Saturday, August 24, 2013

Metallica, bukan sekadar muzik




'MASA muda, masa yang berapi-api' - itu pepatah yang cukup popular daripada penyanyi dangdut Rhoma Irama.
Ironi, genre dangdut mahu dikahwinkan dengan metal dan rock. Ia terlalu jauh tersasar dari landasannya. Dan lagi, siapa Rhoma Irama mahu disuai padan dengan sebuah band tersohor dunia, Metallica. Keji, barangkali itu antara getusan hati fanatik band tersebut.
Namun, tunggu dulu. Perumpamaan itu adalah satu gambaran tentang atmosfera pada malam berlangsungnya konsert Metallica Live In Malaysia 2013 di Stadium Merdeka, pada 21 Ogos lalu.
Di padang luas, yang hampir tidak terlihat hijaunya rumput, sebaliknya dipenuhi gerombolan besar manusia dengan hampir semuanya memakai pakaian rasmi warna hitam telah 'memaksa' saya menggunakan perumpamaan tersebut.
Ini kerana, lebih 50,000 penonton yang hadir, rata-rata bukan lagi anak muda. Kebanyakannya merupakan golongan pakcik makcik, yang kembali menjadi muda serta penuh antusias menyambut kedatangan empat penggerak band legenda dunia itu.
Saya, di celahan fanatik mereka, harus mengaku bahawa malam itu adalah malam terhebat yang pernah dinikmati semua peminat Metallica.
Saya, yang hanya muda setahun daripada usia penubuhan band tersebut berasa sangat kerdil hanya kerana mengetahui empat atau lima lagu hit mereka, berbanding pakcik-pakcik di belakang saya yang turun ke stadium masih lengkap pakaian pejabat dan kutu-kutu rock yang macam mahu tercabut anak tekak meniru gaya vokal James Hetfield serentak mengangguk kepala sepanjang konsert berlangsung.
Ya, 31 tahun bukan tempoh yang pendek, tetapi cukup panjang bagi peminat menantikan Metallica datang ke Malaysia dan mempersembahkan secara langsung karya mereka seperti yang sebelum ini hanya didengar menerusi kaset dan cakera padat atau hanya dapat menyaksikan persembahan band tersebut menerusi Youtube.
Momen pada malam itu cukup luar biasa. Langit cerah tanpa bintang, tetapi sinar rembulan betul-betul tegak, selari dengan pentas empat segi tanpa perhiasan extravaganza kecuali hanya dua skrin besar bagi membantu pemegang tiket paling murah di hujung padang mampu melihat mereka dengan jelas.
Empat manusia, yang telah menjadi luar biasa menerusi label Metallica - James Hetfield, Robert Trujillo, Lars Ulrich dan Kirk Hammett berdiri pada posisi masing-masing.

DARI kiri: James Hetfield, Lars Ulrich, Kirk Hammett dan Robert Trujillo telah berjaya menuai sukses yang luar biasa bersama Metallica di seluruh dunia.


Tanpa perlu berbuat apa-apa, satu stadium sudah bergema sorakan. Pada saat konsert bermula, semua menjadi histeria.
Hetfield, sekali vokalnya dilontarkan, luar biasa riuh sambutan yang diperoleh. Hammett dengan gitarnya tanpa bicara, disambut menggila pencinta yang menanti menonton petikan magisnya.
Begitu juga saat Lars, si pembentuk band tersebut menabuk dramnya, bergemuruh satu stadium sebelum Hammett yang juga baru menyentuh tali bassnya dalam satu dua notasi sudah menerima jeritan yang menggila.
Maka, bayangkan apabila konsert yang dibawa oleh Galaxy Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama LAMC Productions dan Rockstar Touring bermula dan Metallica memuntahkan satu persatu lagu mereka seperti Fuel, Fade To Black, Ride the Lightning, Hit The Lights, Master of Puppets dan One yang dimainkan hampir tanpa cacat cela seperti yang didengar dalam bentuk rakaman, ia adalah satu kepuasan yang tiada tandingan.
Tidak sekadar itu, hit wajib main yang telah membuat mereka begitu tersohor seantero dunia, Nothing Else Matters dan Enter Sandman dialunkan, ia seperti melengkapkan penantian 31 tahun pemuja band yang ditubuhkan pada tahun 1981 ini.
Dalam selang seli untaian lagunya, Hetfield menyapa peminatnya.
"Saya minta maaf kerana anda semua perlu menunggu sehingga 31 tahun untuk menyaksikan kami di sini, Malaysia," dan ucapan maaf itu disambut sorakan tanda terima kasih peminat kerana band tersebut merealisasikan impian mereka untuk menyaksikan Metallica bermain di Malaysia.
Beliau turut melahirkan rasa teruja kerana dapat merealisasikan impian peminat fanatiknya di Malaysia selain mengaku mahu kembali ke negara ini pada masa akan datang.
Dan sejujurnya, lebih daripada ini, saya tidak punya ulasan yang panjang untuk menggambarkan kehebatan konsert tersebut. Ini kerana ia sempurna.
Ia bukan sebuah persembahan sambil lewa daripada empat sekawan ini. Sistem bunyinya juga terlalu bagus untuk dipertikaikan. Begitu juga dengan sistem pencahayaan dan pentas yang dibikin teliti.
Paling mengagumkan, Hetfield yang memang dalam semua siri konsertnya banyak mencarut di atas pentas, langsung tidak menyebut sebarang perkataan kesat sepanjang lebih satu jam 45 minit konsert berlangsung.
Ia satu perkara yang mengagumkan bagaimana vokalis berusia 50 tahun ini boleh menghormati garis panduan di Malaysia.
Falsafah
Metallica, mengapa band yang ditubuhkan pada tahun 1981 ini begitu digilai? Bagi peminat setia band yang belum mempunyai 10 album studio sepanjang lebih dua dekad penubuhan mereka, Metallica bukan sekadar medium muzik.

HETFIELD (kiri) dan Trujillo dalam salah satu aksi mereka sewaktu menghiburkan para peminat menerusi Konsert Metallica Live in Malaysia 2013, baru-baru ini.


Metallica sarat falsafah. Mereka bukan sekadar membawa aliran muzik keras dalam label metal, namun lirik yang dihasilkan begitu retorik dan tinggi falsafah.
"Mereka bukan sekadar bermain muzik, tetapi membawa berat falsafah dan seni. Lihat seperti album Master of Puppets atau lagu-lagu lain misalnya, penuh dengan falsafah," ujar Saniboey Mohd. Ismail, salah seorang peminat tegar Metallica yang ditanya mengapa dia begitu taksub dengan band tersebut.
Dia yang mengaku terlewat mengenali band tersebut pada usia 13 tahun turut memberitahu biar aliran muzik yang diperdagang diletak dalam klasifikasi metal, namun lirik yang dipilih tidak berbaur kemarahan seperti lirik yang dihasilkan kebanyakan band aliran grunge seperti Nirvana.
Ujarnya: "Jika kita menilai ia daripada segi muzik, ya, ia memang cukup keras, namun lihat ia daripada segi penulisan lirik yang begitu berseni dan tidak berunsur kemarahan. Itu yang membuat Metallica tersendiri."
Metallica yang ditubuhkan pada tahun 1981 di Los Angeles, Amerika Syarikat sebenarnya telah 'mencuri' nama tersebut daripada salah seorang wartawan senior yang mahu menamakan sebuah majalah dengan nama Metallica.
Band tersebut telah bertukar anggota sebanyak tiga kali kecuali yang kekal iaitu Ulrich dan Hetfield (Cliff Burton meninggal dunia dalam satu kemalangan dan Dave Mustaine menjadi pengasas band Megadeth).
Mereka pertama kali terbabit dengan projek album kompilasi Metal Massacre menerusi lagu Hit The Light pada tahun 1981 dan kali terakhir muncul bersama album studio pada tahun 2008 berjudul Death Magnetic.
Hetfield dalam satu temu bual sekitar dua bulan lalu mengaku bahawa Metallica belum mempunyai perancangan untuk muncul dengan album studio mereka yang ke-10.
"Kami memang mempunyai lebih 800 buah lagu yang sedang diberi perhatian, tetapi kami belum lagi memulakan sebarang produksi untuk album baharu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: