen yang tinggi. Ia memberi galakan kepada para pereka untuk terus menghasilkan koleksi yang mampu menampakkan keayuan setiap wanita.
Namun, tiada siapa tahu, dalam kesibukan menyiapkan tempahan yang menggunung, terselit cerita suka dan duka pereka busana ini bagi memastikan setiap ukuran menjadi sepasang persalinan indah hingga pelanggan mengukir senyuman tanda kegembiraan.
Mengimbas detik awal menjadi jurubusana, gandingan Rashid Omar dan Wan Mohd. Ridzuan Wan Ismail di bawah label Wanpa, pernah tidak sempat menyiapkan baju pelanggan akibat terlebih menerima tempahan.

DARI kiri: Hazree, Afiq, Rashid, Syafenaez, Ezuwan dan Wan Mohd. Ridzuan.


“Waktu itu, kami baru lagi dalam industri fesyen sehinggakan ghairah menerima tempahan yang melangkaui kemampuan dan tenaga kerja yang ada,” imbas Rashid.
Mengehadkan tempahan
Disebabkan itu, mereka terpaksa menyudahkan kerja hingga ke malam raya bagi memastikan pelanggan tetap menerima baju.
“Sejak peristiwa itu, kami lebih berhati-hati dalam menerima tempahan terutamanya musim perayaan bagi mengelakkan detik pahit itu berulang.
“Kami mengehadkan jumlah baju dan pelanggan mesti membuat tempahan awal mengikut jangka masa yang ditetapkan,” kata Wan Mohd. Ridzuan.
Perkara sama turut dialami oleh Hazree Wahid sehingga menyebabkan dia pulang ke kampung halaman di Johor Bahru, Johor, pada malam hari raya.
“Kadang-kadang pelanggan sanggup membayar pada harga tinggi kerana membuat tempahan saat-saat akhir. Saya pula terpaksa menerimanya bukan disebabkan tamak tetapi tidak sampai hati untuk menolak memandangkan ada pelanggan terdiri daripada pelanggan tetap dan rakan-rakan,” ujarnya.
Pendatang baharu, Afiq Mohamed juga turut mengalami nasib serupa seperti pereka-pereka seniornya apabila tahun lalu beberapa pasang baju tidak sempat disiapkan dan dihantar selepas seminggu hari raya.
“Mujur pelanggan-pelanggan saya faham dengan situasi itu memandangkan mereka sendiri lambat membuat tempahan. Toleransi sebegitu memudahkan kami sebagai pereka untuk mendahulukan tempahan awal,” ujar pereka dari Rembau, Negeri Sembilan itu.
KEBAYA merah cetusan Hazree membangkitkan kemeriahan di hari lebaran.


Memori Syawal
Bagi Ezuwan Ismail pula, prinsipnya mudah, jika ada pelanggan membuat tempahan lewat, mereka akan menerima baju-baju seminggu selepas hari raya.
“Terdapat juga pelanggan yang menempah baju selepas Aidilfitri untuk disarungkan ketika menghadiri rumah terbuka,” kata Ezuwan yang bakal melangsungkan perkahwinan bersama pilihan hati pada hari raya ketiga tahun ini.
Mengimbau kenangan menyambut Aidilfitri keempat-empat pereka itu, kemeriahan perayaan lebih terasa ketika zaman kanak-kanak mereka.
Bagi Afiq, Aidilfitri disambut bersama sanak saudara menjadi lebih meriah apabila mereka berkumpul di rumah nenda di Kampung Batu, Rembau.
“Setahun sekali dapat berkumpul, tidak sah jika saya dan sepupu tidak bermain mercun. Suasana itu hanya dapat dirasai di kampung,” kenang Afiq.
Menyambut hari lebaran di kampung halaman sentiasa dinantikan oleh Hazree dan adiknya Syafenaez Wahid . Mereka memastikan berada di sisi keluarga dua hari sebelum perayaan.
“Ia merupakan tradisi kami seisi keluarga, walaupun semakin sibuk sejak bergiat aktif dalam industri fesyen, saya cuba untuk pulang ke kampung untuk bersama mereka,” kata Syafenaez.
RONA-rona ceria menjadi pilihan Ezuwan sempena musim perayaan tahun ini.


Buat baju sendiri
Ketika zaman kanak-kanak, ketibaan hari raya sangat dinantikan oleh Ezuwan kerana dia boleh mengumpul duit hasil kegigihan berkunjung ke rumah-rumah terbuka.
“Hasil kutipan itu saya gunakan untuk membeli peralatan sekolah dan menyimpan sedikit dalam tabung,” kata Ezuwan.
Lebih menarik, darah seni sebagai seorang pereka fesyen sudah bercambah dalam diri Ezuan sejak kecil apabila mampu membuat sendiri baju Melayunya.
“Menginjak usia remaja, saya sudah melaram dengan baju Melayu rekaan sendiri dan ia kekal sehingga ke hari ini,” kata Ezuwan yang wajib menjamah ketupat dan rendang pada hari raya.
Berbeza pula dengan pereka duo, Wanpa kerana mereka lebih suka membeli baju yang sedia ada kerana masa yang tidak mengizinkan untuk menjahit sendiri. “Kadang-kadang, rakan pereka seperti Fairuz Ramdan memberi sepasang baju Melayu kepada kami,” kata Wan Mohd. Ridzuan.
“Lagipun, baju untuk lelaki tidak perlukan banyak hiasan. Cukup dengan rekaan asli kerana saya sendiri lebih gemar dengan konsep yang ringkas dan minimalis,” tambah Rashid pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: