Tuesday, August 27, 2013

Kempen WOW perkasa wanita


DARI kiri: Maya Karin, Jay Menon, Goh Sa Ki, Christy Ng dan Alia Bastamam pada sesi dialog kempen Women of Worth anjuran Loreal Paris.


ARUS modenisasi mengajak wanita seluruh dunia agar terus menyemai keyakinan diri di samping menjaga harga diri dalam berdepan pelbagai rintangan kerjaya dan kehidupan seharian.
Walaupun berdepan dengan pelbagai stereotaip yang menyelubungi perjalanan hidup mereka, harga diri seharusnya tidak dipandang remeh kerana ia merupakan refleksi kepada maksud sebenar kebahagiaan dan kejayaan seseorang wanita.
Meneruskan momentum kempen Women of Worth (WOW) yang dilancarkan awal tahun ini, Loreal Paris menganjurkan sesi dialog bertajuk Menyerlahkan Kelebihan Diri yang membincangkan bagaimana wanita moden hari ini mengenali erti kehidupan, kebahagiaan dan menilai harga diri mereka.
Sesi dialog ini adalah satu aspek penting kempen WOW kerana tidak banyak usaha yang dilakukan dalam memperkasakan wanita selain memberi maklumat tentang kepentingan menjaga harga diri.
“Kami membawa empat orang panel wanita yang berbeza latar belakang. Mereka berkongsi cerita dan pandangan peribadi mengenai kepentingan harga diri dalam mendepani cabaran hidup.
“Mengharungi detik-detik sukar dan mencabar di samping memainkan pelbagai peranan, mereka sentiasa menghargai nilai diri. Ia membantu dalam membuat pilihan penting yang bakal merubah corak kehidupan mereka,” kata Pengarah Pemasaran Loreal Paris Malaysia, Goh Sa Ki ketika melancarkan dialog tersebut.
Inspirasi
Antara selebriti yang menjadi panel perbincangan itu ialah pelakon, Maya Karin; pengacara televisyen, Jay Menon; pereka fesyen, Alia Bastamam dan pereka kasut, Christy Ng.
MELANCONG ke luar negara merupakan cara Maya Karin merehatkan diri daripada dunia glamor.


Sedar bahawa diri menjadi inspirasi kepada wanita, jurucakap Loreal Paris di Malaysia, Maya Karin, sentiasa menampilkan peribadi berkeyakinan di samping menjaga pesona diri agar tidak kelam dilambung ombak populariti.
Dunia seni padanya hanyalah satu cabang kerjaya yang dilakukan atas dasar kecintaan kepada bidang itu. Di luar set penggambaran, pelakon Ombak Rindu itu sama seperti wanita lain yang memerlukan ruang sendiri untuk merehatkan diri.
“Pada saya, setiap wanita perlu memahami kehendak diri dengan tidak terlalu bergantung kepada pandangan orang lain. Tidak perlu memaksa diri dalam memuaskan hati orang sekeliling kerana akhirnya, segala keputusan terletak kepada diri kita,” ujarnya.
Bagi Maya, caranya menghargai diri ialah mengembara ke destinasi-destinasi pelancongan di luar negara. Dia merasakan aktiviti tersebut dapat merehatkan diri dan lari seketika daripada aura glamor yang menyelubungi hidupnya.
Bagi Jay, pengertian harga diri adalah sejauh mana seseorang merasakan hidupnya berhak untuk mengecapi kebahagiaan. Perubahan status sebagai seorang isteri dan bakal menjadi ibu membuatkan pengulas program sukan bola sepak itu menghargai setiap detik kehidupannya.
“Seseorang yang percaya bahawa dirinya begitu berharga akan sentiasa melangkah keluar dan melakukan yang terbaik. Sekalipun dalam keadaan getir, dia tahu bagaimana untuk menanganinya,” ujarnya.
Kempen WOW diperkenalkan awal tahun ini sempena Hari Wanita Antarabangsa dengan kempen promosi dan pameran bergerak di Lembah Klang yang bermula bulan Mac lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: