Bersempena sambutan hari kemerdekaan negara yang disambut 31 Ogos 2013 pada Sabtu, mStar Online mendapatkan pandangan beberapa anak seni mengenai kebebasan dan perubahan yang dikecap mereka dalam industri seni tempatan.
Penyanyi Datuk Fazley Yaakob berkata, erti kemerdekaan disifatkannya sebagai sesuatu yang perlu difahami mengenai erti kebebasan dalam konteks perbuatan, pemikiran dan jiwa seseorang dengan dihalusi batasan agama, adab dan budaya tempatan.
"Industri seni Malaysia sememangnya merdeka dengan kebebasan idea namun undang-undang haruslah dipatuhi agar keharmonian kepelbagaian kaum dan budaya di dalam industri terpelihara.
"Selain itu, filem, lagu dan karya-karya televisyen janganlah terlalu mencerminkan perbezaan pendapat namun harus memaparkan kematangan dalam melahirkan pelbagai budaya dan kepercayaan tempatan," katanya kepada mStar Online melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Perancis.
Tambah Fazley dia melihat negara Perancis turut menghormati kebebasan kepercayaan masyarakatnya yang berbilang kaum, agama dan kebudayaan dalam menghasilkan sesebuah karya dalam industri seni mereka dan penggiat seni juga perlu melakukan perkara yang sama.
"Sepatutnya rakyat Malaysia bertuah kerana memiliki negara yang aman damai. Walaupun ada sedikit pergolakan politik tetapi rasanya ia belum sampai ke tahap perang seperti di beberapa buah negara Arab.
"Rasa tidak puas hati terhadap sesebuah negara itu adalah normal. Tetapi saya percaya apabila kita berada di negara orang, kita pasti bersyukur kerana masih bebas untuk melakukan apa sahaja di negara sendiri," ujarnya.
"Hari Merdeka merupakan hari yang sangat penting buat diri dan jiwa saya. Kerana itu saya akan pastikan pejabat saya akan dihiasi bendera Malaysia.
"Daripada segi kemerdekaan dalam perniagaan pula, saya anggap, seseorang itu akan berjaya apabila mereka berusaha sendiri daripada bawah tanpa meminta bantuan subsidi atau geran daripada kerajaan.
"Dan saya kini sedang menuju ke arah kemerdekaan apabila telah berjaya menerbitkan sebanyak 95 judul filem tanpa perlukan dana daripada sesiapa. Nampak mudah, tetapi jalannya bukan senang. Pelbagai cabaran yang harus dilalui, barulah kita dapat rasa nikmat kemerdekaan itu," katanya.
"Erti kemerdekaan bukan sahaja kita bebas daripada dijajah tetapi juga budaya seni kita yang masih lagi mengekalkan adat negara tanpa pengaruh budaya luar.
"Kita bebas mengekalkan dan mengawal warisan seni negara dan penggiat seni perlu bersyukur dengan perkara itu.
"Selain itu merdeka bukan sahaja dapat berkarya secara bebas tetapi minda terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan khalayak terhadap kerja kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: