Thursday, August 29, 2013

Muafakat seni artis pelbagai kaum


KIM JIN SUNG


KEMERIAHAN dan kemakmuran industri hiburan tempatan turut diserikan dengan pembabitan artis bukan Melayu. Itu tanda perpaduan masih dipupuk biar negara sudah mencapai kemerdekaan selama 56 tahun.
Jika diperhatikan sejak awal lagi, peluang artis bukan Melayu untuk berkecimpung dalam dunia hiburan diberikan sama rata antara yang masih diingati dan menjadi legenda dunia hiburan tempatan ialah pelakon mualaf Datuk Maria Menado dan pengarah terkenal L.Krishnan.
Menyusuri perjuangan seni dalam era pascamerdeka, peluang itu sebenarnya tidak pernah dipinggirkan malah kredibiliti artis bukan Melayu turut diberikan pengiktirafan melalui beberapa anugerah contohnya Anugerah Bintang Popular, Anugerah Planet Muzik, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu, Festival Filem Malaysia dan Anugerah Seri Angkasa setiap tahun.
Kosmo! menyenaraikan beberapa artis bukan Melayu yang bersinar dalam bidang muzik, filem dan teater sekali gus memberikan warna serta nafas baharu dalam industri hiburan tempatan.
Angeline Tan
Tan Yoke Yeah mungkin nama yang tidak cukup komersial jika dibandingkan dengan Angeline Tan. Harus diakui tanpa watak Lucy sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang popular sekitar tahun 1990-an, khalayak tidak mengenali Angeline Tan. Berketurunan Tionghua, pelakon itu masih aktif hingga sekarang dan sering membuat kemunculan menerusi saluran RTM. Susan Lancaster dan Louisa Chong antara pelakon wanita bukan Melayu yang popular sezaman Angeline Tan.
SUSAN LANCASTER


Sathiya
Populariti yang diraih Sathiya sama seperti Angeline Tan, mula diberi perhatian menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu melalui watak Ravi. Sathiya atau nama sebenarnya Sathivel Periasamy popular dengan tagline 'Sudah Tukar Ka?' dan pernah terbabit dalam filem Libas, Setem, KL Menjerit dan Soal Hati. Pelakon dan pelawak itu dianugerahkan Artis Bukan Melayu Popular Anugerah Bintang Popular 1998, 1999, 2000 dan 2001. Selain Sathiya, Accapan adalah pelawak berbangsa India yang terkenal dalam industri seni tempatan.
Soo Wincci
Su Ying Zhi merupakan Miss World Malaysia tahun 2008 yang berbakat besar dalam bidang nyanyian dan masakan. Soo Wincci telah merakamkan sebuah single berbahasa Melayu berjudul Terus Teranglah pada tahun 2012 selepas melancarkan album berbahasa Cina pada tahun sama. Selain Soo Wicci, Amber Chia antara model Cina yang terjun dalam pasaran lakonan tempatan.
Suki Low
Pemenang program realiti One In A Million tahun 2006, Suki Low berjaya mengenepikan dua pencabar hebat Faizal Tahir dan Alif Satar ketika itu. Suki popular dengan lagu Berdiri turut merakamkan album berbahasa Melayu berjudul Akhirnya dan single terbaharunya, Terlalu Mencintaimu turut melayakkan penyanyi itu melangkah peringkat separuh akhir Muzik-Muzik tahun lalu.
STEPHEN RAHMAN (kanan) bersama Tiara Jaquelina dalam satu babak pementasan teater Puteri Gunung Ledang.


Stephen Rahman
Fizikal dan bakat luar biasa Stephen Rahman Hughes mula diterokai menerusi pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang pada tahun 2006. Sumbangnya dalam dunia hiburan merangkumi pembabitan menerusi filem Hikayat Merong Mahawangsa dan siri televisyen The Kitchen. Kefasihannya berbahasa Melayu melayakkan Stephen merakamkan album pertamanya dua tahun lalu.
Kim Jin Sung
Kehadiran pelakon dari Korea Selatan ini adalah menerusi drama bersiri Autumn Di Hatiku yang disiarkan di portal gua.com.my. Kefasihannya berbahasa Melayu membolehkan Kim Jin Sung atau JS senang diterima oleh peminat tempatan.
Jaclyn Victor
Tidak disangkal vokal luar biasa Jaclyn Victor dari pembabitannya dalam Malaysian Idol 2004 membawa penyanyi berketurunan India itu pergi lebih jauh dalam arena hiburan tempatan. Sementara itu, Jac telah berjaya merakamkan enam buah album berbahasa Melayu dan memperoleh pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara. Malah, Jac juga pernah membintangi tiga buah filem iaitu Susuk, Talentime dan Appalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: