Thursday, August 29, 2013

Sampah jadi sumber rezeki



SEORANG pemungut sampat memenyekkan tin-tin minuman sebelum menjualnya kepada syarikat kitar semula.


SEBAIK bayang-bayang petang melatari lorong pejalan kaki di sebelah bangunan sekolah, bunyi derapan kaki yang sayup kedengaran menjadi petanda Doud Sebet telah sampai.
Doud memulakan tugasnya mengutip tin-tin minuman yang dibuang masuk ke dalam guni berwarna putih yang dibawanya. Sebelum itu, dia mengetuk tin-tin itu mengunakan batu-bata.
Pada masa sama, sebilangan pemungut sampah turut melakukan perkara yang sama iaitu menggeledah sisa buangan sampah. Ia dilakukan bagi meneruskan kehidupan dalam kemelut ekonomi yang melanda Sudan.
Sudan merupakan antara negara yang menduduki carta terbawah dalam bahagian Indeks Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Amerika. Indeks tersebut mengukur aspek pendapatan, kesihatan dan pendidikan penduduk di negara-negara yang terlibat.
"Penduduk di kawasan ini hidup serba mewah," kata Doud yang sedang mencari sampah di tempat kegemarannya iaitu di Khartoum 2 yang merupakan kawasan kediaman duta-duta asing dan ahli perniagaan.
Pemungut sampah di Sudan juga gemar mencari rezeki di kawasan restoran kerana mudah mendapatkan botol air plastik.
Bagaimanapun, pemungut sampah tidak hanya tertumpu di kawasan perumahan orang kaya kerana kawasan luar bandar seperti di Omdurman juga salah satu kawasan yang menguntungkan.
Ahli ekonomi Universiti Khartoum, Mohammed Eljack Ahmed berkata, semakin ramai penduduk menjadi pemungut sampah kerana dalam suasana ekonomi yang lemah pekerjaan itu menjadi pilihan terbaik buat mereka.

SAMPAH menjadi sumber pendapatan kepada penduduk Sudan yang miskin.


Inflasi
Penduduk Sudan bergelut menangani inflasi di samping keadaan mata wang yang semakin lemah semenjak Sudan Selatan dipisahkan dari Sudan pada Julai 2011.
Perpisahan itu mengakibatkan perkongsian kira-kira 75 peratus hasil minyak di negara Sudan Bersatu terputus.
Akibatnya, inflasi mencecah hampir 40 peratus manakala pengangguran pula melebihi 30 peratus.
"Kami menderita," kata Doud yang berumur lebih 60 tahun.
Dia mampu memperoleh 400 paun Sudan (RM298) sebulan dengan memungut dan menjual tin terus kepada syarikat kitar semula.
Setiap pagi Doud akan menaiki bas untuk menggeledah sampah penduduk elit di bandar Khartoum.
Apabila kerjanya selesai, Doud duduk di teduhan bayang-bayang bangunan sekolah bertentangan pangsapuri diplomat asing.
Dia menggoncang bekas air tin dan melihat ke dalamnya jika ia masih boleh diminum.
"Saya tidak mahu bekerja seperti ini," keluhnya.

BOTOL-BOTOL plastik turut menjadi sasaran pemungut sampah di Sudan.


Dalam pada itu, Mohammed Adam, 26, mengutip sampah sejak tujuh bulan lalu.
Seorang pemuda lain, Osman Haroun, 25, pula meraih pendapatan antara RM7.50 hingga RM11 sehari hasil memungut sampah.
Omar Muhajir, 56, menjadikan kerjaya mengutip sampah bagi menyara lima orang anaknya, namun dia berharap untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik.
"Saya tidak mahu mereka bekerja seperti ini, mengumpul benda-benda terbuang dari tong sampah. Bagaimanapun, ia lebih baik daripada hanya duduk diam tanpa sebarang pekerjaan," keluh Omar.
Dana Kewangan Antarabangsa menjangkakan ekonomi Sudan akan mendapat rangsangan positif pada tahun ini. Ia mungkin mencecah RM1.6 bilion.
Pada tahun 2014, dijangkakan pulangan hasil rangsangan ekonomi yang diperoleh Sudan di bawah perjanjian dua negara bersama Sudan Selatan ialah kira-kira RM6.57 bilion.
Ia hasil pendapatan daripada yuran minyak Sudan Selatan dan pakej pemberian pampasan kehilangan sumber minyak Sudan selepas pemisahan sempadan dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: