Tuesday, August 27, 2013

Ceria rona neon



SEPATU tapak rata berwarna-warni sesuai untuk gaya ringkas dan kasual.


MUSIM panas merupakan waktu paling menyeronokkan untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan. Ia juga tempoh percutian paling sempurna untuk bergaya sakan dengan fesyen-fesyen terbaharu.
Tidak ketinggalan sepatu jenama Princess yang menawarkan koleksi musim panas baharu yang ceria dalam warna-warna neon. Ia menjadikan si pemakai kelihatan lebih muda dan dinamik secara semulajadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat bagi Beg Tangan dan Kasut Princess, Alan Lok memberitahu, koleksi baharu jenama itu dicipta bagi memberi penghormatan kepada fesyen era 1980-an.
"Trend warna neon yang popular pada zaman itu kini kembali menguasai almari pakaian wanita moden hari ini. Diilhamkan daripada warna-warna terang dekad tersebut, koleksi terkini Princess disesuaikan untuk kegunaan waktu bekerja dan beriadah.
"Rona neon kuning dan merah jambu adalah warna utama bagi koleksi kali ini dan boleh didapati dalam pelbagai gaya," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sepatu dengan pelbagai cetakan dapat diperoleh dalam rekaan peep-toe, baji, chunky dan sandal sarung yang bergaya dan dalam pelbagai warna bertenaga seperti kuning, biru, merah jambu, biru elektrik, emas, dan merah.
Terdapat lima kategori sepatu di bawah Princess. Ia terdiri daripada Fashions, Pumps, De Confort, Deluxe dan Viani. Bagi koleksi baharu ini, sepatu Fashions dapat dilihat menerusi kasut tapak tebal (platform) dan chunky klasik rona kuning, biru elektrik dan perak.
Rekaan De Confort, Deluxe dan Viani pula terserlah pada rekaan sepatu jenis sarung dan bertapak rata (flat) berwarna-warni.
Paling penting, koleksi baharu itu mengekalkan stail signatur Princess iaitu berani, klasik dan stailo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: