|
SEMPENA menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu, Shahfarina Yusop memilih Pusat Pakaian Hari-Hari, Seksyen 18, Shah Alam untuk membeli persiapan raya.
Ketika itu, ibu kepada enam cahaya mata itu berbelanja sebanyak RM300 sekali gus layak menyertai peraduan Hari-Hari Menang 2013 anjuran pusat pakaian tersebut.
Tanpa disangka, hanya menjawab tiga soalan mudah dan disertakan resit pembelian, dia berjaya membawa pulang sebuah televisyen paparan hablur cecair (LCD).
"Saya terkejut diumumkan sebagai pemenang kerana ia merupakan kali pertama saya menyertai peraduan anjuran pusat pakaian ini.
"Rasa sungguh berbaloi apabila dengan pembelian RM300, saya berjaya membawa pulang sebuah televisyen LCD. Ketika menjawab soalan, saya tidak berharap untuk menang. Penyertaan ini sekadar suka-suka," ujar wanita berusia 36 tahun itu.
Shahfarina merupakan salah seorang daripada 73 pemenang bertuah yang menerima hadiah masing-masing di KL Sentral pada Sabtu lalu.
Peraduan tersebut berlangsung dari 1 Jun hingga 7 Ogos lalu membabitkan 70 cawangan pusat pakaian tersebut di seluruh Malaysia.
Setiap pelanggan yang berbelanja RM80 ke atas layak menyertai peraduan tersebut.
Sebanyak 200,000 penyertaan telah diterima dan selepas disaring hanya 120,000 penyertaan dipilih untuk dibuat cabutan bagi mencari 73 pelanggan bertuah.
Pengurus Besar Korporat dan Perhubungan Awam Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn. Bhd., Amilludin Latip memberitahu, peraduan tersebut merupakan program julung-julung kali dianjurkan pihaknya dan sambutan amat menggalakkan.
"Peraduan ini merupakan salah satu cara kami menghargai para pelanggan yang menjadikan pusat pakaian ini sebagai pilihan membeli pakaian keluarga.
"Peraduan ini juga merupakan peluang terbaik kami untuk mengeratkan hubungan bersama pelanggan kami dari seluruh negara," ujarnya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah tersebut.
Antara hadiah-hadiah tersebut termasuk tablet, telefon pintar, kamera digital, perakam video, baucar tunai dan motosikal.
Dalam pada itu, seramai 10 pengunjung yang memakai baju berona ungu iaitu warna rasmi Pusat Pakaian Hari-Hari turut memenangi tablet iPad mini.
Bersyukur
Sementara itu, seorang lagi pelanggan yang memenangi televisyen LCD, Mohd. Fahmi Omar, 45, berkata, sebelum ini dia selalu menyertai peraduan namun tidak pernah menang.
"Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Saya hanya berbelanja sebanyak RM400 bagi membeli pakaian anak-anak berhari raya.
"Apabila juruwang memberikan borang penyertaan, saya tidak teragak-agak untuk mengisinya lalu memasukkan ke dalam kotak yang disediakan.
"Nyata kali ini saya bertuah dan berjaya membawa pulang hadiah lumayan," katanya yang teruja dengan kemenangan itu.
Mohd. Fahmi memilih pusat pakaian itu kerana menawarkan harga pakaian berpatutan dan berkualiti.
Dia yang berasal dari Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan sering berbelanja di pusat pakaian tersebut terutamanya pada musim perayaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: