Saturday, August 31, 2013

Tidak amal sikap pilih bulu




PADA asalnya, sesi fotografi yang diaturkan bersama pelakon Khatijah Tan, Pierre Andre dan Mikail Andre bertujuan untuk keluaran khas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Selain berkongsi cerita mengenai pengalaman menyambut Aidilfitri mereka sekeluarga, Pierre dan Mikail turut bercerita mengenai perkembangan karier seni masing-masing.
Bagi Pierre atau pemilik nama sebenar Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre itu, dia mengakui agak gembira kerana adiknya telah menunjukkan minat dan berkecimpung dalam lapangan sama serta mengikut jejak langkah dia dan ibunya bergelar anak seni.
“Sudah lama saya dapat menjangkakan bahawa bakat seni ibu dan saya akan mengalir turut mengalir dalam diri Mikail, malah saya berbangga kerana dia kini semakin menyerlah.
“Begitu juga dengan mutu lakonan yang ditampilkan sudah menunjukkan peningkatan yang ketara. Kini saya semakin percaya dengan kebolehan yang ada pada dirinya,” jelasnya.
Bagaimanapun, di sebalik penampilan Mikail yang semakin ketara terutamanya di layar perak, sudah mula timbul persoalan apabila dia kerap mengambil adiknya itu berlakon dalam beberapa buah filem arahannya itu.
Sehingga kini, sudah terdapat empat buah filem yang dilakonkan oleh Mikail di bawah arahannya iaitu 1 Lawan Satu, Sniper, Highland Tower dan Perempuan Muka Surat Tujuh.
Menjelaskan mengenai perkara tersebut, Pierre menafikan bahawa dia menggunakan kuasanya sebagai pengarah untuk memilih adik sendiri berlakon dengannya.
Tegasnya, pemilihan pelakon untuk membintangi sesebuah filem itu dibuat berdasarkan kepada perbincangan dengan pihak penerbit sebelum keputusan dibuat.

MIKAIL mengakui abangnya, Pierre merupakan seorang yang serius dan cukup teliti ketika bekerja.


“Sebenarnya dalam beberapa buah filem yang saya arahkan, Mikail bukanlah pilihan utama saya. Misalnya, dalam filem terbaru saya iaitu Sniper, dia sekadar menjadi pilihan terakhir saya.
“Untuk filem berkenaan, saya telah mencadangkan dua nama pelakon lain untuk memegang watak utama, tetapi kedua-duanya telah menolak tawaran yang diberikan kerana jadual yang tidak sesuai dan akhirnya Mikail yang menjadi pilihan kerana saya melihat dia sesuai membawakan watak yang diberikan,” dedahnya.
Berkenaan dengan layanan yang diberikan terhadap adiknya ketika menjalani penggambaran, Pierre memberitahu, dia langsung tidak membezakan Mikail dengan pelakon-pelakon yang lain.
Menurutnya, sebagai seorang pengarah dia perlu bertindak secara profesional dan tidak boleh memberikan sebarang keistimewaan kepada darah daging sendiri.
“Tidak bermakna Mikail itu adik saya, layanan yang diberikan perlu berbeza dengan pelakon lain. Kalau ada sebarang kesalahan dan kesilapan yang dilakukan, saya akan tetap tegur demi kebaikannya.
“Kalau boleh, saya tidak mahu mengamalkan sikap pilih bulu kerana ia boleh memberikan impak yang kurang baik. Bekerja dalam sebuah pasukan sudah tentu memerlukan kerjasama yang baik antara satu sama lain," jelasnya.
Mengakui agak serius terhadap adiknya semasa bekerja, namun hubungan dia dan Mikail sangat rapat di luar waktu kerja memandangkan dia tidak mempunyai adik-beradik lain.
Beri peluang
Ketika ini penampilan Pierre di layar perak dilihat semakin berkurangan. Kali terakhir dia berlakon adalah menerusi filem X terbitan Metrowealth pada pertengahan tahun lalu.
Menurut Pierre, dia telah mengambil untuk berehat seketika daripada dunia lakonan kerana mahu memberi lebih fokus kepada bidang pengarahan sepenuhnya.
“Buat masa ini saya rasa seronok untuk menjadi seorang pengarah. Lagipun kebanyakan tawaran berlakon yang diterima kurang menarik minat saya.
“Selain itu, saya rasa lebih baik sekiranya peluang diberikan kepada pelakon-pelakon baharu. Dengan kemunculan ramai pelakon sekarang ini, saya lihat ada antaranya yang memiliki bakat dan potensi yang sangat besar,” ujarnya.
Namun begitu, Pierre menegaskan bahawa dengan keputusan yang dibuat itu tidak bermakna dia akan meninggalkan terus dunia lakonan buat selama-lamanya.
Menurutnya, perasaan rindu untuk berlakon itu memang ada. Malah, dia tidak menolak kemungkinan bakal kembali ke dalam dunia lakonan seawal-awalnya pada tahun hadapan.
“Seboleh-bolehnya saya mahu komitmen terhadap bidang pengarahan akan selesai sebelum saya berlakon semula kerana mengikut kontrak dengan Metrowealth, masih ada enam buah filem lagi yang perlu disiapkan,” jelasnya.

PIERRE mempunyai baki enam buah filem lagi untuk dilakonkan seperti yang sudah termeterai menerusi kontraknya bersama Metrowealth.


Tiada kelebihan
Bagi pelakon Mohd. Mikail Andre pula, dapat bekerja di bawah arahan abang sendiri sebenarnya langsung tidak memberi sebarang kelebihan buat dirinya kerana dia perlu berusaha keras dan memberi sepenuh komitmen agar tiada pihak yang mempertikaikan kemampuannya serta mengharapkan ehsan abang sendiri.
Ujarnya, hubungan antara dia dan Pierre sepatutnya tidak harus menjadi persoalan, meskipun kini dia sering menjadi pilihan untuk membintangi filem di bawah arahan abangnya itu.
“Mula-mula berlakon dulu, memang saya berasa sedikit gugup apabila Pierre bertindak sebagai pengarah dalam filem yang saya lakonkan, namun lama-kelamaan perasaan itu terus hilang.
“Selain ibu yang banyak memberi bimbingan kepada saya untuk menjadi pelakon yang baik, Pierre juga sering membantu dan berkongsi pengalamannya memandangkan saya masih lagi baharu dalam bidang ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai pandangan terhadap Pierre sepanjang berlakon di bawah arahan abangnya itu, dia melihat seorang yang cukup teliti dan serius sewaktu bekerja.
Sementara itu, memandangkan karier lakonannya yang semakin berkembang apabila kerap muncul di layar perak, Mikail turut berterima kasih kepada pihak Metrowealth yang banyak memberi peluang berlakon kepadanya.
Dia menjelaskan dirinya sentiasa terbuka untuk berlakon dengan produksi luar dan sentiasa menimbangkan sekiranya terdapat sebarang tawaran yang sesuai.
“Pihak Metrowealth tidak pernah halang langsung kalau ada sebarang tawaran, malah menggalakkan saya supaya cuba berlakon dengan produksi lain sebagai langkah mengembangkan lagi bakat lakonan yang ada.
“Tidak dinafikan tawaran itu memang ada saya terima, tetapi disebabkan masa yang kurang sesuai kerana bertembung dengan kerja lain menyebabkan saya terpaksa menolak,” jelasnya yang bakal muncul dalam filem Kisah Paling Gangster terbitan B&L Kreatif Sdn. Bhd. arahan Brando Lee pada bulan November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: