Monday, August 26, 2013

UniMAP raih empat emas di Korea



PENYELIDIK muda UniMAP memakai pingat emas dan memegang sijil penghargaan selepas meraih kejayaan cemerlang di IYIC 2013 yang berlangsung di Seoul baru-baru ini.


PENGORBANAN tidak menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Malaysia berbaloi apabila delegasi penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menyertai Pertandingan Reka Cipta Belia (IYIC 2013) di Seoul, Korea Selatan, meraih kejayaan gemilang.
Pasukan ini mencatat kemenangan 100 peratus dengan membawa pulang empat pingat emas dan dua pingat perak menerusi enam produknya yang dipertandingkan.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan itu pastinya sangat bermakna buat penyelidik muda UniMAP yang terpaksa menghabiskan minggu terakhir Ramadan sekali gus menyambut Syawal di perantauan apabila turut membawa pulang lima anugerah khas.
Ujar beliau, keenam-enam produk UniMAP itu perlu melepasi pusingan awal terlebih dahulu membabitkan 1,000 produk penyelidikan sebelum penganjur memilih hanya 103 produk terbaik untuk diberikan pingat dan penghargaan khas.
"Alhamdulillah, kesemua produk yang dihantar ke IYIC 2013 berjaya ke pusingan akhir dan menghasilkan pingat buat delegasi UniMAP. Syabas!," ujarnya yang dipetik dari laman rasmi Facebook beliau.
IYIC 2013 yang berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos lalu disertai oleh 10 buah negara melalui 1,000 produk penyelidikan. Dalam pertandingan tersebut, delegasi penyelidik muda dari Taiwan mengungguli tangga teratas pungutan pingat dengan lapan pingat emas dan lima pingat perak.
Pingat emas UniMAP disumbangkan oleh Zarina Yahya menerusi produknya Komposit geopolimer abu terbang minyak sawit: Pendekatan teknologi baharu menggunakan proses pempolimerangeo untuk perisaian X-Ray, yang turut meraih Anugerah Khas Persatuan Hak Milik Intelektual Antarabangsa (WIIPA).
Turut meraih anugerah khas WIIPA dan pingat emas kedua UniMAP ialah Alida Abdullah menerusi produk Abu Terbang berasaskan pempolimerangeo sebagai agregat buatan ringan menggunakan suhu rendah. Produk tersebut turut meraih anugerah khas Persatuan Reka Cipta Universiti Korea.
Membanggakan
Dua lagi pingat emas UniMAP disumbangkan oleh Chua Ee Lun dan Yew Long Tat yang mana kedua-dua produk itu turut meraih anugerah khas Persatuan Pereka dan Saintis Muda Indonesia. Sementara itu, pingat perak UniMAP telah disumbangkan Anis Nadhirah Ismail dan Yee Len Fong.
Prof. Dr. Kamarudin berkata, dalam pertandingan yang berlangsung di Kompleks Digital Guro, Seoul itu, delegasi penyelidik muda UniMAP yang menghantar tujuh penyertaan keseluruhannya turut meraih satu pingat perak.
"Malaysia menghantar 16 penyertaan keseluruhannya menerusi sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi awam dengan kerjasama Kelab Penyelidik Muda ENVEX seperti Universiti Malaysia Pahang, selain sekolah angkat UniMAP iaitu Sekolah Menengah Kebangsaaan Dato Sheikh Ahmad dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sena.
"Lebih membanggakan apabila penyertaan pelajar tahun enam di SK Sena turut meraih pingat emas menerusi produknya, BreadFriend," ujar beliau.
Menurut Kamarudin, turut mewakili Malaysia ialah peserta Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor, SMS Tapah, Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Menengah Agama Imtiaz Terengganu.
"Daripada 16 penyertaan ini, penyelidik Malaysia berjaya membawa pulang 11 pingat emas dan lima perak. Saya amat berharap pasukan penyelidik muda ini akan meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang, sekali gus membawa lebih banyak kejayaan kepada Malaysia dan UniMAP," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: