Thursday, August 29, 2013

Andre, Audi hapus jurang kaum




SENI dizahirkan daripada nuansa dan nurani mendalam untuk memberikan kesan kepada khalayak. Bersifat subjektif, namun mampu dihayati oleh pelbagai bangsa atau warna kulit.
Memetik contoh penyanyi legenda kelahiran Jamaica, Bob Marley yang berjaya mempopularkan muzik reggae setelah diadun daripada intipati muzik ska sekitar awal tahun 1970-an, berjaya menyebarkan mesej keamanan dan perpaduan daripada lirik-lirik lagunya.
Ketika dasar aparteid sedang bermaharajalela ketika itu, penyanyi kulit hitam itu sebenarnya berjaya mengurangkan jurang antara kaum melalui lirik dan alunan lagu yang menyentuh hati.
Sifat seni itu andai diteliti sememangnya mampu menjadi jambatan untuk menghubungkan masyarakat di dunia mengikut daya penghayatan masing-masing.
Contoh paling tepat adalah kumpulan bukan Melayu tempatan lewat era 1960-an, Alleycats yang diterima baik oleh peminat Melayu dan bukan Melayu. Cirinya sama, muzik bersifat universal dan menyatupadukan.
Datuk Andre Goh, penyanyi veteran lagu-lagu Melayu asli dipadukan dengan komposer serba boleh, Audi Mok. Kedua-duanya berketurunan Cina yang tega menyelongkar sisi seni dan budaya Melayu yang adakalanya dilupakan oleh orang Melayu sendiri.
Lagu Melayu asli
Berbeza latar belakang kaum tidak membataskan Andre mahupun Audi mengenali akar umbi Melayu. Bukan semata-mata mahu meraih pasaran pendengar atau peminat Melayu yang mendominasi bumi Malaysia tapi hakikat yang diakui mereka; kerana minat!
PERKEMBANGAN muzik rock & roll tidak mempengaruhi minat Andre dalam irama Melayu asli.


"Menyanyi minat saya, tidak terlintas saya satu-satunya penyanyi bukan Melayu yang masih menyanyikan lagu-lagu Melayu asli.
"Muzik itu universal bukan, pernah saya menerima surat layang memaki hamun saya kerana kecenderungan ini dan ada yang memaki-maki saya di pusat beli-belah. Saya tidak dapat apa-apa juga tidak rugi apa-apa kalau masih menyanyikan lagu Melayu asli," kongsi pandangan Andre ketika ditemui di Hotel Traders Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perjalanan Andre dalam dunia lagu Melayu Asli sepanjang empat dekad sejak tahun 1972 meletakkan penyanyi dari keluarga Peranakan Melaka itu menghayati erti hitam putih kehidupan.
Andre, 66, telah didedahkan kepada hiburan Melayu sejak kecil melalui siaran Radio Malaya, gramofon dan pengaruh bapanya, Goh Tiam Leong yang sangat meminati Dondang Sayang.
"Ketika kecil setiap kali bapa saya memutarkan lagu Melayu asli, saya akan bingkas bangun daripada tidur dan segera duduk di ribanya mendengar dan memikirkan bagaimana muzik itu boleh kedengaran.
"Barangkali ada orang kecil-kecil menyanyi dari dalam gramofon. Apabila membesar, saya mula dipengaruhi oleh lagu-lagu bahasa Inggeris oleh abang-abang saya hingga menubuhkan band sendiri.

AKSI Andre Goh ketika Orkestra Konsert Kuala Lumpur tahun 2002.


"Entah kenapa, lagu Melayu asli juga masih melekat dalam fikiran saya. Sukar dibuang dan seolah-olah sebati dengan diri. Perjalanan hidup saya berubah apabila dicabar oleh kawan-kawan saya menyertai pertandingan Bakat TV anjuran RTM tahun 1972," ceritanya yang pernah menjadikan Elvis Presley, Ricky Nelson dan penyanyi sezaman sebagai idola.
Asas lagu moden
Andre atau nama sebenarnya Goh Eng Boon mengakui dahulunya dia seorang pemalu dan takut untuk berucap. Berbeza daripada keluarga sebelah ibunya, Wee Teck Neo, yang mahir berpantun Melayu dan petah bermadah.
"Menyanyi lagu Melayu asli ibaratnya menyanyi lagu klasikal Inggeris. Ini asas lagu-lagu Melayu moden sekarang jadi kenapa perlu diketepikan?
"Bukan maksud saya untuk menghalang perkembangan lagu-lagu moden tapi sambil kita menyanyikan lagu-lagu moden, jangan ketepikan identiti kita.
Pesan Andre, jangan terlalu pentingkan keuntungan semata-mata. Anggap saja langkah memperkembangkan lagu Melayu asli sebagai sumbangan kepada negara dan bangsa sendiri.
"Saya terhutang budi kepada pencipta lagu Melayu asli dan tiada apa yang dapat dibalas. Mereka pengkarya terunggul!" simpulnya yang bakal mengadakan persembahan sempena Malam Melayu Klasik di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur 16 September nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: