Tuesday, August 27, 2013

Berlari 3 km dengan berkain batik



DARI kiri: Lenny Ooi, Key Ng, Chiun Wee, Mahani Idris, Carrie Lee dan Su Cheng pada majlis pelantikan duta Batik Sarong Charity Fun Run 2013 anjuran Yayasan CNI.


PERNAH KAH anda terfikir untuk berlari sejauh tiga kilometer (km) dengan berkain batik? Kedengaran menarik bukan? Bayangan itu boleh dijelmakan sekiranya anda menyertai maraton mini Plant A Tree, Plant A Hope - Batik Sarong Charity Fun Run 2013.
Program unik anjuran Yayasan CNI dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu bertujuan menyebarkan mesej kesedaran terhadap isu-isu alam sekitar kepada orang awam.
“Kami mahu menganjurkan aktiviti sukan dalam suasana santai. Selain memberi pengalaman baharu kepada para peserta, ia juga dapat mempromosikan keagungan batik negara yang merupakan sebahagian daripada budaya unik Malaysia.
“Peserta yang terlibat turut dibekalkan sebatang anak pokok sumbangan MNS dan perlu dibawa bersama ketika larian,” ujar Presiden Yayasan CNI, Datin Angeline Koh yang turut memaklumkan bahawa acara itu juga diadakan bersempena ulang tahun ke-15 yayasan tersebut.
Sehubungan dengan larian amal yang akan berlangsung pada 15 September itu, Yayasan CNI turut melantik tujuh duta yang mewakili bidang masing-masing.
Mereka terdiri daripada Pengasas Yayasan Seni Berdaftar, Toh Puan Mahani Idris sebagai Ketua Panel Duta merangkap Duta Kesenian dan Alam Semula Jadi; Presiden Kelab Ferrari, Tan Su Cheng (Duta Perusahaan dan Alam Semula Jadi) dan Presiden Gerakan Belia Malaysia, Sim Chiun Wee (Duta Belia dan Alam Semula Jadi).

NG (kiri) mengikat batik sarung yang dipakai oleh Cheng sebagai simbolik larian amal pada 15 September ini.


Anak pokok
Turut dilantik ialah pereka fesyen, Key Ng (Duta Fesyen dan Alam Semula Jadi); penyampai televisyen, Owen Yap (Duta Gaya Hidup dan Alam Semula Jadi), bekas Ratu Cantik Chinese Cosmos, Carrie Lee (Duta Kecantikan dan Alam Semula Jadi) dan pemuzik dan pelakon, Lenny Ooi (Duta Kreativiti dan Alam Semula Jadi).
Acara tersebut akan berlangsung di sekitar Wisma CNI, Hicom Glenmarie, Shah Alam. Peserta yang mendaftar sebelum 6 September ini, layak mendapat tawaran yuran pendaftaran serendah RM40 seorang dan setiap 10 penyertaan berkumpulan, seorang daripada mereka tidak akan dikenakan bayaran.
Pendaftaran selepas tarikh tersebut akan dikenakan bayaran sebanyak RM50. Para peserta akan diberikan sehelai batik sarung bernilai RM70 sumbangan MyBatik dan sebatang anak pokok pemberian MNS. Selepas tamat larian, peserta boleh memilih untuk memulangkan semula anak pokok itu atau membawanya pulang mengikut terma-terma tertentu.
Sebanyak tiga hadiah disediakan bagi kategori lelaki, perempuan dan keluarga yang tampil dengan persalinan paling kreatif pada hari itu. Kumpulan terbesar dan peserta tertua pula masing-masing disediakan dengan satu ganjaran istimewa. Selain itu, tiga pemenang paling bersemangat akan menerima hadiah menarik yang disediakan pihak penganjur.
Hadiah-hadiah yang keseluruhannya mencecah RM30,000 menanti para pemenang. Antaranya ialah penginapan dua hari satu malam di pusat peranginan Royal Palm Villa, Golden Palm Tree Iconic Resort & Spa, Sepang untuk enam orang bernilai RM3,500, penginapan dua hari satu malam untuk empat orang di Canary Villa di pusat peranginan sama yang bernilai RM3,000; sebuah skuter Demak RINO S berharga RM5,000, baucar, hamper dan pelbagai hadiah menarik lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: