Monday, August 26, 2013

Nabil tidak letak harga

NABIL bakal bergandingan dengan Aaron Aziz menerusi filem Romeo Kota.


NABIL AHMAD kini bukan sahaja bergelar pelakon, pengacara mahupun pelawak tetapi dalam diam dia juga semakin berjaya dengan syarikat miliknya iaitu Nabil Ahmad Enterprise.
Menurut Nabil yang kini menginjak usia 30 tahun, syarikat yang ditubuhkannya tahun lalu itu menguruskan artis yang diperlukan oleh syarikat-syarikat termasuk universiti-universiti.
“Syarikat saya lebih kepada menguruskan artis. Mana-mana syarikat yang memerlukan artis untuk majlis mereka, saya akan dapatkan. Setakat ini, antara artis yang pernah saya uruskan adalah Black, pelawak Jihan, Datuk M. Daud Kilau, Ajak Shiro dan Mas Idayu,” ungkapnya ketika ditemui dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya lagi, kebiasaannya jika sesebuah syarikat menawarkan khidmatnya untuk menjadi pengacara atau pelawak, Nabil turut membawa beberapa rakan artis lain. Sejak itu, dia terpanggil untuk membuka syarikat tersebut yang ternyata mendapat sambutan.
Dijolok persoalan tentang bayaran yang dikenakan kepada setiap penganjur yang menggunakan khidmatnya, Artis Paling Popular 2008 itu berkata, sebagai pengacara dan pelawak sejak dulu lagi dia tidak pernah meletakkan harga yang tinggi.
Baginya, lebih baik dia meletakkan harga yang berpatutan asalkan dia sentiasa memperoleh tawaran sebagai pengacara atau pelawak.
“Harga saya dulu dan kini sama sahaja. Saya tidak mahu orang terpaksa membayar RM30,000 untuk mendapatkan khidmat saya contohnya tetapi apa yang mereka mahukan daripada saya tidak saya penuhi.
“Bagi saya, biar tidak tinggi bayaran yang saya terima tetapi ada tawaran kerja. Paling penting, kita juga kena baik dengan orang. Dari situ, orang senang bekerja dengan kita dan akan bekerjasama dengan kita lagi,” jelasnya tentang prinsip dan cara dia bekerja.
MENGAKUI dia kini bukan lagi anggota Boboi, Nabil sebenarnya lebih bergerak solo.


Aaron Aziz
Mengulas mengenai kerjaya seninya pula, ulas Nabil, dia bakal muncul dalam program realiti TV bercorak permainan iaitu Super Spontan untuk musim kedua yang bakal disiarkan pada 30 Ogos ini di saluran Astro Warna (saluran 132).
Rezeki Nabil dalam bidang lakonan juga mencurah-curah apabila dia bakal muncul dalam dua buah telefilem dan sebuah filem.
“Saya baru habis menjalani penggambaran sebuah telefilem berjudul Kain, Jarum dan Gunting bersama Mamat Sepah dan Harun Salim Bachik. Saya juga bakal bergandingan dengan Aaron Aziz dalam filem Romeo Kota,” ulasnya yang menolak untuk berlakon drama kerana tidak mempunyai masa untuk melakukannya.
Nabil juga memberitahu yang dia bakal menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2013 secara solo dan tidak lagi bersama Boboi dalam sebarang acara.
Bukan disebabkan disingkirkan daripada kumpulan itu tetapi dedah Nabil, dia lebih selesa bergerak solo, malah dia juga mahu membuktikan dia mampu melakukan lawak secara solo.
“Saya sebenarnya mahu uji diri untuk terus melawak secara solo. Memang agak tertekan apabila kita kena melakukan aksi lawak secara solo tetapi saya anggap itu sebagai cabaran,” jelasnya.
Anak kedua
Mengulas mengenai kehidupan keluarganya pula, kongsi Nabil, anaknya Naira Mikayla kini sudah menginjak usia lapan bulan.
Kata Nabil, Naira sudah pandai meminta adik apabila memberi reaksi memasukkan ibu jari kaki ke dalam mulut, yang selalunya dikatakan oleh orang tua-tua sebagai ‘petanda’ anak sulung mahu adik.
“Saya dapat tahu daripada orang-orang tua jika bayi masukkan ibu jari kaki tandanya dia akan dapat adik (ketawa). Kalau betul memang saya suka tetapi isteri saya, Nazirah Ayub atau Zira mahu merancang dua tahun lagi untuk mendapatkan anak kedua.
“Dia kasihan kalau dapat anak kedua nanti, Naira tidak dapat sepenuh lagi kasih sayang,” ujar Nabil yang memberitahu, Naira sangat manja dengan Zira.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: