Saturday, August 31, 2013

Zaw Oo impikan hidup berkeluarga




WIN ZAW OO hanyalah seorang petani biasa yang menetap di Htone Pouk Chai, sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 24 kilometer dari bandar Natmouk, wilayah Magwe, tengah Myanmar.
Rakan-rakan memanggilnya Big Zaw. Gelaran itu diberikan disebabkan keadaan fizikalnya yang besar dan tinggi seperti seorang 'gergasi'.
Dengan ketinggian mencecah 2.33 meter, lelaki berusia 36 tahun itu diiktiraf sebagai lelaki tertinggi di negaranya.
Merupakan seorang yang pemalu tetapi mudah mesra, ketinggiannya yang luar biasa menyebabkan dia sering mengundang perhatian sesiapa sahaja, namun bukan di kampungnya.
“Kami melihat dia hampir setiap hari di kampung ini. Disebabkan mempunyai hubungan kekeluargaan, saya tidak pernah menganggapnya berbeza berbanding orang lain,” kata sepupunya, Than Htoo.
Rekod manusia tertinggi di Myanmar sebelum ini dipegang oleh Zee Kwet Sein, seorang wanita buta yang berasal dari Bagan.
Mempunyai ketinggian sehingga 2.21 meter, Kwet Sein dipercayai meninggal dunia pada lewat tahun 1970-an.
Bagaimanapun Zaw Oo berjaya memecahkan rekod itu dengan kelebihan sebanyak 0.12 meter selepas kisahnya disiarkan di sebuah akhbar harian tempatan, Myanmar A lin.
“Hampir separuh usia, saya terpaksa berkaki ayam untuk bergerak ke mana-mana sahaja kerana tidak mampu menempah kasut atau selipar yang sesuai dengan saiz kaki.
Kemiskinan
“Begitu juga pakaian, semuanya dihasilkan sendiri oleh bapa saudara yang merupakan seorang tukang jahit, setidak-tidaknya wang yang ada boleh digunakan untuk tujuan lain,” katanya dalam artikel berkenaan.
Kemiskinan bukanlah sesuatu yang asing bagi Zaw Oo. Ibu bapanya, U Aung Hla dan Daw Mouk Tin bergantung kepada pendapatan hasil bercucuk tanam untuk menyara dia dan tiga adik-beradik perempuannya.
Pada usia 15 tahun, dia terpaksa berhenti sekolah. Disebabkan ketiadaan pekerjaan yang sesuai untuk menyara keluarganya, Zaw Oo mengambil keputusan berhijrah ke Yangon.

ZAW OO merupakan individu kedua di negaranya yang mempunyai ketinggian lebih dua meter.


Dia bernasib baik, selepas beberapa hari, Zaw Oo berjaya mendapat pekerjaan di sebuah kedai yogurt berhampiran Latha Township.
Kehidupannya di bandar raya Myanmar itu tidaklah seindah yang disangkakan. Dia terpaksa mengikat perut untuk memastikan sebahagian besar wang gajinya dihantar ke kampung.
Selepas tiga tahun, Zaw Oo kembali semula ke kampung berikutan keadaan ibu bapanya yang semakin uzur. Justeru, dia dan adik-beradiknya diberi tanggungjawab untuk menguruskan pelbagai tanaman yang diusahakan.
Dia yang ketika itu baru berusia 18 tahun merasakan perubahan fizikalnya begitu drastik berbanding rakan seusia.
Bermula dengan bengkak pada bahagian kaki dan tangan, mukanya juga semakin melebar dan berlaku perubahan ketara pada bahagian dagu.
Di samping itu, tisu tulang tangan dan kakinya mula memanjang tanpa diketahui puncanya menyebabkan ketinggiannya meningkat secara mendadak saban tahun.
“Disebabkan itu pergerakan saya semakin terhad serta tidak mampu bergerak laju seperti dulu.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana ketiadaan wang, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan rawatan pakar di hospital. Ia menyebabkan saya sering tertekan dan mengalami kemurungan,” ujarnya lagi.
Kisahnya berjaya mengundang simpati banyak pihak. Pada masa yang sama dia turut menjadi buruan akhbar-akhbar tempatan yang mahu mendapatkan berita eksklusif.
Selain itu, ramai pakar perubatan di negaranya tampil memberikan pandangan dan mahu dia mendapatkan rawatan lanjut.
Pakar Bedah Saraf, Professor Myat Thu berkata, keadaan Zaw Oo berpunca daripada penyakit acromegali yang boleh menyebabkan pesakit mendapat penyakit kegergasian sekiranya tidak dirawat segera.

KETIADAAN rawatan yang sesuai di negaranya memaksa Zaw Oo ke Singapura untuk tujuan tersebut.


Populariti
Katanya, keadaan itu menyebabkan penghasilan hormon tumbesaran secara berterusan oleh kelenjar pituitari.
“Pesakit bukan sahaja berisiko menghidap diabetes, tekanan darah tinggi, masalah jantung malah boleh menjadi buta.
“Biarpun ketika ini Zaw Oo tidak menunjukkan tanda-tanda berkenaan, namun ia tidak mustahil berlaku pada masa hadapan,” jelasnya.
Tiada data khusus mengenai penyakit itu di Myanmar, namun Yayasan Pituitari Britain melaporkan kira-kira empat hingga enam kes baharu bagi setiap sejuta penduduk berjaya dikesan di seluruh dunia.
Populariti Zaw Oo juga mendorong sekumpulan pakar perubatan di negaranya melaksanakan kempen menggesa rakyat untuk menghulur sumbangan bagi merawatnya.
Usaha itu berbaloi, baru-baru ini, Zaw Oo dibawa ke Singapura untuk menjalani rawatan lanjut berhubung penyakit itu
“Dia perlu dirawat. Ia melibatkan prosedur seperti mengakses kelenjar pituitari di dasar otaknya melalui hidung atau insisi di mulut. Rawatan ini terpaksa dilakukan di luar negara kerana ia terlalu kompleks dan tidak ditawarkan di negara kami.
“Setakat ini Zaw Oo telah menjalani beberapa ujian di Hospital Besar Singapura sebelum mengenal pasti rawatan yang sesuai,” kata Dr. Myatthu Mynn yang merupakan salah seorang doktor pengiring yang turut serta dalam misi berkenaan.
Bagi Zaw Oo, pengalaman pertama berada jauh di negara sendiri membuatkannya gementar dan teruja.
“Seumur hidup, saya hanya pernah melihat kapal terbang mainan, tidak hairanlah saya agak risau ketika menaiki kapal terbang sebelum ini. Bagaimanapun, jika ia untuk kesihatan, saya rela melakukannya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangan selepas menjalani rawatan nanti, Zaw Oo berkata, dia mahu mencari pasangan hidup selepas sekian lama bersendirian disebabkan kegagalan cinta pertamanya kira-kira 16 tahun lalu.
“Saya mengimpikan untuk mempunyai seorang isteri dan keluarga sendiri serta sebuah kedai yang selesa untuk menjalankan perniagaan keluarga,” katanya.
Antara pesakit akromegali yang paling menonjol dalam sejarah ialah Robert Pershing Wadlod. Dilahirkan pada 22 February 1918, dia turut digelar ‘Alton Giant’ sempena nama tempat kelahirannya, Alton, Illinois, Amerika Syarikat.
Dengan ketinggian 2.72 meter dan berat mencecah 220 kilogram, dia merupakan manusia tertinggi yang pernah direkodkan dalam sejarah perubatan dunia.
Saiz fizikalnya yang luar biasa itu disebabkan Wadlow tidak pernah berhenti membesar sejak dari kecil sehingga dewasa akibat pengeluaran hormon pertumbuhan. Malah dia terus membesar sehinggalah pada saat-saat kematiannya.
Ketika itu, Wadlow diletakkan sebaris dalam kalangan selebriti popular Amerika; dia semakin dikenali selepas melakukan jelajah bersama Ringling Brothers Circus pada 1936. Sejak itu dia terus aktif menyertai pelbagaoi siri jelaja dan kerap melakukan penampilan awam.
Pada 4 Julai 1940, ketika muncul pada Festival Hutan Antarabangsa, pergelangan kaki telah cedera dan me nyebabkan pendarahan dan jangkitan kuman. Doktor cuba menyelamatkannya dengan melakukan pemindahan darah rawatan kecemasan namun keadannya semakin kritikal. Keesokan harinya, Wadlow disahkan meninggal dunia ketika tidur.
John William Rogan dilahirkan pada tahun 1868-berasal dari Sumner County, Tennessee, Amerika Syarikat merupakan salah seorang daripada 16 individu yang dicatatkan dalam sejarah perubatan mempunyai ketinggian melebihi lapan kaki. Beliau juga dikenali sebagai Bud Rogan. Tumbesaran Rogan mendadak pada umurnya 13 tahun yang akhirnya menyebabkan lelaki itu tidak boleh berdiri atau berjalan.
Bagi membolehkannya bergerak menggunakan kereta sorong yang diperbuat daripada katilnya sendiri dan ditarik kambing.
Uniknya lelaki berketurunan Afrika-Amerika itu, ketinggian hanya dapat diukur selepas kematiannya dalam keadaan duduk. Pada masa itu, ketinggian yang dicatatkan ialah 264 sentimeter (sm) dan beratnya hanya 79 kilogram. Dia dicatatkan sebagai lelaki Afrika-Amerika kedua tertinggi.
Dia meninggal dunia pada September 1905 akibat pelbagai komplikasi penyakit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: