|
PENGACARA, pelakon, penyanyi dan juga pelawak, Zizan Razak bakal muncul dengan filem terbaharunya KL Zombi di samping pelakon jelita Siti Saleha, Izara Aishah dan Faezah Elai.
Pelakon berusia 29 tahun itu membawakan watak Nipis, seorang pemuda yang terpaksa bertarung nyawa demi menyelamatkan diri dan rakan-rakannya yang sudah menjadi zombi akibat virus yang dibawa oleh seekor anjing. Filem KL Zombi akan ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia pada 29 Ogos ini.
Ditemui pada majlis pratonton filem KL Zombi yang berlangsung di Cathay Cineplex Cineleisure, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini, Zizan turut berkongsi mengenai masalah kesihatannya.
Katanya, sepatutnya dia ditahan di hospital kerana mengalami muntah dan cirit-birit yang teruk akibat keracunan makanan. Namun, Zizan menolak kerana mahu menghadirkan diri ke majlis pratonton filem tersebut.
Kepada Kosmo! Zizan melanjutkan perbualannya. Dia juga menjawab desas-desus mengenai dia sebagai pengacara Akademi Fantasia 2013 (AF 2013).
Bagaimanakah anda boleh terkena
keracunan makanan?
Saya baru balik daripada menjalani penggambaran muzik video filem Suamiku Ustaz di Gunung Bromo di Surabaya, Indonesia. Ada dua muzik video yang saya buat membabitkan Adi Putra sebagai penyanyi dan saya sebagai rapper dalam dua lagu tersebut. Saya pergi sana empat hari. Balik sahaja Malaysia terus muntah-muntah dan cirit-birit. Bila pergi hospital, doktor mengesahkan saya kena keracunan makanan.
Apakah yang anda makan di sana
sehingga boleh keracunan makanan?
Saya banyak makan bakso di Surabaya. Mungkin itu adalah puncanya.
Bagaimanakah tahap kesihatan anda sekarang?
Masih rasa penat dan lemah. Badan saya juga kurang air. Sebab banyak kali muntah dan cirit-birit. Patutnya kena tahan wad tetapi saya tidak mahu.
|
Adakah ini pengalaman
teruk yang pernah anda alami akibat keracunan makanan?
Saya memang ada penyakit gastrik, malah suara juga serak. Tiba- tiba kena keracunan makanan pula. Bertambah-tambah lagi sakit. Memang sedikit hampa dengan tahap kesihatan yang saya alami sekarang. Namun, saya anggap ia adalah ujian daripada Allah.
Adakah perasaan hampa yang
anda alami itu akibat daripada tahap kesihatan itu ada kena-mengena
dengan tawaran sebagai pengacara Akademi Fantasia 2013? Khabarnya anda bakal menjadi pengacara Akademi
Fantasia 2013? Benarkah?
(Senyum). Saya tidak cukup hebat untuk jadi pengacara Akademi Fantasia 2013. Program itu (Akademi Fantasia) sangat besar dan pengacara-pengacara sebelum ini juga mempunyai bakat dan pengalaman yang besar dalam bidang pengacaraan. Saya sangat bersyukur jika menjadi salah seorang daripada pengacara tersebut.
Boleh ceritakan sedikit mengenai filem KL Zombi?
Filem KL Zombi ini bukan sekadar seram dan komedi tetapi turut diselitkan dengan babak romantik. Watak saya iaitu Nipis yang menaruh hati dengan Siti Saleha, ada diselitkan dengan beberapa babak romantik. Buat pertama kalinya saya berlakon watak romantik. Ada sedikit janggal kerana saya tidak biasa melakonkan babak romantik sebelum ini.
Selain KL Zombi, apakah projek yang akan anda lakukan selepas ini?
Saya akan muncul dalam filem Tokan dan KL Gangster 2 pada tahun ini. Saya juga akan muncul dalam telefilem Nama Aku Beng di samping pelakon Izara Aishah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: