Saturday, August 24, 2013
Kerabu bronok identiti Langkawi
PULAU Langkawi yang terkenal sebagai destinasi pelancongansebenarnya menyimpan rahsia di sebalik hidupan lautnya. Hidupan laut yang dikenali sebagai bronok diolah menjadi makanan eksotik iaitu kerabu.
Bronok merupakan spesies hidupan laut seakan-akan gamat atau timun laut. Ia hidup di kawasan pantai yang berselut seperti Langkawi. Teksturnya licin seperti sotong. Ia juga mempunyai beberapa warna seperti coklat kehitaman atau merah jambu. Bersifat kenyal dan rasanya agak masin seperti air laut.
Bronok agak unik kerana sifatnya yang alah kepada haba. Ia akan cair menjadi air masin jika dipanaskan. Mungkin ada yang tidak berselera menikmati bronok selepas melihat fizikal sebenarnya yang seakan-akan lintah gergasi.
Namun, bagi sesetengah orang, kerabu bronok merupakan hidangan yang cukup menyelerakan.
Bagi penduduk setempat pulau legenda itu, kerabu bronok menjadi hidangan wajib pada majlis kenduri-kendara.
Kerabu tersebut cukup enak dimakan bersama nasi putih yang panas berserta lauk-pauk.
Bahan asas
Menurut pembuat kerabu bronok, Jah Ahmad, 84, untuk menyediakan kerabu tersebut, pangkal kepala dan ekor bronok perlu dipotong untuk membuang isi perutnya sebelum dihiris nipis.
"Sebaik-baiknya gunakan pisau tajam untuk menghirisnya nipis-nipis," katanya untuk menghasilkan kerabu bronok memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
Menurut Jah, selepas dihiris nipis, bronok perlu dibersihkan beberapa kali sebelum ditapis.
Bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan kerabu bronok menggunakan bahan yang sama seperti membuat kerabu lain. Antaranya termasuklah sambal kelapa, bawang, cili, lengkuas, kerisik dan daun gajus yang diracik halus. Bahan-bahan tersebut digaul dengan bronok yang sudah dibersihkan.
Jah yang berpengalaman lebih enam dekad menyediakan kerabu itu menjelaskan, penyediaan kerabu bronok boleh dipelbagaikan mengikut selera dan kreativiti masing-masing.
Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Li berkata, bronok boleh didapati dalam dua cara. Pertama, mengutipnya sendiri di tepi pantai dengan kaedah menyelam, kedua, menaiki bot atau sampan hingga ke tengah laut.
Li, anak jati Pulau Langkawi memberitahu, kebanyakan nelayan lebih gemarkan kaedah kedua kerana mereka menggunakan jaring panjang yang boleh sampai ke dasar laut.
"Cara ini juga sangat mudah dan menjimatkan masa. Dalam masa beberapa minit, kita boleh memperoleh banyak hasil tangkapan,"katanya bronok hanya boleh didapati pada musim tertentu sahaja.
Bronok kini menjadi sumber pendapatan Li dan hasil tangkapannya dijual di pasar.
Menurut seorang penggemar tegar kerabu bronok, Ashah Itam, 59, kerabu merupakan makanan yang sinonim kepada masyarakat Langkawi.
Namun, tidak ramai pelancong yang mengetahui kewujudannya kecuali mereka yang pernah tinggal dalam komuniti Langkawi. "Kerabu bronok merupakan hidangan yang menyelerakan, sama ada dimakan bersama nasi putih atau diratah begitu sahaja. Bronok lebih enak dijadikan kerabu berbanding memakannya secara mentah," katanya.
Ashah yang berasal dari Langkawi, berkata, dia gemar menyediakan sendiri kerabu bronok berbanding membelinya di kedai makan ataupun restoran. Dia turut mencadangkan para pelancong yang datang ke Langkawi supaya tidak melepaskan peluang mencuba makanan tersebut. Kini, kerabu bronok boleh didapati di kebanyakan kedai makan atau restoran di sekitar Langkawi.
Menurut seorang pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terlibat dalam pembikinan dokumentari Bronok, Suliza Kasno, 23, pengalaman mencari bronok sukar dilupakan kerana ini adalah kali pertama dia mengenali lebih dekat dengan hidupan laut yang unik ini.
"Walaupun bronok agak menggelikan jika disentuh, tetapi ia cukup enak apabila disajikan sebagai kerabu walaupun rasanya agak masin dan kenyal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Bole tau kat mane nak beli bronok mentah atau bole x bli secara online
ReplyDelete