• Bukit Jenun pendam tragedi Pekan lama Bukit Jenun yang terkenal.
BAGI yang tidak mengenali Bukit Jenun pastinya akan beranggapan tiada apa yang  istimewanya di situ, namun di sebaliknya, tempat itu mempunyai sejarahnya tersendiri pada satu ketika dahulu.

Bukit Jenun merupakan kawasan di dalam daerah Pendang  yang  berada di Mukim Air Puteh dan terletak di lokasi agak terpencil, iaitu lebih kurang 32 kilometer ke Selatan Bandar Alor Setar.

Bukit Jenun dikelilingi oleh bukit-bukit kecil dan ada sesetengah daripada bukit itu masih berhutan tebal dan setengah daripada kawasannya pula terletak di kedudukan rendah dan berpaya, yang  dimanfaatkan  oleh  penduduk  dengan tanaman padi.

Di kawasan ini dikatakan terdapat dua jenis tanaman utama iaitu padi ditanam di sebelah barat dan tanaman kedua adalah getah yang ditanam di sebelah timur.

Penduduk mahu lupa sejarah lama

Sinar Harian difahamkan penduduk bahawa Bukit Jenun menyimpan pelbagai kisah sejarah ketika zaman pemerintahan Jepun dan komunis pada satu ketika dahulu sehingga banyak penduduk kawasan itu terkorban.

Difahamkan, walau bagaimanapun rata-rata penduduk kawasan berkenaan tidak mahu mengenang kembali kisah lama yang dianggap begitu menyedihkan mereka dan telah lama melupai kisah itu.

Penduduk, Awang Jassin, 93, berkata, tidak dinafikan bahawa Bukit Jenun menyimpan sejarah silam ketika perang tentera Jepun dan komunis satu ketika dahulu namun peristiwa itu dikatakan perlahan-lahan terpadam selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Jika dikenang memang sedih apabila ramai saudara mara saya sendiri mati dibunuh dengan begitu kejam ketika itu, namun perkara lama tidak mahu dikenang lagi.

“Penduduk Melayu, India, Cina dan Siam di Bukit Jenun kini hidup dalam keadaan aman damai dan hubungan masing-masing sangat akrab,” katanya kepada Sinar Harian.

Penduduk zaman dulu berkomunikasi bahasa Siam

Sementara itu, Awang menjelaskan bahawa nama Bukit Jenun diambil daripada sebutan Siam iaitu ‘quan nun’ yang bermaksud 'bukit nangka' memandangkan satu masa dahulu kawasan itu terdapat banyak pokok nangka.

Katanya, nama itu kemudiannya ditukar kepada bahasa Melayu menjadi Bukit Jenun kerana masyarakat Melayu pada masa dahulu kesemuanya sangat fasih berkomunikasi dalam bahasa Siam.

“Pada masa sekarang, kira-kira generasi ketiga sudah tidak pandai berkomunikasi bahasa Siam, malahan masih ada segelintir yang hanya memahami percakapan bahasa itu namun tidak pandai berbalas percakapan tersebut,” katanya.

Terkenal dengan pekan lama

Bukit Jenun dikatakan terkenal dengan pekan lama dipercayai mula dibuka kira-kira pada tahun 1800 yang kebanyakan dimonopoli oleh penduduk Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bukit Jenun, Sharif Kassim berkata, Bukit Jenun masih terkenal dengan pekan lama yang masih beroperasi sehingga kini.

Katanya, penduduk Cina yang tinggal di Pekan ini kebanyakannya bekerja sebagai peniaga kecil atau menjual barang-barang runcit manakala kebanyakan masyarakat Melayu kawasan itu bekerja sebagai petani atau penoreh.

Menurutnya, kira-kira 6,000 penduduk sekitar Bukit Jenun masih membeli barang-barang runcit di Pekan itu antaranya dari Kampung Tanjung Setol, Kampung
Banggol, Bassin, Sungai Durian, Paya Mak Inson, Baloh, Siam, Banggol Sanai, Tok Rama dan banyak lagi.

Ketua kampung disegani suatu masa dahulu

Dalam pada itu, Allahyarham Osman Awang dan Allahyarham Yaacob Hitam merupakan nama yang bukan asing bagi penduduk Bukit Jenun apabila mereka itu pernah menjadi ketua kampung di situ satu ketika dahulu.

“Kedua ketua kampung ini begitu disegani penduduk satu masa dahulu kerana dikatakan pandai berkomunikasi dan memberi nasihat kepada semua penduduk dan mereka berdua ini banyak berjasa di Bukit Jenun kerana berusaha mendapatkan jalan raya, dewan orang ramai dan beberapa kemudahan lain selepas kemerdekaan,” katanya.