Wednesday, August 28, 2013

Jangan Bandingkan Filem 'The Art of Vikingdom' - Yusry


Yusry Abdul Halim
PETALING JAYA: Pengarah filem Yusry Abdul Halim tidak mahu filem terbaharunya iaitu The Art of Vikingdom diperbandingkan dengan mana-mana filem epik atau mempunyai persamaan dengan mana-mana cerita berdasarkan peristiwa sejarah.
Yusry, 38, berkata, filem ini merupakan filem fantasi sejarah dan aksi yang mempunyai jalan cerita tersendiri.
"Filem ini tidak boleh disamakan dengan mana-mana filem epik atau sejarah yang benar-benar berlaku.
"Setiap watak dalam filem ini adalah mengikut skrip asal dan diubahsuai mengikut apa yang saya fikirkan sesuai," katanya pada majlis forum The Art of Vikingdom, di sini, Selasa.
Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Finas, Datuk Md Afendi Hamdan.
Jelasnya, beberapa watak dalam filem ini seperti Thor yang diambil dari Marvel Comic juga mempunyai karakter berbeza.
"Biasanya Thor adalah adiwira yang baik dan berambut kuning tapi dalam cerita ini saya jadikan dia berwatak antagonis dan berambut perang, tidak seperti cerita biasa," katanya.
Tambah Yusry, filem yang menelan belanja hampir RM20 juta itu menjalani proses penggambaran dan penyuntingan dengan perancangan teliti.
Antara pelakon luar yang membintangi The Art of Vikingdom iaitu dari kiri; Jon Foo, Dominic Purcell, Natassia Malthe dan Craig Fairbrass.
"Kita bukan buat penggambaran ikut suka hati, kita sudah buat perancangan yang sangat teliti. Untuk penggambaran sahaja ia ambil masa hampir 60 hari manakala penyuntingan mengambil masa hampir setahun.
"Segala peralatan, kostum atau pelakon aksi ngeri perlu disediakan awal sebelum pelakon-pelakon utama di bawa ke Malaysia.
"Pihak kami cuma ada masa dua minggu sahaja untuk penggambaran bersama pelakon-pelakon utama," katanya.
Dalam pada itu, cabaran utamanya adalah ketika di lokasi penggambaran yang dilakukan di beberapa kawasan di negara ini.
"Penggambaran adalah seratus peratus di Malaysia, cabaran utama ialah mencari kawasan yang hampir sama dengan luar negara.
"Akhirnya kami menjumpai kawasan bukit di Puncak Alam, Selangor. Bagaimanapun cuaca sepanjang penggambaran terlalu panas. Selain itu kami juga melakukan penggambaran di Gua Tempurung, Kellie'd Castle di Perak serta di Filem Negara," katanya.
Selain itu, katanya, pencarian pelakon tambahan berbangsa asing, set penggambaran yang direka khas dan kostum juga menjadi cabaran penting dalam proses pembikinan filem tersebut.
Sementara itu, ditanya mengapa mengambil konsep filem fiksyen antarabangsa, Yusry berkata ia adalah sebagai percubaan KRU Studio memasuki pasaran luar negara.
"Kami cuba buat filem yang lebih umum yang mana jika di sini, semua kaum boleh datang tengok dan bukan hanya kepada orang Melayu sahaja.
"Kami juga fokus untuk tembusi pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kebanyakan negara luar mahu filem menggunakan bahasa Inggeris," katanya.
Antara ahli panel yang menghadiri forum tersebut adalah Produser, Norman Abdul Halim, Pengarah Kreatif, David Tang, Jurusolek, Monica Lee dan Pereka Kostum, Rosada Abdul Hamid.
Filem ini membariskan beberapa pelakon popular antarabangsa iaitu Dominic Purcell, Natassia Malthe, John Foo, Craig Fairbras dan Conan Stevens.
Filem The Art of Vikingdom akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 16 September depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: