|
PERTENGAHAN bulan Ramadan lalu pelakon dan penyanyi muda, Kilafairy berdepan cemuhan dan cacian daripada peminat di laman sosial Instagram miliknya gara-gara memuat naik sepotong video yang memaparkan aksi seolah-olah tidak memakai seluar.
Video berdurasi 30 saat itu telah dimuat naik di Instagram miliknya, @kilafairyofficial. Dia hanya memakai sehelai baju putih bertujuan untuk mempromosikan jenama pakaian miliknya, Rack.
Setelah mendapat kritikan panas daripada peminat, Kilafairy, 21, akhirnya mengeluarkan gambar tersebut beberapa hari selepas itu.
Menerusi akaun Instagram Kilafairy juga, beberapa buah video menampilkan aktor dan model dari Indonesia, Hardy Hartono turut dimuat naik lantas menimbulkan spekulasi bahawa hubungan mereka lebih daripada sekadar berkawan.
Kosmo! yang berkesempatan bertemu dengan Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan sempena majlis pelancaran kapal dredger Inai Kenanga di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini mendapatkan maklum balas daripada pelakon drama Saiful Nita itu.
Kosmo!: Ramadan lalu, Kilafairy telah memuat naik sepotong video belakang tabir promosi butik Rack dalam aksi seolah-olah tidak memakai seluar. Apakah penjelasan anda?
KILAFAIRY: Benar, video itu adalah penggambaran belakang tabir untuk butik Rack yang diusahakan saya bersama kakak. Saya menafikan bahawa saya tidak pakai seluar, sebaliknya saya memakai legging berwarna coklat. Jika ada pihak yang tersinggung atau sakit hati atas tindakan saya yang tidak disengajakan itu saya minta maaf.
Apakah impak yang diterima Kilafairy daripada video yang mendapat kritikan kurang sopan pada bulan Ramadan itu?
Saya telah mengeluarkan video itu daripada Instagram saya dan selepas ini saya akan lebih berhati-hati. Mungkin untuk tujuan promosi butik Rack saya akan menggunakan model saja. Itu lebih selamat.
Tidakkah dengan kontroversi itu akan menjejaskan butik Rack secara tidak langsung?
Ini pertama kali timbul cerita kurang manis yang membabitkan saya dan butik Rack dan ini pertama kali saya membuka mulut mengulas situasi berkenaan. Saya tidak rasa perkara ini akan menjejaskan Rack dan pelanggan biasanya akan memfokuskan produk saya bukannya saya. Biasanya yang mencari gosip saja yang memfokuskan bahagian lain. Terpulang atas apa yang masyarakat fikirkan.
|
Kilafairy digelarkan simbol seks, apakah komen anda?
Selama empat tahun saya berada dalam industri dan sepanjang itu gelaran simbol seks terus melekat pada saya. Mungkin selama ini tiada lagi lakonan saya yang benar-benar memberikan impak dan dapat mengukuhkan nama saya, tapi saya percaya semua itu perlukan masa. Banyak tawaran lakonan terutama filem memerlukan saya tampil seksi dan ada babak di ranjang, tapi saya terpaksa tolak dengan baik untuk mengikis persepsi ini. Sekarang pun saya cuba mengubah penampilan contohnya mengurangkan solekan dan berpakaian lebih sedap mata memandang.
Menerusi akaun Instagram juga Kilafairy ada memuat naik gambar dan video yang menampilkan Hardy Hartono. Apakah hubungan kalian sebenarnya?
Sudah dua tahun kami berkawan rapat dan tidak bercinta pun. Jika dia datang ke Kuala Lumpur dan kebetulan saya ada kelapangan waktu apa salahnya untuk berjumpa. Tapi kalau sudah jodoh antara kami berdua saya tidak menolak. Mengenai video terbaharu, saya akui kami ada berjumpa di Pavilion ketika dia berada di sini untuk penggambaran filem Sindiket.
Sekerap manakah anda berhubung dengan Hardy sekiranya anda berjauhan dan adakah anda pernah melawat Hardy di Jakarta, Indonesia?
Kami hanya berhubung melalui BBM (BlackBerry Messenger) dan saya pernah sekali berjumpa dia di Indonesia. Itu pun kebetulan temankan mama ke sana untuk membeli-belah.
Apakah kualiti yang ada pada Hardy sehingga membuatkan Kilafairy selesa untuk bersamanya?
Mungkin kerana usia dia yang sudah 30-an dan menampakkan dia seorang yang matang dalam berfikir dan membuat keputusan. Dia juga banyak berkongsi hal karier.
Bagaimanakah pandangan mama (Rohana Jalil) mengenai hubungan Kilafairy dan Hardy?
Dia menerima apa saja keputusan saya walau bukan dengan Hardy sekali pun. Katanya selagi saya gembira, dia terima keputusan saya atau adik-beradik kami lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: