Monday, August 26, 2013
Tanaman padi mengganti gandum
ANAK padi yang baru ditanam menjulur keluar dari tanah kering Sudan. Ia kelihatan kecil seperti bilah-bilah rumput, namun tanaman tersebut melambangkan impian negara itu untuk menjadi salah satu skim pertanian pengairan yang terbesar di dunia.
Bakri Elamin Awad al-Karim memiliki sebuah plot kecil di rantau Gezira yang luas terbentang di antara Sungai Nil Biru dan Putih di selatan Khartoum.
Bantuan dari Jepun telah membantu mengubah petani di Sudan mencatat pengeluaran hasil yang lebih baik dan pendapatan tinggi ekonomi pertanian yang berskala besar.
Pada zaman kegemilangannya pada sekitar tahun 1920-an, ketika Sudan berada di bawah pemerintahan kolonial British dan Mesir, Skim Gezira telah disebut-sebut sebagai model pembangunan Afrika.
Di bawah skim tersebut, tarikan graviti digunakan mengalirkan air paip dari Sungai Nil Biru untuk mengairi ratusan hektar tanaman pokok kapas.
Tetapi kekurangan pelaburan dan penswastaan sedikit demi sedikit telah membawa kepada kerosakan infrastruktur, terusan dan benteng. Analisis mengatakan, kebanyakan ladang di rantau itu bergantung kepada ketiga-tiga perkara tersebut dan ini seterusnya menyebabkan ekonomi negara itu merudum.
Potensi
Tidak seperti bahagian lain di benua Afrika atau Asia, padi masih menjadi tanaman yang agak janggal di Sudan.
Sebaliknya, sekoi merupakan bijirin ruji negara itu bersama dengan kekacang dan gandum. Kapas juga masih ditanam di sana.
"Lebih ramai petani perlu menanam padi kerana ia mampu memberikan mereka hasil tanaman yang baik," ujar Karim melalui seorang penterjemah.
Tanah milik Bakri juga digunakan sebagai ladang demonstrasi untuk tanaman padi yang dianggap Menteri Pertanian Gezira, Abdullah Mohammed Osman, sebagai satu tanaman yang berpotensi.
"Sistem tanaman tradisional di dalam skim pengairan besar tidak berbaloi dari segi ekonomi. Ini kerana produktiviti tanaman itu tidak terlalu tinggi.
Begitu juga dengan pendapatan petani," kata menteri yang pernah mengkaji pengeluaran buah-buahan di Mesir.
Jelasnya, padi akan meningkatkan hasil tanaman dan pendapatan petani, di samping menyediakan sumber mata wang asing kepada Sudan dan menyumbang kepada keselamatan makanan kebangsaan.
Pengeluaran
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ironinya, Sudan tidak mampu memberi makan kepada kira-kira 31 juta rakyatnya. Lebih 12 peratus daripada mereka dijangka memerlukan bantuan makanan tahun ini.
Abdullah berkata, hasil pengeluaran padi secara purata mencatat kira-kira 1.3 tan bagi setiap 0.4 hektar tanah iaitu hampir dua kali ganda daripada pengeluaran gandum. Ia juga mencatat kira-kira 50 peratus lebih tinggi daripada hasil sekoi.
"Tahun lalu, pendapatan bersih untuk setiap petani padi mencecah kira-kira 3,600 pound Sudan (RM2,686) bagi setiap 0.4 hektar berbanding 1,400 pound Sudan (RM1,044) untuk tanaman lain," jelas menteri itu lagi.
Tambahnya, memiliki bekalan benih mampan, racun herba, teknologi nyahsekam dan pakej bijirin yang bersih merupakan kunci untuk memperluaskan pengeluaran tanaman padi ini.
"Kini kita boleh menghasilkan beras tanpa sebarang masalah. Untuk proses ini dan memenuhi keperluan pasaran antarabangsa adalah satu cabaran awal buat kami.
"Malah, sekiranya kami dapat menggantikan 50,000 tan beras yang diimport Sudan setiap tahun dengan kos 15 juta pound Sudan (RM16 juta) pasti akan menjadi satu permulaan yang baik," ungkapnya.
Bagaimanapun, masih terlalu jauh untuk Sudan menjadikan padi sebagai tanaman masa depan dan sumber berpotensi untuk dieksport.
Skim Gezira yang disokong Jepun bermula pada tahun 2010 dan diperluaskan kepada hampir 190 hektar tanah pada tahun lalu.
Berbanding dengan jumlah keseluruhan saiz ladang dalam skim ini iaitu kira-kira 840,000 hektar, ia diibaratkan seperti sebutir beras dalam ladang yang besar.
Kemudahan
"Sudah tentu, kita tidak boleh menangani segala-galanya dalam satu masa," Ketua Penasihat dari Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Osamu Nakagaki.
JICA telah menyediakan benih, penanaman dan peralatan pengilangan serta memberi latihan di luar negara kepada lebih 70 jurutera pertanian dari Sudan.
Kesemua jurutera tersebut telah menyampaikan pengetahuan mereka kepada lebih 200 petani daripada kira-kira 116,000 orang yang bekerja di dalam Skim Gezira dan kawasan pengairan kecil berhampiran.
Pengeluaran kapas, gandum dan sekoi merosot pada tahap paling rendah dan ramai petani berhijrah dari Gezira untuk mencari peluang kerja yang lebih baik. Laporan yang dikeluarkan oleh Tabung Kanak-Kanak PBB tahun lalu membayangkan terdapat kekurangan terhadap penyelenggaraan terusan.
Wartawan veteran, Mahjoub Mohamed Salih pernah menulis satu artikel Jun lalu berkaitan penswastaan membawa kepada keruntuhaninfrastruktur lain di bawah skim ini.
Walaupun demikian, Abdullah berkata, kerajaan memberi peluang kepada petani untuk memilih sendiri tanaman apa yang ingin ditanam.
"Para petani perlu mempunyai pendirian masing-masing. Terpulang sama ada mereka mahu mencuba tanaman padi ini atau tidak," tegasnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: