Monday, August 26, 2013

Antara perjuangan dan pengorbanan




RASANYA dalam industri perfileman negara, belum pernah lagi sesebuah filem tempatan terpaksa ditangguhkan tayangannya gara-gara provokasi yang ditimbulkan oleh segelintir pihak.
Ternyata filem terbitan Pesona Pictures dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mencipta sejarah tersendiri apabila tayangannya di pawagam tertangguh selama setahun.
Semuanya berlaku apabila ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu boleh mencetuskan ketegangan kaum apabila memaparkan kisah mengenai peristiwa 13 Mei 1969.
Bagi empat orang pelakon utamanya iaitu Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim, mereka berpendapat orang ramai perlu menonton terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.
Rusdi yang memainkan peranan utama sebagai Tun Abdul Razak berkata, sepatutnya tiada sebarang isu yang perlu dibangkitkan kerana Tanda Putera lebih memaparkan tentang sejarah tokoh terulung negara.
“Secara jujurnya saya pernah terfikir yang filem ini langsung tidak akan ditayangkan setelah timbulnya bermacam-macam isu. Ketika itu saya cuma reda sahaja dan anggap tiada rezeki buat kami.
“Sekiranya perkara tersebut terjadi, saya rasa ia merupakan satu kerugian yang sangat besar kerana seluruh tenaga produksi sudah berusaha bersungguh-sungguh dan mencurahkan segala keringat untuk filem ini,” ujarnya dalam sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.
Apabila ditanya mengenai pandangannya terhadap babak tentang rusuhan kaum yang pernah melanda negara dahulu, Rusdi menyatakan ia bukanlah satu kesalahan kalau ia memberi pengajaran kepada generasi sekarang agar perkara itu tidak berulang lagi.
Jelasnya, segala yang digambarkan dalam filem berkenaan merupakan kejadian sebenar yang pernah berlaku, tetapi ia perlu dilihat dari perspektif yang lain.
“Ia sewajarnya dipaparkan kerana ramai yang tidak tahu peristiwa hitam itu merupakan antara punca utama Tun Abdul Razak meminta Tun Dr. Ismail menyertai semula Kabinet, sekali gus dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
“Semua perkara tersebut adalah fakta sejarah dan tiada mana-mana pihak yang boleh mempertikaikannya. Lagipun, apa yang dipaparkan cuma di peringkat permulaan filem ini sahaja,” jelasnya.
Menurut anak kepada pelakon Norlia Ghani itu, dia menyarankan supaya penonton yang menonton filem berkenaan lebih menghayati kisah terhadap perjuangan dan pengorbanan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail ketika mentadbir negara.
“Mentadbir negara dalam keadaan yang masih lagi tidak aman sepenuhnya bukanlah satu tugas yang kecil. Dalam masa yang sama Tun Razak menghidap leukimia manakala Tun Dr. Ismail ada penyakit jantung tetapi kedua-duanya merahsiakannya daripada pengetahuan ramai.
“Seharusnya apa yang dilalui kedua-dua ini perlu dijadikan iktibar dan contoh kepada semua rakyat Malaysia. Perjuangan dan pengorbanan mereka begitu bermakna dan tidak harus dilupakan,” jelasnya.
MELAKONKAN watak sebagai Tun Abdul Razak merupakan cabaran besar buat Rusdi sepanjang bergelar seorang pelakon.


Bahan rujukan
Seorang lagi pelakon iaitu Zizan Nin yang memegang watak sebagai Tun Dr. Ismail pula melihat Tanda Putera bukan sekadar sebuah filem sejarah atau sebagai bentuk hiburan semata-mata.
Ujarnya, filem berkenaan sebenarnya boleh dijadikan rujukan untuk masa hadapan sekiranya ada mana-mana pihak yang berminat untuk membuat sebarang kajian tentang tokoh di negara ini.
“Tidak dapat disangkal bahawa industri perfileman tempatan agak kurang menerbitkan filem berbentuk sejarah dan patriotik, sedangkan ia agak penting untuk dihayati oleh masyarakat.
“Selepas ini saya meletakkan harapan yang sangat tinggi supaya lebih banyak lagi filem-filem sebegini dapat dihasilkan dan diterbitkan oleh pada masa akan datang,” ujarnya.
Selain itu, Zizan menyatakan, dia sentiasa membuat susulan kepada pihak penerbit tentang tarikh tayangan sebenar dan mengakui agak ralat sekiranya tidak jadi ditayangkan.
“Sebelum ini filem pertama saya iaitu Cinta Terakhir tidak jadi ditayang- kan kerana masalah di pihak penerbit. Jadi, saya takut kejadian sama akan berulang untuk filem Tanda Putera pula.
“Sehinggakan saya pernah terfikir mungkin agak kurang bernasib baik dalam filem. Akhirnya apabila menteri mengumumkan tentang tarikh tayangan filem ini pada 3 Jun lalu, saya berasa cukup lega,” jelasnya.
Dapat pujian
Tidak dinafikan bahawa golongan wanita merupakan tunjang utama terhadap kejayaan seseorang lelaki. Itulah peranan utama yang dimainkan oleh isteri kepada Tun Abdul Razak iaitu Tun Rahah serta Toh Puan Norasyikin atau Neno yang merupakan isteri Tun Dr. Ismail.
Pelakon Faezah Elai yang membawakan watak Tun Rahah dalam filem Tanda Putera berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat memegang watak seorang isteri kepada tokoh ternama.
“Tanggungjawab yang diberikan sangat besar dan saya cukup risau kalau melakukan sebarang kesilapan. Namun begitu, Shuhaimi banyak membantu saya dalam mengenali karakter Tun Rahah secara lebih dekat.
“Sepanjang mendalami watak tersebut saya begitu mengagumi karakter Tun Rahah, terutamanya gambaran yang diberikan terhadap perasaan yang dilalui semasa kehilangan suami tercinta. Ternyata beliau seorang wanita yang sangat kuat, tabah dan cekal,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang pengalaman manis sepanjang memegang watak tersebut, perkara yang paling tidak dapat dilupainya apabila dia mendapat pujian daripada isteri Perdana Menteri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor.
“Semasa tayangan filem ini dibuat khas untuk tontonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rosmah telah memberikan pujian dan memberitahu, karakter yang saya bawakan memang tidak lari jauh seperti Tun Rahah,” jelasnya.
FAEZAH terharu apabila ditawarkan watak sebagai Tun Rahah.


Sementara itu, Linda Hashim selaku Toh Puan Norasyikin pula memberitahu, dia tidak mempunyai banyak sumber untuk mendalami watak yang diberikan dan terpaksa bergantung kepada penceritaan yang disampaikan oleh Shuhaimi.
Bagaimanapun jelas Linda, berpeluang untuk membawa suatu watak yang penting merupakan suatu penghargaan buat dirinya sepanjang terbabit dalam dunia lakonan.
“Apabila mengenali lebih dekat tentang diri Neno yang sebenar, saya akui cukup kagum dengan beliau. Walaupun Neno tahu suaminya mempunyai sakit jantung tetapi dia tetap memberi sepenuh sokongan ketika Tun Dr. Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Mungkin penonton yang melihat filem ini akan menyangka Neno seperti tidak membenarkan suaminya memikul tangungjawab besar tetapi dia sebenarnya berharap supaya suaminya berterus terang kepada Tun Abdul Razak tentang penyakit yang dihidapinya itu,” jelasnya.
Menurut Linda, semasa filem ini ditayangkan kali pertama pada tahun lalu, dia berkesempatan bertemu dengan Mohamed Tawfik iaitu anak Tun Dr. Ismail.
Ujarnya, Tawfik lebih banyak memberi komen tentang lakonannya berbanding karakter yang dibawakannya itu.
“Kalau boleh semua kontroversi yang pernah timbul dapat dilupakan oleh semua pihak. Tontonlah filem ini terlebih dahulu dan selepas itu masing-masing ada hak untuk membuat penilaian,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: