|
SENI sememangnya bersifat subjektif dan tidak terhad kepada satu ciri fizikal mutlak, maka pelbagai bentuk karya seni indah diolahkan dalam bentuk arca, catan dan multimedia.
Itu belum lagi dibincangkan mengenai falsafah dan idea yang ingin disampaikan di sebalik simbol serta imej yang dipaparkan. Sudah pasti beraneka maksud dikeluarkan oleh setiap individu yang memerhati.
Perkara sama mungkin yang bermain di fikiran para pengunjung Galeri 1A, Balai Seni Visual Negara (BSVN) yang 'hidup' dengan Pameran Absurd(c)ity.
Antara karya yang kelihatan gah di pameran itu adalah instalasi Intruder #1, dengan hiasan dinding kepala haiwan berlatarkan simen retak yang menampakkan permukaan batu-bata di sekeliling bahagian kepala. Batu-bata pecah berderai pula bersepah di bawah hiasan yang menggunakan teknik pencahayaan kelam itu. Suasana tersebut pastinya menimbulkan rasa sedih dan kecewa dalam diri pemerhati.
Ada yang berkata, hasil seni itu mahu menunjukkan kesan buruk penderaan haiwan untuk dijadikan hiasan rumah. Namun bagi pengkaryanya, Samsudin Wahab, 29, Intruder #1 menggambarkan reaksi terhadap krisis pencerobohan di Lahad Datu, sekitar bulan Februari dan Mac lalu.
"Karya ini juga gambaran perasaan terhadap sistem pertahanan sesebuah negara, lokasi atau jajahan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seniman muda
Samsudin bagaimanapun bersifat terbuka dalam menerima pandangan terjemahan seni itu oleh pengunjung dengan berkata, sekurang-kurangnya ia memberi suatu makna kepada individu sungguhpun berbeza dengan dirinya.
Seiring dengan sifat seni yang subjektif, graduan dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara itu berkarya dengan gaya lowbrow dan mahukan kebebasan dalam menzahirkan seni, sekali gus tidak terbatas pada satu identiti.
Pameran Absurd(c)ity ini mempamerkan 115 karya yang terdiri daripada catan, lukisan, cetakan, arca dan instalasi, di mana 60 daripadanya merupakan hasil tangan 30 seniman dari koleksi BSVN. Ia memaparkan satu perjalanan seni moden dan kontemporari di Malaysia dari tahun 1950 hingga sekarang.
Pameran tersebut turut memperlihatkan perkembangan seni surreal yang diserlahkan melalui hasil karya seniman muda jemputan.
Karya moden dan surealisme mempunyai unsur-unsur abstrak dari segi penyampaian seni dan maksud di sebaliknya.
Setiap hasil yang dipaparkan menyerlahkan keadaan negara atau kawasan sekitar semasa hasil seni dibuat, di samping menggambarkan harapan dan cita-cita para karyawan.
Menurut kurator pameran, Baktiar Naim Jaaffar, 31, proses pengumpulan dan mendokumentasi semua karya pada Pameran Absurd(c)ity mengambil masa enam bulan.
"Karya-karya absurd pada tahun sekitar 1950-an hingga 1960-an banyak memaparkan karya mitos dan bersifat kosmologi baik dari segi semula jadi serta ghaib," terangnya.
Katanya, karya-karya yang dihasilkan jelas menampakkan akar umbi si pengkarya. Sebagai contoh, pengkarya berketurunan Melayu sudah pasti dekat dengan budayanya sendiri dengan paparan berunsurkan main puteri, wayang kulit dan banyak lagi.
Kritikan sosial
Beliau mengulas, sekitar tahun 1970-an hingga awal 1990-an memperlihat penerapan unsur-unsur moden dalam hasil seni. Antaranya, penggunaan lambang atau simbol dalam menyampaikan sesuatu perkara. Malah idea yang mahu dizahirkan lebih bersifat kritikan sosial.
Antara pelukis yang muncul ketika itu, Syed Mohd. Amin Syed Hashim atau lebih dikenali sebagai S. Amin Shahab, dengan karyanya mencerminkan suasana sekitar awal 1980-an, sementara sekitar tahun 1990-an, Tan Chin Kuan mempunyai kecenderungan ekspresi terhadap komentar sosial secara sinis menerusi adikarya koleksi BSVN bertajuk The Soul Under Midnight.
Selain terkenal dengan karya penulisan lirik lagu dalam industri muzik tempatan, S. Amin yang mendapat pendidikan di Akademi Seni Halus Nanyang, Singapura turut terkenal dengan karya surealisme pada dekad 1980-an. Antara karyanya yang terkenal ketika itu adalah Kembara yang dihasilkan pada tahun 1981, Perjuangan (1983), Seniman Jalanan (1983) dan Generasi Ku (1983).
Menurutnya, imej facade bangunan terapung di langit dalam Kembara menunjukkan betapa tinggi harapan yang diletakkan dalam kehidupan ini.
Sementara karya Perjuangan menggunakan lebih banyak perlambangan dengan imej pingat terawang-awang di langit dengan tapak tangan terbuka. Imej itu menunjukkan cita-cita yang ada tetapi masih memerlukan banyak usaha untuk dicapai.
Dalam mencapai cita-cita, kata pelukis itu, manusia perlu berpaksi beberapa perkara iaitu pegangan agama yang kuat dan ini disampaikan melalui simbol lima batang tiang yang mewakili rukun Islam.
"Reka bentuk tiang dan kubah pada lukisan ini mengambil inspirasi seni bina bahagian hadapan Masjid Malabar di Singapura," terangnya yang melukis siri lukisan tersebut ketika berusia sekitar 20-an.
Dalam buku berjudul Absurd(c)ity yang diterbitkan sempena pameran tersebut menyatakan, karya catan surreal pada dekad 80-an telah banyak dikomersialkan dengan dijadikan kulit hadapan album-album kumpulan rock termasuk karya S. Amin yang pernah menjadi kulit album kumpulan Kembara.
Buku tersebut turut memaklumkan, industri grafik tempatan juga berkembang seiringan dengan penerbitan majalah-majalah grafik di pasaran seperti Gila-Gila, Majalah Fantasi, Batu Api dan Geli Hati.
Baktiar Naim berkata, pengaruh lain dalam seni absurb mula diterapkan di sini bermula sekitar tahun 2000.
"Kebanyakan pengkarya muda menghasilkan karya absurd dengan pengaruh komik dan lowbrow, suatu pergerakan seni yang bermula di Amerika Syarikat pada lewat tahun 1970an. Ia juga dikenali sebagai surealisme pop.
"Pengaruh internet membolehkan unsur-unsur fiksyen, komik dan seumpamanya masuk ke sini," terangnya.
Sama ada dalam bentuk catan, instalasu mahupun arca, isu-isu yang cuba disampaikan hasil seni ini merangkumi pelbagai topik termasuk ekonomi, keadaan semasa dan negara.
Pameran Absurd(C)ity dipertontonkan di Galeri 1A, Balai Seni Visual Negara bermula 1 Jun sehingga 31 Disember 2013 dari dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang. Masuk adalah percuma.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: