Saturday, August 31, 2013

Model Proton paling premium



INTERNET membuatkan banyak benda dalam hidup ini menjadi kurang eksklusif dan tiada kejutan. Sebagai contoh, jika dahulu, pengguna terpaksa menunggu hari pelancaran rasmi untuk melihat sesebuah kereta baharu, kini semuanya boleh dilihat jauh lebih awal.
Dilihat dari segi positifnya, pengguna dilengkapi dengan lebih banyak maklumat. Maka, tidaklah pembelian kereta dibuat atas dasar dengar cakap orang atau termakan kata-kata manis jurujual di bilik pameran.
Model terbaharu pengeluar kenderaan nasional, Proton iaitu Suprima S tidak terkecuali. Sejak beberapa bulan lalu, berpuluh-puluh keping ‘gambar curi’ model berkenaan disiar di internet. Malah, gambar kereta itu diangkut oleh trak, lengkap dengan pelekat namanya pun sudah tersiar.
Jadi, apa yang tinggal ketika majlis perasmian adalah harga sebenar yang ditawarkan, varian dan perincian-perincian lain. Bosan juga bukan?
Proton memperkenalkan model Suprima S selepas 18 bulan menawarkan sedan yang dikatakannya sebagai yang terbaik setakat itu, Proton Preve. Harus diakui bahawa Preve menjadi bukti kesungguhan Proton untuk menghilangkan stigma negatif orang ramai terhadap produk keluarannya.
Proton sebenarnya berada dalam keadaan yang unik. Ketika ramai yang menjadi pengutuk setianya, tidak kurang juga yang tidak pernah jemu menyokong jenama kereta tempatan itu.
Suprima S tampil sewaktu Proton perlu memenuhi ekspektasi menggunung daripada pengguna tempatan. Tidak boleh salahkan pengguna 100 peratus. Mereka mempunyai semua alasan untuk memberi reaksi sedemikian. Apatah lagi selepas ia diambil alih oleh pemilik barunya, DRB Hicom dan usia Proton menceburi sektor automotif sudahpun mencecah lebih 25 tahun.

GARIS badan pada bahagian tepi jentera menonjolkan sifat sportynya.


Sedar atau tidak, rakyat Malaysia sebenarnya mahu melihat sejauh mana DRB Hicom mampu menukar nasib Proton dan menjadikannya satu jenama yang disegani. Bukan sekadar bergantung kepada jualan domestik untuk meneruskan kelangsungan jenamanya.
Nama Suprima diambil daripada perkataan bahasa Inggeris “Supreme” yang membawa makna agung. Sementara S pula bermaksud Sport.
Biarpun dibina berasaskan kepada model Preve, Proton tidak mahu Suprima S dikaitkan dengan sedan tersebut. Ia seolah-olah memberi isyarat bahawa hatchback itu mungkin menjadi pemula kepada satu rangkaian model lain yang lebih sporty.
Ditawarkan dalam dua varian iaitu Executive dan Premium, jentera itu dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohammed.
Di bawah tangan pasukan pereka Proton, rekaan Suprima S hadir sebagai sebuah hatchback yang tidak mengecewakan. Berpaksikan kepada hala tuju rekaan terbaharu dikenali sebagai Proton Wings, Suprima S jelas memiliki reka bentuk luaran dan dalaman yang kemas serta moden.
Bahagian hadapan diserlahkan menerusi rekaan lampu utama jenis projektor bersama butiran LED yang nipis. Gril radiatornya kini menggunakan gril honeycomb berwarna hitam untuk kelihatan lebih sporty. Rekaan perumah lampu kabus pula dikatakan berfungsi untuk mengalirkan udara bagi tujuan penyejukan enjin.
Rekaan bahagian belakang Suprima S nampak ringkas dengan sepasang lampu LED. Penampilan itu disempurnakan dengan penggunaan rim aloi bersaiz 17 inci untuk model Premium, manakala Executive pula 16 inci.
RUANG simpanan kargo model ini cukup luas.


Ada sebab kenapa Suprima S menerima penarafan lima bintang oleh Australia NCAP. Hatchback itu dilengkapi sistem keselamatan aktif dan pasif. Ia terdiri daripada sistem brek ABS, EBD, ESC, kawalan cengkaman dan ISOFIX.
Malah, enam beg udara menjadi ciri standard untuk kedua-dua varian Suprima S, pertama pada model Proton.
Suprima S dikuasakan oleh unit enjin sama seperti yang ada pada Preve. Enjin Campro bersesaran 1.6 liter dengan sistem pengecas soft turbo itu mampu menjana kuasa sebanyak 138hp @ 5,000 rpm. Sementara kuasa tork 205Nm pula boleh diperoleh ketika rpm mencecah takat 2,000 hingga 4,000rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear Punch VT3 CVT tujuh kelajuan.
Proton menyatakan bahawa transmisi CVT itu telah menerima talaan baru bagi disesuaikan dengan profailnya sebagai sebuah jentera sporty. Kalau mahu varian manual, anda kena tunggu kerana versi itu akan ditawarkan oleh Proton tidak lama lagi.
Menyentuh tentang prestasi pula, hatchback segmen C itu berupaya mencapai kelajuan 0-100km/j dalam tempoh 9.9 saat dengan kelajuan maksimum 190mk/j. Penggunaan bahan api pula dianggarkan sebanyak 9.1 liter untuk setiap 100km.
Sebenarnya angka itu sedikit tinggi jika dibandingkan dengan Preve yang mencatatkan bacaan 8.2 liter untuk setiap 100km. Sebabnya, Suprima S adalah 35 hingga 55kg lebih berat berbanding Preve berikutan penggunaan cermin lebih besar. Selain mungkin tahap ketegaran kerangka yang telah dipertingkatkan.
Selepas lama menghilang, Proton mengembalikan emblem “Handling by Lotus” kepada Suprima S. Saya yakin, ramai yang percaya dengan kualiti pengendalian jitu model-model keluaran Proton.

SUSUN atur butang kawalan pada stereng dan papan pemuka Suprima S mudah dicapai oleh pemandu.


Setup chasis hatchback ini terdiri daripada sistem suspensi jenis topang MacPherson untuk roda hadapan. Ia dipadankan dengan suspensi multi-link dan bar penstabil bagi roda belakang. Input pemandu pula diserahkan kepada stereng kuasa hidraulik yang menjanjikan kualiti pengendalian memuaskan.
Disifatkan sebagai model Proton paling premium setakat ini, Suprima S hadir dengan pelbagai ciri inovatif. Sebagai contoh, sistem audio Android dengan kemampuan WiFi untuk melayari internet, ciri Hill Hold Assit dan banyak lagi.
Bunyi daripada sistem audio Android yang pertama untuk OEM di Malaysia itu disalurkan menerusi enam unit pembesar suara (Premium).
Bagi mereka yang berminat, Suprima S boleh anda miliki pada harga bermula RM76,338 (Executive) hingga RM79,988 untuk model Premium.
Ini adalah harga di atas jalan, lengkap bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000 kilometer (km). Selain program Free Road Assist Proton selama lima tahun.
Sebenarnya, Suprima S memasuki daerah yang sudah pun dihuni oleh pesaing-pesaing seperti Honda Jazz, Ford Fiesta dan Kia Rio. Di atas kertas, ini nyata bukan satu tugas yang mudah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: