Sunday, August 25, 2013

OKU anak Tumpat ke Jepun




SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) tampak ralit membuat ukiran bermotifkan flora di atas sebuah bingkai kayu cengal.
Jari-jemarinya tangkas mencapai pisau ukir bagi membentuk lubang dan lekuk agar ukiran itu kelihatan timbul.
Sambil mengetuk-ngetuk dengan menggunakan tukul khas, lelaki bernama Mazri Mohammad itu turut membayangkan hasil yang bakal disiapkannya kelak iaitu sebuah bingkai cermin.
Sebenarnya tukul tersebut sudah sekian lama digunakan oleh lelaki yang mesra disapa Mat itu.
Ketika mencongak usia penglibatannya dalam bidang ukiran kayu sejak berusia 17 tahun, Mat berasa kagum kerana peralatan tukul dan pisau itu masih berbakti kepadanya sehingga sekarang.
Mat kini sudah berusia 42 tahun.
"Ia (peralatan itu) masih setia membantu menyara kehidupan saya. Kebanyakannya merupakan koleksi yang saya miliki ketika mula-mula mengikuti pembelajaran di sebuah bengkel khas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Jalan Bayam (Kota Bharu, Kelantan) sejak tahun 1988," katanya sambil mengeluarkan beberapa alat pengukir daripada sebuah kotak khas.
Mat terpaksa bertongkat untuk bergerak kerana kaki kirinya lumpuh. Dia yang menjalani kehidupan normal sehingga berusia enam tahun mendapat masalah itu setelah menghidap demam panas yang teruk semasa kecil.
Kesan akibat demam itu menyebabkan pertuturan Mat juga terganggu apabila suaranya kedengaran seperti sengau dan sukar untuk difahami maksud yang hendak disampaikannya.
Enggan mengalah dengan kekurangan diri, Mat sebaliknya membuktikan bahawa golongan sepertinya juga mampu menonjolkan kebolehan yang dimiliki mereka. Hasil daripada pengetahuan yang ditimba ketika menjalani latihan pada suatu ketika dahulu, Mat menyara keluarganya dengan membuat ukiran kayu.
KERUSI yang dipenuhi dengan ukiran untuk sebuah masjid di Kelantan ini mampu disiapkan oleh Mat dalam tempoh sebulan.


Kereta manual
Mat seorang OKU kental. Dia bukan sahaja menggunakan kudrat tangan untuk berkarya, bahkan menggunakan segenap anggotanya yang normal untuk terus bekerja.
Biarpun memerlukan tongkat untuk bergerak, Mat tetap mampu mengendalikan mesin pemotong kayu secara bersendirian. Bahkan, Mat juga boleh membuat perabot dan membina rumah.
"Ukiran kayu merupakan sebahagian daripada minat saya. Hasil daripada pengetahuan yang ada, saya menerima tempahan untuk membuat perabot, biarpun terdapat kekangan peralatan mesin memproses.
"Saya juga menerima tempahan membuat set kabinet dapur dan boleh memasangnya. Ramai yang menjangkakan bahawa saya tidak boleh melakukannya apatah lagi sebelah tangan saya perlu memegang tongkat manakala sebelah kaki lagi tidak berfungsi. Tetapi, saya membuktikannya dengan hasil kerja saya," katanya dengan jujur.
Mat memberitahu, dia kini mula menjinakkan diri di dalam dunia pembinaan apabila para pelanggannya memberi kepercayaan kepadanya untuk melakukan kerja-kerja membina rumah.
"Saya tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang pembinaan. Namun, mempelajarinya (kerja-kerja membina rumah) menerusi pengalaman dan pemerhatian saya sebelum ini.
"Mungkin ramai yang sukar membayangkan bagaimana saya boleh memunggah bongkah simen atau memasang siling rumah. Namun, saya memang benar-benar boleh melakukannya," ujar Mat bersungguh-sungguh ketika ditemui Jurnal di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Mat telah berkahwin dengan Munira Mat Yusoff pada tahun 1999. Dia yang sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga dikurniakan empat orang cahaya mata.
Bagi memastikan anak-anaknya membesar seperti keluarga lain, Mat berusaha memperlengkapkan mereka dengan pelbagai kemudahan.
Selain memiliki motosikal sendiri, Mat juga boleh memandu kereta seperti orang biasa. Biarpun kenderaan transmisi automatik lebih sesuai buat dirinya, Mat lebih selesa memandu kereta dengan gear manual.
Kereta Proton Wira terpakai yang dibelinya beberapa tahun lalu diubah suai agar disesuaikan dengan dirinya yang hanya memiliki kaki normal di sebelah kanan.
"Tiada masalah untuk memandu kereta bertransmisi automatik. Namun, menggunakan kereta manual lebih menjimatkan minyak. Saya melakukan pengubahsuaian pada bahagian pedal klac supaya dapat digunakan dengan menggunakan tangan," katanya yang memiliki lesen memandu sejak 20 tahun lalu.

UKIRAN bermotifkan daun sirih merupakan sebahagian daripada hasil seni ukiran tangan Mat.


Pingat perak di Jepun
Mat yang merupakan anak kelahiran Kampung Masjid, Tumpat, Kelantan itu bukan sahaja pernah menyumbang bakat ukirannya di dalam negara sahaja, bahkan dia mempamerkan bakatnya itu ke peringkat antarabangsa.
"Sehingga kini, banyak lokasi yang pernah saya kunjungi di seluruh dunia bagi mempamerkan produk dan melakukan demonstrasi ukiran tradisi Melayu ke seluruh dunia. Tapi, yang paling diingatinya adalah ketika berkunjung ke Jepun dalam kejohanan Abilympics Antarabangsa pada 2007.
"Saya memperoleh pingat perak. Pastinya, saya rasa bangga kerana dapat membawa nama Malaysia di pentas kejayaan biarpun saya hanya insan OKU," ujar Mat yang pernah menyertai pertandingan yang sama di India dan Korea Selatan pada tahun 2003 dan 2011.
Khidmat insan kerdil itu begitu besar dalam bidang pendidikan apabila pengetahuan dan pengalamannya dikongsi dengan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi dalam bidang berkaitan.
"Apabila ada jemputan, saya akan mengajar penuntut yang mengikuti kursus ukiran kayu di ILP (Institut Latihan Perindustrian) di Bachok (Kelantan) selain dijemput melakukan demonstrasi di Lembaga Perkayuan di Jalan Bayam (Kota Bharu)," kata anak keempat daripada lapan beradik itu.
Menceritakan pengalaman paling manisnya, menurut Mat, dia pernah diberi kepercayaan untuk membuat ukiran kayu di sebuah rumah banglo di Bukit Marak, Bachok, Kelantan.
"Masa selama enam bulan diperlukan untuk menyiapkan ukiran termasuklah pada tiang, tangga, pintu dan tingkap.
"Saya difahamkan oleh pemiliknya bahawa banglo itu disiapkan pada tahun 1997 setelah sebelas tahun ia dibina. Ia bagaikan sebuah mahligai yang indah," ujar Mat.
Biarpun enggan bersuara merayu simpati, jauh di sudut hati Mat untuk melihat golongan sepertinya dibantu terutamanya OKU yang tidak tahu hala tuju mereka.
"Sebenarnya, kita yang harus membantu diri sendiri, tidak kiralah sesukar mana pun hidup kerana kehidupan adalah amanah Allah. Jika ada kekurangan diri, kita kena kreatif untuk mencari kelebihannya.
"Tidak perlulah merayu untuk mendapat pertolongan tanpa berusaha. Namun, pihak berkaitan juga harus membuka mata dengan menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan seperti saya," ujar Mat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: